Catatan Kembara ke Heritage House Gopeng

Dalam perjalanan ke Ipoh, saya sempat membuat lencongan ke pekan Gopeng. Hajat saya satu sahaja.

Untuk menjenguk ke muzium swasta The Heritage House Gopeng yang diusahakan oleh sekumpulan warga emas di dalam kedai lama di bandar tua ini.

Oleh kerana saya tidak biasa dengan pekan ini, saya terpaksa menggunakan On The Road untuk mencarinya. Masalah pertama saya ialah kerana muzium ini dibina di dalam rumah kedai. Dan kedua, memang tiada signboard di dalam pekan Gopeng untuk ke sini, kecuali semua signboard hanya menunjukan arah ke Gaharu Valley.

Setelah berpusing 3 kali di dalam pekan kecil ini, dan setelah menyalahkan peta aplikasi ini yang saya rasa silap, barulah saya ternampak Heritage House merah ini.

Ah Soo Tua Penjaga Rumah




Macam dalam cerita Kung Fu. Itu yang saya rasa bila melihatnya dari luar. Cuma bezanya, di kanan pintu ada satu basikal tua dengan muatan bijih dan sebuah motorsikal lama. Di dinding pula, terletak potret2 yang membuatkan saya rasa seperti di Beijing.

Setelah memasukkan sedikit wang untuk sumbangan ikhlas ke tabung, mata saya terus tertumpu kepada Ah Soo tua yang membelek suratkhabar Cina. Satu kipas angin antik yang bersawang meniup rambutnya. Beliau terus membaca tanpa menghiraukan saya.

Mata saya terus tertumpu ke arah kasut lama ini. Saya terbayang betapa seksanya berjalan berbatu-batu dengan sepatu sebegitu. Apalagi memanjat bukit, mengharung lopak dan meredah air di lombong bijih.

gopengheritagehouseDi tengah rumah yang dipanggil rumah warisan, ada sederet seterika arang. Saya teringat di zaman nenek. Puas nenek menunggu kayu menjadi arang sebelum kain baju atuk dapat diseterika.

Terdapat tangga ke atas, tapi saya terus berjalan masuk dan tersenyum melihat kerusi kedai gunting di bawah tangga.

Di sebelah kanan, tergantung satu baju ala samurai. Saya ingatkan ini baju perang ahli kongsi gelap. Tapi rupa-rupanya ia baju hujan zaman dahulu.

Iri Hatinya Saya

garden-gopengSaya teruskan langkah ke dapur. Tapi yang menarik perhatian saya bukannya dapur ini, tapi taman sebesar lori kecil bertentangnya. Seronoknya melihat taman dalam rumah begini. Rumah 3 tingkat ini rupanya mempunyai ruang kosong di dalamnya yang tidak berbumbung. Jadi matahari dapat terus masuk ke dalam pada waktu siang. Saya termangu sebentar melihat bijaknya arkitek dahulu membawa masuk angin dan cahaya ke dalam kawasan rumah.

Di dapur tidak banyak yang menarik perhatian saya kecuali tangga naik ke atas dan semerbak aroma kopi panas di dapur kecil setentang dengan beca lama.

gopeng-heritageSaya cuba mengambil gambar di situ, tapi 2 orang Ah Soo di situ cuba mengelak dari dirakam. Saya minta maaf, dan jadikannya modal untuk bertanya lebih lanjut tentang rumah ini. Kata Ah Soo yang tadinya sibuk bermain Candy Crush, rumah ini sebenarnya tempat kumpulan mereka berehat dan berjumpa dan minum kopi.

Saya iri hati, kata saya padanya. Tentu seronok berjumpa kawan-kawan di sini, kerana ada kedai kopi di dapur, dan taman kecil di dalam rumah. Ah Soo itu tersenyum bangga. Oh, suami saya yang reka dan tanam semula pokok di taman itu, jawabnya. Dan kami Cina suka taman sebab Fung Shui ma, ujarnya.

Selepas sembang kecil, saya naik ke atas. Sekali lagi tersenyum melihat adanya kawasan rehat kecil di atas. Seronoknya bersantai di sini kerana ruang tamu ini ibarat ruang tamu peribadi yang terasing dari kawasan rumah keluarga.

Saya turun dan berjalan semula ke pintu masuk dan naik ke tingkat atas.

Rumah Tiga Tingkat Dengan Karakter

Mengagumkan. Itu sahaja yang saya rasa bila tiba di atas, kerana ada satu lagi kawasan rehat di tingkat ini yang dipisahkan oleh pintu ala koboi. Ada bekas kuih pau dan pelita di atas meja. Tapi yang seronoknya, dari berandah ini saya dapat melihat terus ke taman di bawah.

Saya terus meneroka bilik-bilik di dalam rumah ini. Terasa seperti kembali ke zaman atuk nenek dahulu. Tapi mungkin atuk nenek saya tidak sekaya ini. Dari bilik tidur ini, saya dapat ke berandah bilik, mengambil angin dan melihat taman di bawah.

Di tepi dinding saya tersenyum bila ternampak bakul membawa naik makanan, minuman atau apa saja keperluan penghuni bilik tingkat atas. Tuliskan order, letak di dalam bakul, campakkan bakul ke bawah, tunggu order siap, kemudian tarik tali naik ke atas.

Saya habiskan masa lebih kurang 1 jam di rumah ini. Tapi saya rasa agak janggal. Bukan apa, sebab kebanyakan pengunjung yang tiba hanya masuk berselfie keluar tidak sampai 15 minit.

Mungkin saya gila sejarah, atau nostalgik, atau sudah tua. Tapi saya rasa rumah ini mengujakan. Memanglah barangan di dalamnya bercampur aduk dari satu era dengan era yang lain, akan tetapi memasuki rumah seperti rumah dahulu, dengan kelengkapan rumah yang wujud pada zaman sebelum, semasa dan selepas perang membuatkan saya terfikir susah senangnya berada di Malaya pada zaman itu.

Sebelum balik, saya duduk menghirup kopi putih di dapur sambil berangan yang saya tuan punya rumah ini. Oleh kerana ia cuma angan-angan, saya buat keputusan untuk membeli 8 keping poskad sebagai kenangan di sini. Jika tidak dapat berehat di berandahnya tiap-tiap hari, cukuplah lukisannya untuk letak di dinding katil dan tatap setiap hari sebelum tidur.

Saya mungkin tidak sekaya hartawan Cina yang tinggal di situ di zaman dulu. Tapi mati hidup semula pun saya tidak rela mengganti hidup dengannya. Cukuplah saya menjadi orang biasa dengan rumah yang kecil, dari menjadi hartawan di rumah besar tapi terpaksa melalui zaman takut dibunuh kerana perang, zaman tiada makanan sebab kebuluran atau zaman berkurung di rumah kerana penyakit.

Saya tidak sekaya hartawan Heritage House Gopeng di Perak ini. Dan kereta saya rosak dalam perjalanan balik. Tapi dalam benak saya, berulang-ulang saya kata, syukur, syukur alhamdulillah!

  1. Salam sejahtera.
    Boleh saya tahu, masuk percuma atau dikenakan bayaran ya? Terima kasih.

    • Iskandar Suhaimi says:

      Salam Sya,
      Kali terakhir kami masuk, tak ada bayaran. Tapi ada kotak donation yg x ada jumlah khas pun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>