Sejarah “Dawn Raid” — Serang Hendap Kuala Lumpur Ke Atas Kota London pada 1981

Kisah benar kejayaan sekumpulan anak Melayu mengambil kembali tanah-tanah di Malaysia yang dipegang Inggeris selama 160 tahun dengan serangan terancang ke atas ibu kota Britain

Oleh: Lela Iskandar Suhaimi

Pada 7 haribulan September tahun 1981, kota London digemparkan dengan pengambilalihan mengejut syarikat perladangan Guthrie di London. Guthrie yang berusia lebih 100 tahun dan merupakan antara syarikat perladangan terbesar British jatuh ke tangan pihak asing di dalam masa 4 jam sahaja.

Apa yang lebih mengejutkan ialah syarikat tersebut jatuh ke tangan kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Dr. Mahathir Muhammad yang baru memegang jawatan Perdana Menteri selama 2 bulan.

Latarbelakang – Kemiskinan Orang Melayu dan Kekayaan Orang Inggeris

sawah

Pemandangan yang lazim selepas merdeka –seorang pesawah wanita sedang menanam anak padi

Selepas kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, hampir 1 juta bangsa pendatang seperti Cina dan India diberi kerakyatan secara beransur-ansur. Sebagai balasannya, mereka bersetuju untuk menghormati hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan.

Setelah lebih 10 tahun merdeka, pegangan orang Melayu terhadap kekayaan bumi Malaya sangat kecil. Walaupun orang Melayu merupakan majoriti , bangsa ini memegang hanya 1.5% bahagian harta korporat (itupun melalui syarikat kerajaan) berbanding bangsa Cina sebanyak 22.8%. Walaupun tidak lagi menjajah, bangsa Inggeris pula memegang lebih 60 % dari kekayaan negara ini.

Pada masa yang sama, hampir separuh penduduk Malaya tinggal di bawah paras kemiskinan. Orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di kampung sebagai petani dan pesawah adalah bangsa paling ramai tinggal dalam kemiskinan (74%).

Ketidaksamarataan kekayaan dan sikap perkauman tebal menyebabkan beberapa insiden pergaduhan terjadi berulang-ulang diantara kaum pribumi yang miskin (Melayu) dengan kaum pendatang yang kaya (Cina). Ia berlaku di beberapa tempat seperti di Georgetown, Pangkor dan Bukit Mertajam — sehinggalah kemuncaknya pada tahun 1969 di Kuala Lumpur.

Dalam keputusan pilihanraya tahun itu, parti-parti bangsa Cina dan parti Islam berjaya menafikan majoriti parlimen parti pemerintah, sekaligus menyebabkan orang Melayu gusar kehilangan bukan sahaja kuasa ekonomi malah kuasa politik mereka. Orang Cina pula merayakan kemenangan mereka dengan berarak membawa penyapu dan melemparkan laungan provokatif dalam perarakan besar di Kampung Baru , Kuala Lumpur – satu kawasan penempatan yang dihuni kaum Melayu.

Provokasi ini akhirnya mencetuskan insiden berdarah 13 Mei 1969 yang mengakibatkan ratusan mati dan darurat di isytiharkan.

Antara pihak yang lantang menyalahkan kerajaan pada waktu yang dianggap memberi muka kepada kaum pendatang ialah seorang ahli parti pemerintah bernama Mahathir Mohammad yang mengkritik Perdana Menteri pertama dengan satu surat terbuka.

Katanya sikap berlembut Tunku Abdul Rahman menyebabkan “… orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.”

Kerana kritikan ini, beliau dipecat dari parti itu.

Dasar Bagi Membantu Orang Melayu

Apabila Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri ke-2 (1970-1976) beliau memperkenalkan satu dasar yang dianggap radikal yang diberi nama Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuannya — menghapuskan kemiskinan bangsa Melayu dan memastikan agar pegangan orang Melayu dalam kekayaan negara dapat mencapai 30% pada tahun 1990. Dasar ini bukan saja akan membantu orang Melayu, tetapi juga boleh mengelakkan krisis antara kaum terjadi lagi.

Walaupun adanya dasar baru ini, pemilikan syarikat-syarikat Inggeris sebenarnya semakin bertambah. Guthrie contohnya, mempunyai 175,000 ekar pada tahun 1970an tetapi memiliki lebih 190,000 ekar tanah kelapa sawit, getah dan teh pada tahun 1981.

Sekitar tahun 1970an juga, seorang hartawan bijih timah Cina dari Ipoh bernama Lee Loy Seng giat membeli tanah pertanian dari British sehingga menyebabkan beliau menjadi salah seorang pemegang tanah terbesar di negara ini.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat British melengah-lengahkan usaha kerjasama dengan kerajaan dengan mengadakan perjumpaan demi perjumpaan dengan wakil kerajaan tanpa sebarang resolusi. Guthrie juga menolak usaha kerajaan untuk penanaman semula getah untuk pekebun kecil Melayu dan penubuhan kesatuan sekerja yang dianggap menyusahkan British.

Tetapi atas tekanan Bank Negara Malaysia, Guthrie akhirnya menubuhkan Guthrie-Ropel, sebuah anak syarikat Guthrie yang diberi kurang 17% dari jumlah tanah Guthrie di Malaysia. Usaha kerajaan ini bertujuan agar orang tempatan dapat membeli sebahagian kecil tanah Guthrie melalui Bursa Saham Kuala Lumpur. Namun begitu, tembelang British akhirnya pecah apabila didapati bahawa kebanyakan tanah kepunyaan Guthrie-Ropel adalah tanah yang buruk untuk pertanian dan lazimnya terletak di atas kawasan bukit.

