Feri-feri Penang yang sinonim dengan pulau mutiara, dan beroperasi selama lebih 120 tahun telah ditamatkan perkhidmatannya.
Persoalannya apa jadi kepada feri-feri ikonik lagi klasik ini?
Untuk pembaca JomJalan, kami selidik apa dia perancangan yang ada untuknya.
Diganti Catamaran

Setelah servisnya tamat, kenderaan 4 roda tidak lagi akan dapat menyeberang laut dengan feri. Semua kenderaan 4 roda perlu menggunakan dua jambatan yang ada untuk masuk dan keluar ke Penang.
Untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan motor, catamaran akan digunakan.
Dan kalau dulu masa merentas laut sekitar 30 minit, ia bakal dipendekkan ke 10 minit sahaja.
Masa Depan 6 Feri di Pulau Penang

Ada yang mengesyorkan agar feri-feri klasik (yang dinamakan sempena pulau-pulau Malaysia) ini tetap digunakan untuk tarikan pelancong — sama seperti tram di Perth ataupun keretapi Beaufort dan North Borneo di Sabah.
Dari penyelidikan yang kami buat, feri-feri Penang ini telah pun dibuka untuk pajakan pada awal tahun ini.
Syarikat-syarikat yang telah memenangi pajakan juga telah menerima feri masing-masing bermula dari bulan Julai 2021.

Feri Pulau Kapas & Pulau Payar

Kedua-duanya akan dijadikan restoran terapung. Dan akan diselenggara serta diletak di bawah kendalian syarikat Chuen Shin Aquaculture.
Feri-feri ini dijangka akan belayar dari Penang ke Pulau Jerejak.
Syarikat Chuen Shin Aquaculture ini ada memiliki sangkar-sangkar ternakan ikan di sekitar Pulau Jerejak selain mempunyai restoran makanan laut.
Feri Pulau Kapas dan Pulau Payar akan digunakan pelancong untuk melawat sangkar ternakan ikan, makan di restoran terapung dan melayan pemandangan malam Pulau Pinang dan Pulau Jerejak.
Feri Pulau Undan dan Talang-Talang

Kedua-dua feri ini bakal juga digunakan untuk cruise sekitar perairan Penang.
Ia dijangka akan diubahsuai agar lengkap dengan restoran, kedai, bilik persidangan dan dewan perkahwinan.
Hak untuk mengubahsuai Feri Pulau Undan dan Pulau Talang-Talang kepada feri pelancongan ini diberi kepada Kantan Jaya, iaitu sebuah syarikat yang berpengalaman menyelenggara feri.
Feri pelancongan ini akan berlabuh di Swettenham Pier dan hanya membawa penumpang. Rekabentuk feri dijangka dikekalkan seperti asal agar menjadi feri warisan.
Feri Pulau Pinang

Sebuah feri yang bernama feri Pulau Pinang pula akan dijadikan muzium.
Muzium ini dijangka akan diletak di Tanjung City Marina, berdekatan dengan jeti Pengkalan Raja Tun Uda.
Feri paling tua di antara semua feri yang ada ini tidak akan belayar. Setelah berlaku kebocoran yang mengakibatkan air masuk ke bahagian enjinnya, dan menyebabkan ia separuh tenggelam pada bulan Jun 2020, ia dikhuatiri tidak selamat untuk mengangkut penumpang.
Dek utama feri ini dijangka digunakan sebagai kawasan pameran dengan replika feri dan juga visual 3D. Dek atas dan bumbungnya pula dijangka memuatkan galeri seni dengan barang-barang glow in the dark.
Muzium Feri Pulau Pinang dibuat untuk mengembalikan nostalgia sejarah feri kepada pelawat. Ia dijangka memuatkan pameran bergambar, kedai cenderamata, cafe dan tempat bergambar.
Kos mengubahsuai feri ini menjadi muzium dijangka mencecah RM 1.5 juta.
Syarikat yang bakal mengendalikan muzium ini juga adalah syarikat yang sama yang menjalan operasi kedai cenderamata di Stesen Bawah Bukit Bendera, Muzium Negara dan juga Muzium Perak.
Feri Pulau Angsa

Feri terakhir dalam 6 feri yang ditamatkan khidmatnya ini pula akan diubahsuai menjadi port seni.
Berbeza dari 5 feri lain, ia dijangka akan dikendalikan oleh badan pelancongan Pulau Pinang sendiri. Ada kemungkinan ia bakal menjadi seperi Hua Hin Bus Depot yang digunakan oleh anak muda pulau ini untuk menjadi pusat berkarya dan pameran seni.
Dalam erti kata lain, kesemua 6 feri yang tamat perkhidmatannya di Penang tidak mati.
Feri-feri ini bakal mendapat nafas baru, diuruskan beberapa entiti berlainan, tapi terus kekal berjasa pada negeri ini.
Walaupun identiti setiap satu bakal berbeza, ia dijangka kekal meneruskan jasa untuk memartabatkan industri pelancongan di pulau mutiara, mungkin untuk 50 atau 100 tahun lagi.