Taman Laut Tunku Abdul Rahman

Apa cerita pergi Sabah, tapi tak ke taman laut ini?

batu karang kuning taman laut tunku abdul rahman sabah

Ini taman laut. Ataupun koleksi pulau-pulau yang dekat dengan bandar Kota Kinabalu yang boleh anda lawat untuk mandi manda, snorkeling ataupun skuba diving.

Yang seronoknya sebab pulau-pulau ini dekat antara satu sama lain. Jadi anda boleh lawat beberapa pulau dalam satu lawatan.

Cumanya pastikan anda reserve-kan satu siang anda, khas untuk ke sini. Sebab balik dari pulau pun anda sudah letih nak ke mana-mana.

Alternatif Terbaik Untuk Lihat Pulau

Sebenarnya Sabah memang ada pulau-pulau lain yang jauh lebih cantik dari Taman Laut Tunku Abdul Rahman.

Tapi dengan lokasi taman laut ini yang cukup dekat dengan hotel, tak salah ke sini untuk anda rasa snorkelling atau berjalan di pasir pulau yang halus-halus.

Untuk ke sini anda perlu bayar 3 perkara – yuran terminal + bot ulang alik + tiket masuk (konservasi). Kalau anda mahu ke satu pulau saja, jumlah yang perlu anda bayar ialah RM 33.20 (~$8.13)

seorang penyelam sedang melihat ikan di taman laut tunku abdul rahman sabah

Pulau Yang Kerap Dilawat

Ada 4 pulau di sini yang selalu disebut-sebut orang. Pulau Gaya, Sapi, Manukan dan Mamutik.

Sapi
Ada batu karang & ikan yang cantik-cantik. Tapi pulaunya kecil dan terlalu ramai pelancong/aktiviti.

Manukan
Pantai yang putih & cantik tapi airnya tidak jernih. Ada kedai makan/tandas di sini. Kawasan pantainya lebih besar, jadi walaupun ia pulau yang paling popular, ia kurang terasa penuh dengan pelancong.

Mamutik
Pulau paling kecil di sini. Kurang pelancong. Airnya cetek.

Gaya
Ini pulau terbesar. Dan penuh dengan resort persendirian yang mewah seperti Gaya Island Resort. Tapi kalau anda tidak menginap di resort sini, maaf lah. Sebabnya anda tak dapat merasa bersnokelling di pulau ini.

jeti pulau sapi di sabah

Tempat Ambil Bot Ke Pulau

Tempat naik biasa/rasmi untuk ke Taman Laut Tunku Abdul Rahman ialah di Jeti Jesselton. Ia lebih murah berbanding anda naik dari jeti Star Marina/Sutera Harbour.

Ada juga pelancong yang naik dengan bot terus dari jeti Pasar Filipina. Jaraknya lebih dekat, dan harganya lebih murah. Tapi awas. Anda sebenarnya naik dengan pengusaha haram/tidak berlesen. Ada kes pelancong yang dirompak dan ditinggal di pulau bila menggunakan bot dari sini.

Harga Trip ke Pulau-Pulau Dari Jeti Jesselton

 Dewasa (RM)Kanak-Kanak (RM)
Harga Bot
1 Pulau2318
2 Pulau3328
3 Pulau4338
Tiket Masuk Pulau31
Yuran Terminal7.203.60

Waktu Pulau Dibuka Untuk Orang Awam

Setiap Hari : 8:30pg – 5:00ptg (tapi jeti buka seawal 7 pagi)

Masa Diambil Dari Jeti ke Pulau

15 – 20 minit dengan bot laju

Tips

  1. Bila sampai ke pulau pertama, bayar tiket konservasi. Simpan tiket itu. Tunjuk tiket ini untuk masuk ke pulau seterusnya.
  2. Pegang anak kecil anda. Jurubot selalunya bawa bot laju mereka seperti koboi pening.
  3. Nak terkucil? Maaf, sebab seperti kebanyakan tandas di Malaysia, keadaan tandas-tandas di sini meloyakan.
  4. Nak betul-betul snorkelling? Ambil trip ke 2 pulau sudah cukup. Kalau tidak, belum puas anda berendam, sudah kena naik bot ke pulau lain.
  5. Sebab waktu anda mandi manda akan panas terik, bawa & pakai topi, sunblock, spek hitam. Kalau tidak, habis hitam muka.
  6. Bawa bekal makan/minum kalau bajet rendah atau anak ramai. Makanan di pulau, macam biasa,menangis mahalnya.
  7. Sebaik-baiknya datang pada hari biasa. Hujung minggu & cuti umum adalah waktu paling sesak dengan pelancong.
  8. Tolong kutip sampah anda, dan bawa balik ke hotel. Buang sampah di tempat sampah, bukan di pulau.

Peta Ke Sini

Loading
Center map
Traffic
Bicycling
Transit

suasana di taman laut tunku abdul rahman sabah