Pemerintah Anti-Penjajah, Mahathir Menduduki Kerusi Penting

mahathir

Mahathir sewaktu sidang PBB

Mahathir yang diterima masuk semula pada 3 tahun selepas dipecat, akhirnya menjawat kerusi Perdana Menteri pada tahun 1981.

Berbeza dari 3 Perdana Menteri sebelum ini, Mahathir dirakamkan oleh ahli sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang tidak merokok, tidak minum arak dan tidak meminati sukan golf. Dan jika pemegang jawatan sebelum beliau berdarah raja, berpendidikan British dan mengekalkan hubungan baik dengan Inggeris, Mahathir pula belajar di Universiti Malaya Singapura, tidak mempunyai rakan berbangsa Inggeris dan terkenal dengan sikap anti-penjajahnya.

Sebelum menjadi Perdana Menteri lagi, beliau mengkritik dasar Inggeris yang membuka Tanah Melayu seluas-luasnya kepada pendatang dari India dan China, sekaligus menyebabkan orang Melayu terpinggir.
2 tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, pihak Inggeris menarik semula subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Britain dan menaikkan yuran kepada pelajar asing, tetapi tidak kepada pelajar Eropah.

Ia memberikan tamparan hebat kepada 17,000 pelajar Malaysia di negara itu yang terbeban dengan yuran pengajian yang meningkat 3 kali ganda secara tiba-tiba. Malaysia juga pada waktu itu tidak mampu menyerap pelajar-pelajar ini kerana ia hanya mempunyai 2 buah universiti.

Mahathir yang ketika itu merupakan Menteri Perdagangan memberi amaran bahwa tindakan ini akan merugikan Britain dalam jangka masa panjang. Namun begitu, amaran beliau tidak diendahkan.

Tidak lama kemudian, London menolak permohonan Malaysia agar syarikat penerbangan MAS diberi hak mendarat tambahan di lapangan terbang Heathrow. Tetapi pada masa yang sama, Inggeris mencabar kewibawaan kerajaan Malaysia apabila sebuah pesawat supersonic Concorde miliknya menceroboh ruang antarabangsa Subang dalam perjalanannya ke Singapura.

Mahathir melihat ini sebagai sikap angkuh British yang masih memperlakukan Malaysia seperti tanah jajahannya.

Dato Ismail Ali Sebagai Pemimpin Serangan

wang malaysia

Tandatangan Ismail atas wang kertas 50 ringgit Malaysia sewaktu menjadi gabenor bank negara.

Keangkuhan British bukan sahaja disedari oleh Mahathir dan ahli-ahli politik Melayu, tetapi turut dirasai oleh penjawat awam seperti pengerusi PNB, Dato Ismail Ali. Secara kebetulan, abang ipar Mahathir ini juga adalah bekas Gabenor Bank Negara yang terlibat menggesa Guthrie menubuhkan Guthrie-Ropel.

Beliau juga adalah antara tokoh utama yang menubuhkan PNB — satu agensi yang ditugaskan khas bagi menjayakan DEB.

Sewaktu menjawat jawatan gabenor Bank Negara lagi, beliau menunjukkan sikap tidak mesra kepada Inggeris. Mark Gent, iaitu pengerusi Guthrie ketika itu berkata, beliau dan pengarah urusan Guthrie, Eric Griffith-Jones hampir pasti akan diarah oleh Ismail Ali untuk “menunggu diluar pejabatnya selama ½ jam” setiap kali mesyuarat diadakan.

Sewaktu Ismail menjadi gabenor juga, wang negara yang disimpan di bank Inggeris seperti HSBC dan Chartered dipindahkan ke bank tempatan. Bank-bank asing pula tidak lagi diberi peluang membuka cawangan di Malaysia.

Seperti Mahathir, beliau juga tidak berpuashati dengan orang Inggeris kerana sungguhpun PNB memiliki 25% saham Guthrie, tiada wakil PNB yang dirujuk dalam mesyuarat untuk menentukan halatuju syarikat. Ini termasuk keputusan Guthrie menjual beberapa kepentingannya kepada MPH, sebuah syarikat koperasi milik hartawan-hartawan Cina di Malaysia pada awal 1981.

Syarikat MPH yang memiliki aset yang banyak ini pernah cuba membeli bank UMBC (iaitu antara bank terbesar negara ketika itu) sehingga menyebabkan Mahathir campurtangan. Agar ia tidak didominasi bangsa Cina, Mahathir memastikan PERNAS dan Petronas juga mempunyai kepentingan dalam UMBC.

Kedua-dua tokoh ini melihat bahawa jika pengambilalihan demi pengambilalihan MPH diteruskan, bangsa Cina semakin hampir mengganti orang Inggeris menguasai ekonomi negara ini.

Atas sebab ini, Ismail membuat keputusan nekad. Guthrie mesti diambilalih secepat mungkin.

Kerjasama Pelbagai Pihak

Setahun sebelum menjadi Perdana Menteri, Mahathir yang merupakan Menteri Perdagangan dan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Menteri Kewangan telah di maklumkan oleh Ismail Ali bahawa beliau merancang untuk mengejutkan Inggeris dengan pengambilalihan syarikat mereka.

4 bulan sebelum serangan, pasukan di PNB yang diterajui oleh pengurus pelaburan bernama Khalid Ibrahim diberi tugas khas untuk meneliti dan merangka strategi bagi memastikan semua berjalan lancar.

Khalid yang pernah bekerja di Barings London (iaitu syarikat yang menjadi penasihat kewangan Guthrie), pakar-pakar pelaburan PNB dan penasihat dari bank saudagar N. M. Rothschild & Sons Ltd diarahkan untuk mengkaji secara rahsia samada Guthrie boleh diambilalih. Jika positif, mereka diarahkan merangka strategi terperinci bagaimana ianya boleh dibuat.

