Tasik Kenyir

Tasik Kenyir yang terletak di kawasan barat daerah Hulu Terengganu adalah tasik yang terhasil daripada pembinaan Empangan Kenyir pada tahun 1985.

Dengan keluasan 260,000 hektar, tasik ini adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara.

Terdapat 340 buah pulau buatan manusia di tasik ini. Pulau-pulau ini asalnya adalah bukit, tetapi kini telah ditenggelami oleh air disekelilingnya sehingga membentuk pulau.

Selain pulau, ada 30 batang sungai mengalir di Tasik Kenyir dengan 25 jeram dan air terjun yang didiami lebih 25 spesies ikan air tawar.

Tasik ini juga menyimpan 8000 spesies bunga, 2500 spesies tumbuhan, 1000 spesies burung dan 800 spesies rama-rama.

Pendek kata, apabila ke sini, anda bakal meneroka alam yang cukup kaya dengan habitat dalam masa yang singkat.

Tempat-Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Tasik kenyir menjanjikan banyak tempat-tempat yang menarik untuk dilawati. Antaranya ialah:

Santuari Kelah di Sungai Petang
Santuari Kelah Sungai Petang adalah tempat pemuliharaan ikan kelah yang terletak di dalam kawasan Tasik Kenyir. Jarak perjalanan ke santuari ini dari Pengkalan Gawi mengambil masa 40 minit menggunakan bot laju.

Air Terjun
Antara tarikan utama juga di Tasik Kenyir adalah air terjun air terjun. Ada 5 lokasi air terjun yang popular disini iaitu Air Terjun Lasir, Air Terjun Saok, Air Terjun Tembat, Air Terjun Sungai Buweh dan Lata Terap.

Air Terjun Lasir adalah salah satu air terjun paling terkenal, kerana ketinggiannya mencecah 500 kaki.

Gua Bewah dan Gua Taat
Selain itu ada juga beberapa gua yang menjadi tarikan di Tasik Kenyir. Antaranya Gua Bewah dan Gua Taat. Di sini, para pengkaji sejarah telah menemui tinggalan sejarah dari zaman pra sejarah seperti rangka manusia, senjata dan peralatan memasak purba.

Gunung Gagau
Jika anda suka mendaki, Gunung Gagau mungkin tempat sesuai untuk anda melepaskan ketagihan. Apabila tiba di puncak, anda dapat menikmati pemandangan tiga buah negeri –Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Taman Herba di Pulau Sah Kecil
Jika anda sukakan sayuran serta herba, anda boleh ke Taman Herba Tasik Kenyir. Terletak di Pulau Sah Kecil, anda perlu menaiki bot laju selama 15 minit dari Pengkalan Gawi.

Tapi awas. Bersedialah dengan kasut yang baik kerana taman ini luasnya lebih 15 hektar, dan terdapat lebih 26,000 pokok herba untuk anda lihat dan kaji.

Memancing
Untuk kaki pancing, Tasik Kenyir adalah syurga ikan air tawar. Antara spesies ikan air tawar yang boleh dipancing disini adalah toman, baung, sebarau, sehinggalah kepada kelisa.

Dan lokasi terkenal kaki pancing adalah di kawasan Sungai Cacing, Sungai Tembat dan Sungai Leban.

Taman Burung
Terdapat juga disini Taman Burung yang dihuni oleh pelbagai spesies burung dengan berkonsepkan langit terbuka tanpa jaring. Anda berpeluang untuk memberi makan kepada burung-burung disini.

Aktiviti Berkhemah
Di Tasik Kenyir juga sesuai dijalankan aktivti perkhemahan. Berikut adalah beberapa tapak perkhemahan yang disediakan disini.

Tapak perkhemahan Gunung Lawit
Tapak Perkhemahan Pulau Poh
Tapak Perkhemahan Pengkalan Gawi
Tapak Perkhemahan Lasir
Tapak Perkhemahan Saok
Tapak Perkhemahan Pulau Petang
Tapak Perkhemahan Tanjung Bewah
Tapak perkhemahan Sg. Cicir/ Perpek

Sukan Air
Jika anda sukakan aktiviti lasak, atau sukan air, jangan risau. Di sini anda juga boleh menunggang jet ski, kayak, kenu, bersampan atau berakit. Untuk menginap, anda boleh tidur di rumah bot.

Cara untuk ke Tasik Kenyir

Jalan masuk ke Tasik Kenyir adalah melalui Pengkalan Gawi dan Jenagor.

Jika dari Kuala Lumpur, ikut panduan ini.

Lebuhraya Pantai Timur – Lebuhraya Jerangau-Jabor – Bandar Al Muktafi Billah Shah – Kuala Berang (kira-kira 413 km )

atau

Kuala Lumpur – Bentong – Kuala Lipis – Gua Musang ( kira-kira 200 km )
Gua Musang – Felda Aring – Pengkalan Gawi , Tasik Kenyir ( kira -kira 159 km)

Pakej ke Tasik Kenyir

Kebanyakan mereka yang ingin datang ke sini akan menempah pakej terlebih dahulu. Pastikan anda menghubungi operator yang berdaftar untuk menempah pakej anda.

Peta Ke Sini

Loading
Center map
Traffic
Bicycling
Transit