KUALA LUMPUR – 23 Ogos 2019 – Gangguan pada sistem pengurusan lapangan terbang utama negara, KLIA kini masuk hari ketiga.
Dengan ini jadual lebih 68 penerbangan domestik dan luar negara tergendala sejak dari Rabu lalu.

Siaran Twitter MAHB pada pukul 6 pagi ini memberitahu, pihak mereka terpaksa membuka 38 remote bay mereka kerana ruang tempat meletak kapal terbang di gate pelepasan masih penuh.
Untuk membawa penumpang ke remote bay tersebut, 4 bas disediakan manakala masa operasi kesemua lapangan terbang seluruh negara telah dilanjutkan untuk menerima penumpang dari KLIA yang terkesan.
Dalam tweet mereka, MAHB menasihatkan kesemua penumpang agar hadir sekurang-kurangnya 4 jam sebelum waktu penerbangan mereka.

Laporan Bernama dipetik sebagai berkata, sistem lapangan terbang yang mengalami gangguan termasuklah sambungan WIFI, paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.
Terminal kad kredit untuk pembayaran di kedai dan restoran makanan juga tidak boleh digunakan di KLIA semalam.
Lapangan terbang yang teruk terjejas ialah KLIA manakala KLIA2 juga menerima sedikit tempias dari gangguan ini.

Untuk mengurangkan impak dari gangguan sistem ini, MAHB telah menyediakan 500 orang staf untuk urusan bantuan pelanggan.
Buat masa ini urusan daftar masuk penerbangan juga akan dilakukan secara manual.
Gangguan Sistem, Sabotaj atau digodam?
Buat masa ini MAHB masih tidak menjelaskan sebab gangguan.
Kenyataan rasmi dari mereka hanya mengulangi bahawa ianya adalah gangguan pada sistem.

Gangguan sistem yang masuk hari ke-3 pada skala sebegini adalah luar biasa.
Amat jarang urusan yang melibatkan penerbangan serta keluar masuk penumpang ke sesuatu negara terjejas sebegini lama.
Sebelum ini lapangan terbang lain juga pernah mengalami masalah hampir sama.
Namun begitu ianya terhad atau tidak sampai berhari-hari seperti di Kuala Lumpur.
Contoh Airport Lain Dengan Masalah Teknikal
Pada Julai 2013, lapangan terbang Istanbul mengalami masalah pada sistem kawalan passport mereka yang mengakibatkan kesesakan di lapangan terbang dan penerbangan tergendala.
Namun begitu sistem mereka tergendala hanya beberapa jam. Gangguan ini dikatakan akibat serangan virus.
Pada Julai 2016, paparan jadual penerbangan di 2 lapangan terbang Vietnam juga digodam. Akan tetapi ianya hanya kekal beberapa jam sahaja.
Sebelum MAHB, lapangan terbang Cleveland Hopkins juga mengalami gangguan sistem pada April 2019.
Namun begitu, serangan ransomware ke atas lapangan terbang ini berterusan beberapa hari cuma melibatkan paparan skrin penerbangan dan sistem komputer.
Ransomware ini dikatakan tidak mengganggu urusan keluar masuk penumpang.
Hanya serangan ke atas bandar Atlanta yang lumpuh selama 6 hari akibat ransomware (yang dikatakan dilakukan oleh penggodam Iran) yang lebih teruk dari apa yang terjadi di KLIA.
Sabotaj Dalaman Kakitangan Imigresen di KLIA dari 2010 hingga 2016
Urusan keluar masuk sempadan dan di KLIA juga pernah satu ketika dulu disabotaj oleh pegawai imigresen Malaysia yang bersekongkol dengan sindiket luar negara.

Pihak PDRM melakukan risikan pada 2016 selama 3 bulan apabila sistem komputer milik imigresen kerap mengalami kerosakan ataupun tergendala.
Hasil risikan mendapati kira-kira 100 pegawai imigresen terlibat untuk menerima arahan dari luar negara untuk jenayah pemerdagangan manusia.
Dalam sabotaj ini, setiap pegawai dibayar sekitar RM 150 ke RM 350 untuk membolehkan setiap seorang penumpang milik sindiket ini melepasi sistem imigresen negara tanpa dikesan.
Pegawai yang terlibat juga dikatakan memberi kod akses tertentu kepada sindiket asing ini sehingga pihak sindiket boleh mengawal komputer pihak imigresen di KLIA dari jauh.
Sistem yang dipanggil myIMMs, iaitu sistem sekuriti paling penting di KLIA telah dipasang sejak 20 tahun lalu oleh firma Heitech Padu.
Sistem ini sepatutnya bersambung terus ke sistem I-Checkit Interpol sejak 2014 lagi.
Sistem ini disabotaj agar tergendala pada setiap hari buat sementara waktu oleh sindiket.
Ini menyebabkan urusan pengesahan passport akan dibuat secara manual, membolehkan urusan keluar masuk seseorang penjenayah atau imigran (yang terdapat dalam sistem Interpol) menjadi mudah.
Hasil dari siasatan ini, 15 pegawai dipecat, 14 digantung manakala 8 orang dibekukan kenaikan gaji. 63 dipindahkan keluar dari Putrajaya.
Buat masa ini, atas jenayah pengkhianatan ini, belum ada seorang pun pegawai terlibat yang didakwa di mahkamah.
Serangan Siber dan Gangguan Sistem Bakal Ubah Negara
Ramai juga yang tidak sedar bahawa sistem komunikasi negara sebenarnya pernah diganggu dan maklumat (seperti nombor telefon hampir kesemua ahli politik dan orang penting negara) disalahgunakan pada waktu kritikal negara pada 2018.

Serangan siber besar-besaran ini berlaku bermula pada malam sebelum pilihanraya umum Malaysia ke 14 dan berlanjutan sehari suntuk.
Dalam serangan siber ini, ahli-ahli politik yang bertanding menerima panggilan telefon secara automatik tanpa henti bermula pada pagi hari pengundian.
Ketua polis negara, ketua turus angkatan tentera, ketua setiausaha negara juga tidak terkecuali dengan panggilan tanpa henti dari luar negara malam sebelum pilihanraya.
Kesemua telefon yang dibuat secara automatik ini (atau robo calls) telah melumpuhkan sama sekali penggunaan telefon mereka yang disasarkan pada hari tersebut.
Ini menyebabkan kesemua mangsa tidak dapat melakukan koordinasi pada hari penting itu.

Persoalannya, pihak mana mempunyai maklumat nombor telefon peribadi milik ahli-ahli politik serta orang-orang penting negara ini? Dan apa tujuan mereka melakukan robocall sebegini?
Menteri Telekomunikasi, sejurus selepas dilantik telah berjanji bahawa serangan ini akan disiasat dan hasilnya akan dimaklumkan kepada umum.
Tapi kini, lebih 1 tahun insiden serius ini terjadi, tiada sebarang maklumat lanjut diumumkan beliau.
Jadi rentetan dari kejadian-kejadian sebelum ini, adakah anda rasa gangguan 3 hari sistem MAHB hanya satu gangguan biasa, sabotaj atau satu insiden serius yang memperlihatkan kelemahan sekuriti negara?
Suatu insiden kelemahan yg boleh menghancurkan tanah malaysia ini. X percaya pada pdrm, lagi x percaya kerajaan ph keparat. Lindungilah malaysia ku ya allah swt. Ya jabbar. Ya rahim