Hasil dari penelitian mereka, kumpulan ini menjumpai satu kelemahan dalam akta bursa saham London yang boleh dieksploitasi. Dengan kelemahan ini, satu serang hendap ekonomi untuk mengambilalih Guthrie boleh dibuat. Syaratnya ianya dibuat sepantas dan serahsia mungkin hingga Inggeris tidak sempat melakukan pertahanan.

Dengan persetujuan Mahathir, modal pengambilalihan (sebanyak 282 juta pound) diambil dari tiga punca – Petronas, PERNAS dan menerusi satu skim amanah saham baru yang ditawarkan kepada orang Melayu 4 bulan sebelum serangan. Skim ini dinamakan Amanah Saham Nasional (ASN).

Untuk memastikan Inggeris tidak menyedari bahawa kerajaan Malaysia berada di belakang pengambilalihan ini, Khalid diarahkan oleh Rothschilds untuk membuka bank akaun di Switzerland untuk tujuan pembayaran saham.

Mengapa Guthrie ?

Guthrie menjadi sasaran kerana selain dimiliki pelabur Ingeris, saham-saham Guthrie pada waktu itu juga dipegang oleh beberapa syarikat bukan Inggeris yang mesra kepada PNB. Antara syarikat tersebut antaranya adalah Genting, Bank Simpanan Nasional, Kuwait Investment Office dan OCBC.

Dengan pegangan sedia ada sebanyak 25%, PNB memerlukan 15% saham sahaja lagi bagi menjadikan keseluruhan pegangannya ke 40% , sekaligus menjadikannya sebagai pemegang saham utama Guthrie.

Untuk ini, N. M. Rothschild & Sons Ltd dilantik bagi membeli saham Guthrie dari pelabur besar bagi pihak PNB, manakala Rowe & Pittman pula dilantik menjadi broker bagi membeli saham Guthrie dari pelabur-pelabur kecil.

Ideanya di sini ialah agar sebahagian besar saham Guthrie di Malaysia dan di London dibeli serentak sebelum bursa dibuka, dan ia mesti dibeli tanpa disedari oleh pihak pengurusan Guthrie sendiri.

Untuk memastikan kejayaan serangan rahsia ini, hanya sekumpulan kecil perancang sahaja yang terlibat secara langsung. Mohammad Desa Pachi, yang juga Ketua Eksekutif PNB ketika itu juga tidak diberitahu secara terperinci bagaimana operasi ini akan dilaksanakan.

Operasi Serangan Subuh atau “Dawn Raid”

Hari serangan akhirnya diputuskan — 7 September, pukul 9 pagi waktu London (4 petang waktu Malaysia).

Mengikut rancangan, kesemua yang terlibat akan mendapatkan persetujuan penjual-penjual sebelum bursa dibuka. Apabila ia dibuka, PNB akan mengisytiharkan berita menggemparkan ini dan menguruskan dokumentasinya sahaja — sekaligus memberi kejutan kepada Guthrie dan pemegang saham lain.

Yang rumitnya ialah memastikan pembelian ini dilakukan secara rahsia. Kerana jika ia terbongkar awal, harga saham Guthrie bakal melambung tinggi dan pengurusan Guthrie akan bertindakbalas untuk menggagalkan serangan hendap ini.

Di Malaysia Khalid yang diberi tugas menguruskan pembelian di sini optimis bahawa Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment Group akan menerima tawaran PNB kerana ketiga-tiganya dianggap “mesra” dengan PNB.

Dato Ismail pula bergegas ke Singapura pada hari itu untuk berjumpa dengan pengerusi OCBC. Rancangannya ialah untuk meyakinkan pihak OCBC untuk menerima tawaran membeli saham Guthrie yang dipegang bank itu pada pukul 3:30 ptg, dan menghantar notis penerimaan pada pukul 3:45 petang.

Di London, Rowe & Pittman serta Rothschilds hanya menunggu lampu hijau dari Malaysia untuk membeli saham-saham Guthrie dari pelabur Inggeris pada pagi tersebut.

Sewaktu di Singapura, Ismail dan pengerusi OCBC, Tan Chin Tuan berbincang mengenai pembelian saham Guthrie sewaktu makan tengahari. Perbincangan yang memakan masa lama itu akhirnya berakhir dengan satu berita kurang enak. OCBC menolak tawaran PNB.

Ismail menelefon Khalid dan memberitahu berita buruk tersebut. Tetapi oleh kerana Khalid telah berjaya membeli saham dari Kuwait, Bank Simpanan dan Genting, mereka tiada jalan lain kecuali meneruskan serangan.

Di London, sebaik menerima lampu hijau, kedua-dua firma yang diupah PNB memulakan proses pembelian sepantas mungkin. Bank saudagar Rothschilds berjaya memujuk M&G Investment Trust, sebuah syarikat amanah saham Inggeris (yang memegang 17% dari Guthrie) menjual 11% saham Guthrie miliknya.

Broker-broker Rowe & Pittman yang ditugaskan membeli saham dari pelabur kecil Britain pula berjaya mengumpulkan sasaran 5% saham dari orang Inggeris.

Walaupun tanpa saham OCBC, dalam masa 4 jam, PNB berjaya memiliki 8 juta saham, atau 50.41% dari keseluruhan syarikat, tanpa disedari atau keizinan pihak pengurusan Guthrie.

Lewat tengahari waktu London, Guthrie jatuh ke dalam genggaman Malaysia.

