Pasar Antik Amcorp Mall

Pasar barangan antik dan barangan terpakai di Amcorp Mall Petaling Jaya ini merupakan pasar hujung minggu yang menjadi kegemaran pengumpul wang lama serta peminat barangan seni dan antik dari segenap pelosok Kuala Lumpur.

Kredit : Onceoverlightly

Dengan lebih 300 gerai penjaja, ruang legar pusat membeli belah ini bertukar rupa menjadi pasar lambak bermula dari pukul 9 pagi hari Sabtu sehinggalah ke pukul 5 petang esok harinya.

Jika anda sukakan barangan antik atau barangan lama, jangan lepaskan peluang ke sini. Anda pasti menjadi seperti kanak-kanak di kedai gula-gula.

Apa Yang Dijual di Pasar Amcorp Mall?

Di sini, anda boleh melihat barangan-barangan antik seperti jam, piring hitam, radio lama dan barangan rumah – dari kukur kelapa dan pisau lama hinggalah barangan yang menjadi kegilaan hobbyist seperti wang, setem dan komik import.

Selain itu, anda juga akan dapat melihat pelbagai barangan seperti permainan kanak-kanak, figura, buku, kamera lama dan pelbagai barangan logam dan plastik dari zaman lalu.

Penjaja di sini bukan sahaja datang dari Kuala Lumpur, tetapi juga datang dari segenap pelosok negara. Jika anda rajin berbual, anda mungkin pulang bukan sahaja dengan barangan antik yang anda minati, tetapi juga dengan pengetahuan dan nombor telefon kenalan baru.

Jika anda peminat buku, singgah ke kedai BookXcess di Tingkat 3. Di sini anda boleh membeli pelbagai buku fiksyen dan bukan fiksyen dengan diskaun sehingga 70% dari harga pasaran.

Cara Ke Amcorp Mall

Naik tren RapidKL dan turun di stesen Taman Jaya. Bangunan Amcorp Mall terletak bertentang dengan stesen ini.

Tips Membeli

1. Sebelum datang, pastikan anda tahu harga semasa barangan yang anda mahu beli. Hanya kerana pasar Amcorp Mall ini kelihatan seperti pasar lambak, tidak semestinya harga barang antik yang anda beli itu murah.

2. Ramai peniaga yang tidak memaparkan koleksi berharga mereka di atas meja pameran. Ini agar mereka dapat menjualnya kepada pengunjung setia dan juga menyelamatkannya dari kecurian. Tidak salah jika anda bertanya kepada penjual jika beliau mempunyai barangan yang anda cari.

3. Dapatkan kad nama penjual. Ramai penjual di sini yang mempunyai kedai di negeri masing-masing. Barangan yang anda minati mungkin tersimpan di kedai mereka.

Peta Ke Sini

Loading
Center map
Traffic
Bicycling
Transit