RapidKL hari ini mengumumkan bahawa 16 stesen tren LRT untuk laluan Kelana Jaya ditutup.
Ia bermula dari hari ini, 9 November sehingga ke 15 November.
Laluan tren paling sibuk di Malaysia ini membawa kira-kira 350,000 penumpang setiap hari.
Dan ini antara penutupan paling lama laluan ini sepanjang ia beroperasi.
16 stesen yang ditutup adalah seperti berikut :-
- Kelana Jaya
- Taman Bahagia
- Taman Paramount
- Asia Jaya
- Taman Jaya
- Universiti
- Kerinchi
- Abdullah Hukum
- Bangsar
- KL Sentral
- Pasar Seni
- Masjid Jamek
- Dang Wangi
- Kampung Baru
- KLCC
- Ampang Park
Laluan di bawah pula masih dibuka untuk penumpang.
Penutupan ini amat dikesali, kerana ia diburukkan lagi dengan bencana banjir kilat di Kuala Lumpur yang menyaksikan laluan di beberapa kawasan seperti Masjid Jamek, KLCC dan Chan Sow Lin ditutup akibat air naik.
Selain pertambahan kenderaan dari ratusan ribu penumpang laluan ini, banjir kilat dan penutupan jalan dijangka memburukkan kesesakan trafik bandaraya.
Kami menjangkakan minggu ini menjadi antara waktu paling mencabar untuk warga kota.
Mengapa Tutup?
Menurut RapidKL ia berpunca dari ATC, atau sistem kawalan tren automatik yang tidak stabil sejak dari 5 November lagi.
Ini menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual.
Selain jurutera RapidKL sendiri, pihak Thales Group dari Kanada selaku pengilang peralatan asal juga telah dihubungi untuk turun padang bagi mengenalpasti masalah.
Laluan Tren Kerap Bermasalah
Apapun, masalah tren laluan Kelana Jaya bukan perkara baru.
Gangguan perkhidmatannya dari masalah sistem hydraulik kepada gerabak yang tidak berhenti tiba-tiba sebelum sampai ke destinasi dan penutupan stesen pada waktu puncak sering menjadi masalah kepada penumpang hariannya.
Insiden terburuk laluan ini adalah pada May 2021, apabila sebuah tren berpenumpang berlanggar dengan tren kosong di laluan Kg Baru – KLCC.
Kemalangan ini mengakibatkan 213 penumpang cedera.
Apa Alternatif Lain?
Selain memandu kenderaan sendiri, alternatif lain untuk anda yang terkesan adalah terhad.
RapidKL ada menyediakan bas perantara percuma yang menghubungkan stesen-stesen yang terkesan.
Ada jenis bas tanpa henti, dan ada juga yang berhenti pada setiap stesen.
Akan tetapi jumlahnya tidak dapat menampung penumpang yang terjejas.
Anda juga boleh rujuk laluan bas RapidKL di sini jika ia ada masuk ke kawasan perumahan anda.
Apapun, Grab bukan alternatif yang ideal.
Selain tambang yang tinggi, jumlah kenderaan Grab di sekitar bandaraya pada waktu petang juga dijangka kurang disebabkan risiko banjir.
Sila ambil maklum yang tambang Grab pada waktu puncak (balik kerja contohnya) boleh menjadi 2 – 5 kali ganda dari biasa.
Info Terkini
Untuk sebarang info terkini rasmi tentang sebarang penutupan, pembukaan laluan dan penambahan bas perantara, boleh layari Twitter RapidKL.
Kesan Penutupan
Kalau anda antara pengguna kenderaan sendiri, anda akan dapati bahawa jem di highway dan jalan-jalan menuju ibukota akan menjadi luar biasa.
Ini kerana ratusan ribu pengguna yang selama ini menggunakan LRT Kelana Jaya terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk urusan harian dan kerja.
Jumlah kenderaan Grab yang datang dari kawasan laluan Kelana Jaya dan masuk ke dalam bandaraya juga akan bertambah.
Jem di Kuala Lumpur dijangka meningkat berkali ganda minggu ini.
Ia diburukkan lagi oleh banjir kilat dan penutupan jalan akibatnya sekitar ibukota.
Sehingga pagi ini, kami masih menunggu kenyataan dari Kementerian Wilayah dan Menteri Pengangkutan tentang krisis ini.