Mahathir Terus Menekan British

glasgow report

Laporan akhbar Glasgow Herald di London pada 8 Sept 1981

Pengerusi Guthrie, Mark Gent hanya sedar bahawa bahawa syarikatnya jatuh ke tangan Malaysia setelah mendengar berita itu di radio.

Pengambilalihan secara tiba-tiba dengan mengeksploitasi kelemahan system bursa London oleh tanah jajahannya sendiri menyebabkan kerajaan British malu besar.

Walaupun ada broker di London memujinya sebagai urusniaga “licik”, media London kebanyakannya menyelar serangan ini sebagai “nasionalisasi pintu belakang”. Sebagai tindakbalas, London kemudiannya bertindak meminda peraturan di Bursa Saham London bagi memastikan syarikat-syarikat lain milik British seperti Dunlop tidak jatuh dengan cara sama.

Sebulan selepas itu, London dikejutkan lagi dengan pengumuman baru Mahathir.

Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia akan memboikot barangan dan perkidmatan dengan British melalui kempen yang dinamakan Buy British Last. Mahathir yang marah kerana spekulasi timah dunia di London mengakibatkan harga eksport utama Malaysia jatuh mendadak, telah mengarahkan agar semua kontrak kerajaan kepada pihak British dibekukan.

Tindakan Mahathir ini memberi kesan besar kepada kontrak semasa dan akan datang British berjumlah 1.25 billion pound sterling yang sepatutnya diterima oleh British. Kontrak Dunlop untuk membekal tayar kepada kerajaan sejak 1963 lagi contohnya kini diberi kepada sebuah syarikat Amerika Syarikat sehingga menyebabkan Dunlop menjual kepentingan mereka kepada MPH.

Dalam masa 3 bulan, saham-saham Guthrie perlahan-lahan dijual kepada PNB. Pada akhir tahun 1981, 100% Guthrie berada di bawah pegangan anak tempatan.

Ismail akhirnya mengambilalih pengurusan Guthrie dan memindahkan ibu pejabat operasi Guthrie dari London ke Kuala Lumpur sebagai tanda berakhirnya penguasaan Inggeris ke atas syarikat tersebut.

Tidak lama selepas Dawn Raid juga, Mahathir memboikot Persidangan Negara-Negara Komanwel (negara bekas jajahan British) yang diterajui oleh Britain. Menurutnya, mesyuarat itu hanya melebihkan kepentingan orang berkulit putih.

Beliau juga mengumumkan dasar baru kerajaan iaitu Dasar Pandang ke Timur. Dengan dasar ini , cara kerja Inggeris akan digantikan dengan cara pengurusan dan kerja orang Jepun, Taiwan dan Korea.

Hasil Besar dari Serangan

Operasi mengejut “serangan subuh” ke atas Guthrie dan dasar-dasar keras Mahathir memberi impak besar dalam masa yang cukup singkat.

Firma-firma British di Malaysia yang sebelum ini bersikap acuh tidak acuh kepada arahan kerajaan Malaysia kini akur membuka pintu rundingan.

Tidak lama selepas itu, tiga syarikat perladangan besar British di Malaysia — Highlands & Lowlands, Barlows dan Harrisons & Crosfield (H&C) akhirnya tunduk menjual kepentingan mereka di Malaysia kepada PNB. Hasilnya, tanah milik Guthrie dan tanah-tanah lain milik Inggeris di Malaysia kembali ke tangan rakyat Malaysia.

Oleh kerana H&C memiliki tanah ladang getah, kelapa sawit dan aset bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara lain seperti di India, New Zealand dan Taiwan, PNB juga menjadi tuan tanah baru kepada asset-aset Inggeris dari seluruh dunia.

Dengan pemilikan baru ini, PNB selaku wakil orang Melayu muncul sebagai pemilik tanah ladang terbesar di dunia.

Lebih manis lagi, dalam temuramah dengan wartawan tempatan, Khalid memberitahu bahawa setelah PNB menjual aset Guthrie di luar Malaysia, keuntungan yang didapati melebihi jumlah kos yang diguna sewaktu Dawn Raid.

Kata Khalid “..kita sebenarnya mendapat Guthrie secara percuma.”

Gambar : RinggitSen & LovelySuri


Nota:
1. Penulis merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr. Shakila Yacob atas kesudian memberi manuskrip kajian beliau bersama Nicholas J. White untuk rujukan penulis.

2. Penulis memaparkan tulisan ini sebagai rencana ilmiah, dan tidak berminat untuk memihak kepada mana-mana individu atau parti politik.

3. Penulis mendapati terdapat sumbangan penting tokoh-tokoh lain dalam Dawn Raid seperti Ananda Krishnan dan Tengku Razaleigh. Tidak disebut dlm artikel ini kerana kekurangan sumber maklumat.

4. Loophole/kelemahan bursa London pada waktu itu tidak diperincikan untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Rujukan:

  1. Shakila Yacob & Khadijah Md Khalid (2012): Adapt or Divest? The New Economic Policy and Foreign Businesses in Malaysia (1970-2000), The Journal of Imperial and Commonwealth History, 40:3, 459-482
  2. Shakila Yacob & Nicholas J. White (2010): The “Unfinished Business” of Malaysia’s Decolonisation: The Origins of the Guthrie Dawn Raid, Cambridge University Press 2010
  3. Karminder Singh Dhillo (2009): Malaysia Foreign Policy in the Mahathir Era, 1981-2003: Dilemmas of Development
  4. Brian Ritchie (2005): Coalitional Politics, Economic Reform, and Technological Upgrading in Malaysia, Elsevier World Development Vol 33, pp 745-761
  5. Abdul Rahman Embong (1996): Social Transformation, the State and the Middle Classes in Post-Independence Malaysia, Southeast Asian Studies, V01. 34, No. 3, December 1996
  6. Boon Kheng Cheah (2002) : Malaysia: The Making of a Nation
  7. Tin Price Moves Jolt Market : Reuters (The New York Times); Financial Desk, November 28, 1981, Saturday
  8. Surat Terbuka Dr. Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman, Jun 1969
  9. PNB Wrests Control of Guthrie Corp : The Straits Times Singapore, September 9, 1981
  10. PNB Making Up For Lost Time: The Straits Times Singapore, September 16, 1981

