Gunung Kinabalu

Tidak sah ke Kota Kinabalu jika anda tidak ke Gunung Kinabalu -- ikon Sabah dan juga antara 5 gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Dikenali sebagai Aki Nabalu oleh kaum Kadazan, gunung ini boleh ditawan oleh sesiapa yang cergas dan tidak terhad kepada pendaki berpengalaman sahaja.

Jika anda tidak mahu mendaki, cukup sahaja jika anda ke kaki gunung ini. Di kaki gunung ini terdapat Taman Kinabalu yang cukup mengujakan.

Gunung suci orang Kadazan ini terletak 90 km (dalam 2 jam perjalanan) dari Kota Kinabalu. Jadi anda perlu menaiki bas atau mengikuti pakej pelancongan yang menyediakan lawatan ke sini. Tambang bas bermula dari RM7 hinggalah ke RM15 untuk sehala.

Ingin Mendaki Gunung Kinabalu ? Perkara Anda Perlu Tahu

  1. Setiap pendaki diwajibkan bersama guide/pembimbing gunung Kinabalu yang dilantik.
  2. Dari Kinabalu Park anda akan ke Timpohon Gate – dengan berjalan atau menaiki van. Anda akan mendaki dari sini (alternatif lain ialah melalui Gate Mesilau)
  3. Pendakian lazimnya di bahagi kepada 2 tahap. Pendakian pertama bermula dari Timpohon Gate hinggalah ke rumah rehat Laban Rata. Selepas tidur 1 malam di sini, anda akan memulakan pendakian kedua sekitar pukul 2:00 pagi ke puncak Kinabalu (di panggil Low’s Peak). Masa tiba di puncak dianggarkan kira-kira pukul 5 pagi.
  4. Pendakian pertama mengambil masa 3 ke 6 jam. Pendakian ke dua mengambil masa 2 – 4 jam. Masa berbeza mengikut kadar kecergasan dan keadaan cuaca pada hari pendakian.
  5. Pastikan anda telah ke tandas sebelum mendaki ke puncak. Puncak granit Kinabalu tiada pokok atau semak untuk anda berselindung semasa membuang hajat.
  6. Untuk memudahkan urusan pendakian (permit, insuran, sewa porter, sewa rumah rehat dll) kebanyakan pendaki menggunakan pakej dari agensi pelancongan. Sungguhpun anda mahu menggunakan khidmat agen pelancongan, pastikan anda tempah pakej beberapa bulan sebelum tarikh mendaki.

Kos Mendaki

Warganegara
Pakej selalunya bermula dari RM860 untuk pakej 2 hari 1 malam.

Pelancong Asing
RM1120++ untuk pakej 2 hari 1 malam.

Jarak dari Kota Kinabalu

90km / 2 jam

Kredit
John Deery, Stéphane Enten, Richkey