Kredit gambar : £50 note & Baju Kurung Moden LovelySuri

  1. Pingback: Dendam Britain Kepada Malaysia - Sejarah London Dawn Raid 1981 - Kisah Best : Kisah Best
  2. Zurina Desa says:

    Salam Admin,

    Penambahan fakta ini adalah drp individu yang masih hidup dan yang terlibat secara langsung sebagai Ketua Eksekutif Permodalan Nasional ketika itu iaitu Tan Sri Mohd Desa Pachi …

    Ini adalah antara penambahan untuk artikel tersebut.

    “Selain drp Tun Ismail Ali,pengerusi PNB dengan kerjasama Roschild, tidak seorg pun dari pengurusan PNB terlibat dengan perancangan pengambilan alih Guthrie cara Dawn Raid. Oleh itu tidak betul dengan kenyataan bahawa satu “task force” wujud 4 bulan di peringkat PNB sebelum peristiwa itu berlaku. Saya sbg ketua Eksekutif PNB (CEO) hanya diberitahu oleh Tun Ismail akan rancangan itu pagi yg bersejarah (waktu Malaysia) iaitu beberapa jam sebelum waktu bekerja pagi yang sama di London. Secepat mungkin, saya sbg CEO membuat arahan kpd pengurus pelaburan utk membuat persediaan tertentu, utk mengambil langkah susulan tertentu utk menjayakan rancangan itu.

    Tetapi sebenarnya satu tahun sebelum pelaksanaan Dawn Red ini, saya bersendirian diarah oleh Tun Ismail bagi puhak PNB utk berbincang dan bekerjasama dgn Sime Darby utk membuat rancangan mengambil alih Guthrie dgn cara membeli saham2nya berasas rundingan dgn beberapa pihak tertentu. Tetapi rancangan ini gagal dan terpaksa dibatalkan kerana harga yg ditawarkan oleh pemilik2 saham pada masa itu sgt tinggi dan di luar dugaan, Sungguhpun hasrat menguasai Guthrie pada masa itu tidak
    tercapai, dan tidak ada pulak rancangan khusus di buat setakat itu, kami di PNB tetap menjadikan Guthrie satu sasaran (target) utk dikuasai satu hari nanti”

    • Ternyata usaha Tan Sri Mohd Desa Pachi dan tokoh2 lain di Sime menjadi antara titik tolak dalam memerdekakan tanah2 negara ini dari British. Moga Allah membalas jasa beliau dan rakan-rakan yang besar kepada orang Islam dan bangsa Melayu.

      Mengenai ulasan Tan Sri yg tiada task force di dalam PNB 4 bulan sebelum pengambilalihan oleh PNB dibuat, mungkin ada benarnya. Namun begitu, kami buat masa ini berpegang kepada versi yang menyatakan perancangan ini dirahsiakan sehingga Tan Sri sendiri tidak mengetahuinya hinggalah ke saat akhir.

  3. Sha Rosli says:

    Saya tertarik apabila admin merujuk kepada rencana CetDet yang merupakan kata-kata beliau sahaja, sedangkan ramai tahu akibat kecuaian perdana menteri ke4 sehingga kita kehilangan industri timah untuk selama-lamanya. (jika penulis tidak cenderung politik , kenapa buat rujukan dari ahli politik?)

    Rujukan yang diberi Unfinished Business Malaysia’s Decolonization , fakta yang telah di scoop itu tidak betul. Tun Ismail tidak sama sekali sepertimana yang ditulis , malah beliau dianggap lebih orang putih dari orang orang putih.

    Tidak salah memberi kredit kepada yang benar.. tetapi saya juga menyemak rujukan2 yang diberi, saya ambil dengan a bucket of salt. Sepertimana kata2 Winston Churcill, History is written by the victors. Rujukan Admin dan penulis juga perlu disemak.

    Sejarah negara, ekonomi , sistem pembelajaran negara antara perkara-perkara yang telah diporak perandakan oleh ahli politik kita., terutama yang berkuasa terlalu lama.

    Boleh admin beri saya pautan blog politik Dr. Kamsiah ? Saya tidak dapat link beliau.

    Salam.

    • admin says:

      Sha Rosli,

      Kami merujuk kepada tulisan beliau kerana beliau yang membuat polisi Buy British Last. Dalam artikel itu beliau memberi versi beliau tentang mengenai serangan timah dan keputusan yang beliau ambil.

      Selain 1-2 rujukan ke laman beliau itu ada banyak rujukan ilmiah dari journal dan buku lain.

      Minta tuan baca dahulu rujukan Unfinished Business itu sebelum membuka kata. Kami mempunyai salinan journal 42 muka itu dan telah membacanya berulang kali manakala kami percaya pihak tuan (seperti kebanyakan rakyat Malaysia) tiada salinannya apatah lagi membacanya.

      Journal khas mengenai Dawn Raid itu hasil kajian bertahun-tahun oleh 2 orang bertaraf professor. Seorang prof dalam bidang Business History dari Universiti Malaya dan seorang lagi warga British dari Liverpool John Moore University di London.

      Journal ini telah dibentang di persidangan European Business History, University Geneva, University Malaya dan beberapa tempat lain seluruh dunia. Juga dibuat hasil temubual dengan Khalid, Mahathir, Mohammad Desa Pachi, Mark Gent, Donald Hawley dan sejumlah mereka yg mempunyai penglibatan dlm peristiwa ini.

      Itu pandangan tuan dan kami hormati. Apapun petikan tarikh, peristiwa dan nama tokoh datang dari buku dan journal ahli sejarah tempatan dan luar negara. Bukan ahli sejarah yang memihak kepada “victors” seperti tuduhan tuan.

      Jika tuan tidak mahu menerimanya kerana ia berbeza dengan pandangan tuan, itu hak tuan.

      Namun begitu kami belum berjumpa sebarang fakta baru dari pengkritik2 artikel ini.

      Tuduhan bahawa ianya artikel dongeng juga dibuat tanpa bukti — sedangkan kami meletak bukti dan rujukan kami. Jika ada kesilapan typo boleh diberitahu seperti yg diberitahu oleh 2 pembaca sebelum ini.

      Tuan boleh ke FB Dr. Kamsiah di link nama beliau di komen2 beliau.

    • admin says:

      Artikel ini adalah rakaman sejarah. Ia bukan satu artikel politik dan kami tidak berminat memihak kepada mana-mana individu atau parti politik.

      Menurut kajian yg saya buat dan berdasarkan journal yg ditulis, Mahathir dan beberapa individu lain mempunyai peranan dalam Serangan Subuh. Walaubagaimanapun, teraju utama serangan dipimpin oleh Ismail Ali.

      • Kronologi cerita dongeng ini pun salah, Dawn Raid 1981, buy British last , bukan pada tahun yang sama, beberapa tahun kemudian . Ismail Ali, bukan seperti TDM, mesra British. Malah apabila TDM bermusuh dengan British, beliau yang sentiasa tidak bersetuju dengan TDM telah menubuhkan “Malaysia-British Society”, inisiatif private di mana Ismail Ali menjadi Presiden pertama dan Dato Din Merican menjadi sekretari kepada Persatuan tersebut. Ini nampak sangat cubaan untuk memutar belitkan sejarah…

        • Admin, masih ada yang hidup dan boleh membuktikan ketidak sahihan artikel ini. Penulis juga mengaku tidak menemubual individu seperti Ananda Krishnan dan Tengku Razaleigh. Kedua dua ini tidak terlibat langsung. Tidak perlu membuang masa menemu bual mereka.

          Saya sangat berminat untuk mengetahui bagaimana penulis mendapat fakta yang tidak tepat malah menyeleweng.

          Nasib saya mungkin lebih baik kerana masih ada individu individu yang terlibat di antara tahun 1980-1990 masih hidup. Artikel seperti ini mesti tepat.

          Saya tidak ada motif politik, sekadar berkongsi jika penulis dan pembaca artikel ini berminat kepada kebenaran .

        • admin says:

          Dr. Kamsiah,

          A) Menjawab tuduhan Dr. yang kronologi cerita ini salah :-

          Berikut adalah tarikh peristiwa yg terjadi.

          Guthrie Dawn Raid — Sept 1981
          Buy British Last — Oct 1981

          Ia bukan saja dalam tahun yg sama, malah berselang hanya 1 bulan.

          Banyak buku yg menyebut tarikh ia bermula pada Oct 81. Tetapi utk lebih memudahkan anda, rujukan di bawah boleh dicapai secara online.

          1. Selected Works on Southeast Asia (muka 474)
          2. Asia Week – Volume 20, Issues 1-26 ( muka 301 )
          3. The Politics of British Arms Sales Since 1964: To Secure Our Rightful Share (muka 172)
          4. Dictionary of the Modern Politics of Southeast Asia (entry Buy British Last (Malaysia))

          B) Menjawab komen yg Ismail Ali sebenarnya mesra British

          Buku & journal sejarah tidak menyokong dakwaan Dr. Sila baca:

          1. The RGA History of The Plantation Industry in the Malay Peninsula (muka 598)

          2. Unfinished Business of Malaysia’s Decolonisation (muka 13, 31, 32).

          Antara lain journal sejarah itu menyebut yg Ismail ” … often regarded as anti-British by British bankers and businessmen in Malaysia; ‘he is certainly out to rid the country of expatriate officials and businessmen as soon as practicable.'”

          Kami tidak mahu mengulas lebih panjang. Cukup dengan memberi 2 contoh di atas bagi menjawab tuduhan Dr yg kami lihat bermotif politik.

          Jika Dr ada kisah/versi sebenar bersandarkan journal antarabangsa/rujukan buku, bolehlah ditulis di laman Dr sebagai rebuttal.

          Maaf, komen Dr selepas ini tidak dapat kami siarkan kerana ia tidak mempunyai fakta dan komen yg membantu.

          • paksu says:

            bagus admin boleh jawab dgn penjelasan.. mencari& menegakkan fakta bukan senang..

          • Julia Abdool says:

            Setahu saya “buy British last” dan Dawn Raid tidak ada kena mengena.

            Buy British last berlaku apabila Britain menaikkan yuran pengajian di United Kingdom sebanyak 3 kali ganda bagi pelajar luar [New Straits Time, 27 May 1981].

          • admin says:

            Saudari Julia.

            Kami tidak pernah mengatakan ia disebabkan Guthrie Raid. Kami menceritakan apa peristiwa lain yg terjadi selepas serangan itu.

            Artikel dari NST itu mungkin ada asasnya. Namun begitu insiden yg saudari nyatakan terjadi 2 tahun sebelum Mahathir menjadi PM.

            Manakala dlm artikel kami kami nyatakan polisi Buy British Last dibuat kerana insiden timah yg terjadi dlm masa beberapa bulan dgn Guthrie Raid.

            Sila rujuk artikel yg ditulis oleh Mahathir sendiri yang bertajuk “Tin Cartel” tentang mengapa beliau mengambil tindakan memboikot barangan British.

  4. zol joey says:

    terima kasih admin. artikal yang menarik dan terbaik.

  5. axis of money says:

    Terima kasih kerana menerbitkan rencana yang mempunyai impak ekonomi pada tahun 1980’an dan menunjukkan betapa hebat dan cerdiknya anak cucu Hang Tuah (anak Melayu) imengambil balik hak mutlak tanah air sendiri tanpa pertumpahan setitik darah pun. Syabas “Takkan hilang Melayu didunia”. Syabas kepada Tun Mahathir, Tun Ismail Ali, Tan Sri Razaleigh, Tan Sri Khalid dan semua koperat-koperat Melayu yang berwawasan dan berjaya merancang serangan dengan pelan yang teliti dan terperinci dengan mengambil kesemua aspek baik undang-undang dan tanggungjawab moral dan koperat baik diLondon dan Malaysia. Syabas sekali lagi Pahlawan-pahlawan Moden Melayu!!!!!!!!!!. Saya turut berbangga.
    .

  6. Dengan penuh bangganyakan.. anak melayu memang setanding dengan mat saleh. Erm bukan lagi setanding.. malah boleh mencabar kebolehan diaorg.

    Syabas admin.. artikel yg betul2 berguna

  7. Zulfikri says:

    I read about this famous story before, but this one pretty much detailed.

    Maybe admin could come up with another analysis/factual write up on how we survive financial crisis during 97-98, where our ringgit was pegged at that time.

    I’m sure it would be a good reading as well.

    • admin says:

      Zulfikri, thanks for the suggestion. We’ll consider that in the future.

  8. Tun Mahathir ada cerita sedikit kisah Dawn Raid ini dalam memoirnya tetapi tidak secara terperinci seperti dalam artikel ini. Dia ada juga sebut tentang Lim Goh Tong yang hanya reti bahasa Cina dan Melayu Pasar sahaja berupaya membeli Harrisons and Crosfield….ringkasnya Malaysia dan rakyat Malaysia boleh bersaing dan menonjol di peringkat dunia.

    Terima kasih pada admin yang menyiarkan tulisan menarik ini.

    • admin says:

      Sama-sama saudara Shubhi.

      Kami melakukan kajian dan menulisnya setelah mendapati tiada rencana untuk orang awam yang ditulis mengenai Serangan Subuh, dan sedih apabila kisah ini tidak diketahui ramai dan hanya dibicarakan oleh tokoh korporat veteran.

  9. I then, read the Galsgow Herald newspaper dated 11 Sept 2013 and noted that the malaysian government is considering merging Guthrie with sime darby! wow that remark was 32 years ago..

  10. Terbaik!
    Patut ada sambungan, ending apa terjadi kini.

    Khalid Ibrahim = Menteri Besar Selangor, setelah jadi CEO Guthrie.
    Highland & Lowland juga masuk bawah Guthrie.
    Harrison & Crosfield menjadi Golden Hope.
    Barlow plantation juga masuk dalam Golden Hope. (kini masih ada Encik Henry Barlow di Malaysia)
    Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby bergabung; menjadi NEW Sime Darby.

    Apa pula kisahnya Sime Darby? mungkinkah kerana tanah ladangnya memang tidak sebesar syarikat-syarikat di atas. Bagaimana Dunlop boleh dibawah Sime Darby?

    Mungkin episod lainnya. Terima Kasih.

  11. fazrul says:

    Apabila ader yg kurang cerdik menghina dan mencerca Tun M,hati sy amat sakit seperti dihiris sembilu..lantaran kekuatan pemikiran beliau dlm memertabatkan MELAYU dan Malaysia tiada tolok bandingnya.

  12. Lee Kassim says:

    Terima kasih kepada TDMM dan semua yang terlibat dalam pengambilalihan syarikat Guthrie ini,jasa kalian akan dikenang untuk selamanya.

  13. mokta says:

    Good info.

    Should also write the fact why Tun Mahathir took over Ministry of Finance 1998.

    • IDRIS ABDUL RAHIM says:

      Sangat setuju. Ramai yang tidak tahu atau sedar mengapa Tun Mahathir mengambil alih MOF in 1998. Kita perlu sedar bahawa terlalu ramai PENGKHIANAT atau MUSUH DALAM SELIMUT di negara kita hari ini semata mata untuk kepentingan peribadi. Bila Tun Mahathir cuba membela nasib orang Melayu, beliau terus di cap RACIST. Hari ini, orang Melayu tidak perlu dibela TAPI perlu DISEDARKAN.

  14. fathi jais says:

    penghasilan dan sejarah yg sgt baik..pembetulan fakta yg tun ismail ali adalah abg ipar tun M..bknnya adik ipar

    • admin says:

      Saudara Fathi,

      Terima kasih atas pembetulan. Satu yang pihak kami terlepas pandang walaupun artikel ini diperiksa berulang kali sebelum disiar. Sekali lagi, terima kasih.

  15. Noraini says:

    Terima kasih atas artikel. Sekarang saya lebih faham mengenai peubahan-perubahan yang berlaku terhadap syarikat-syarikat perladangan di Malaysia. Alhamdulillah ada orang yang cepat sedar tipu daya British ni.

  16. mazlan says:

    Bahan ini sepatutnya dimasukkan dalam kurikulum persekolahan…

  17. husni says:

    terima kasih pasal artikel ni… Melayu tak lemah.. tp yg buatkan Melayu tu lemah adalah perangai dan pemikiran Melayu tu sendiri..

  18. Besar jasa tun dr mahathir, biarpun sekarang ramai yang kutuk2 dia dri belakang, dia tak endah pun, bahkan diberi kelansungan hidup oleh ALLAH SWT dengan aman dan tenteram.

    Masih adakah pemimpin2 politik yang otak macam tun DR mahathir SEKARANG? itu yang lebih penting demi survival orang melayu pada masa akan datang.

    Yang kita still takut adalah apabila cina dengan kekuasaan ekonominya akan mengambilalih tampuk pemerintahan kerajaan malaysia pada masa akan datang, dan kita tidak boleh berada pada tahap yang selesa lagi sekarang, mungkin ada rundingan2 sulit daripada bangsa lain.

  19. Patut la smpai skng tun mahathir msh meneruskan sisa2 perjuangan beliau wlpn d hambat bermcm2 rintangan dr pelbagai pihak…tinggi semangat perjuangan tun mahathir….

  20. Salam admin..terima kasih ngn penulisan yg cukup bermakna ini..
    Sy byk membaca ttg tun mahathir..tp yg ni wat pertama kali nya sy terbaca…sungguh besar sumbangan tun mahathir dan rakan2 pada negara..semoga tun mahathir dan rakan2 yg pnh berjuang bersama d berkati oleh allah..amin.

  21. salam admin,

    satu sejarah yg menarik dan menunjukkan bahawa org melayu juga hebat mungkin lebih hebat dari bangsa lain..

    hanya skrg ni kebanyakkan org melayu dah hidup selesa dari usaha org terdahulu yg memikirkan kepentingan melayu di masa akan datang..

    kita di masa kini perlu menghargai pengorbanan org terdahulu dgn menghormati mereka kerana mereka kita hidup dgn aman dan selesa skrg..

    terima kasih Tun dan rakan2 atas kejayaan membina malaysia..

    semoga Allah s.w.t memberi rahmat dan hidayah kpd Tun dan rakan2 serta rakyat malaysia semua dan semoga malaysia makmur dan berkat sepanjang masa..insyaallah…aaaammmmiiiinnnn

  22. osman says:

    Berita ini sebenarnya adalah rasia kejayaan seorang juragan yang bernama mahathir… atas kebijaksanaannya kita dapat kembali maruah kita yang sekian lama di nikmati oleh penjajah…

  23. Rakyat (pemegang sher) perlu mendapat keuntungan besar. Pernas, Petronas & ASN adalah milik Rakyat Malaysia. Kecerdikan & Ilmu adalah kunci kejayaan ini (& juga kejayaan akan datang).

    Terima kasih untuk artikel ini.

  24. Itulah pengorbanan dan kewibawaan seorang pemimpin. Tetapi masih lagi rakyat tidak berterima kasih. Semoga jasa dan khidmat TDMM dibalas maha penciptaNya.

  25. Salam. Tidak saya nafikan saya tak pernah mendengar langsung mengenai perkara ini. Syabas kerana menulis artikel ini dengan baik. A very arresting reading indeed. Akan saya hebahkan kepada saudara-mara dan rakan taulan. Terima kasih.

    • admin says:

      Salam Elly. Terima kasih atas kata-kata perangsang. Terima kasih juga kerana sudi menghebahkan kisah benar dan jasa unsung heroes kita yg tidak diketahui oleh kebanyakan rakyat Malaysia ini.

  26. Steve B. Charlton says:

    The greatest Malaysia achievement. Should’ve been in the movie like “wallstreet” or “too big too fail” or something.
    Seriously everyone should read this. Most youngster nowadays dont understand our economic history. Demonstration/rally and shit just wasting time. If this raid never happen, surely we still living in kampong tanam ubi. 🙂

    • admin says:

      We agree. This is a significant event many of us have never heard of. A perfect example of we can do when we work with each other instead of against each other.

  27. adriwkiut ahmad says:

    Sgt informatif dan terperinci… sesuai utk bacaan org yg kurang memahami ekonomi… boleh tak masukkan dalam wikipedia… supaya mudah dibaca oleh semua org..

    • admin says:

      Terima kasih saudara adriwkiut,

      Telah saya cuba masukkan tetapi dipadam. Moderator utk laman wikipedia Melayu mengatakan pada saya artikel seperti yg saya tulis, walaupun mempunyai rujukan sejarah, tidak boleh diterima sebagai rujukan.

      Menurut beliau, hanya sumber terus dari suratkhabar seperti dari Utusan, Harakah atau lain-lain suratkhabar, atau journal saja boleh diterima.

  28. Hafizullah says:

    salam, sekadar pembetulan..salah tulis 31 mei 1969, tapi, link betul 13 mei… kadang2 orang baca kat sini ja tanpa tengok lin.. thanks for the info.. 🙂

    • admin says:

      Salam. Terima kasih saudara Hafizullah,

      Memang kesilapan typo yang kami terlepas pandang. Mujur saudara betulkan. Terima kasih byk2.

  29. Alhamdulillah, terima kasih Tuan kerana tinggalkan link ini didalam komen di blog saya dan saya membacanya serta mendalami lagi kesah yang lebih lengkap. Buat waktu sekarang sudah terlalu lewat badan pun dah letih sangat jadi saya akan sambung pembacaannya disiang hari nanti. Saya juga mohon untuk memuatkan kembali artikel ini jika saya ada kesempatan dengan izin.

Comments are closed.