Gordon Ramsay Buka Restoran di Malaysia, Tapi Kita Tak Boleh Teruja Sangatler …

Chef terkemuka dunia dan pemegang bintang Michelin, Gordon Ramsay akan membuka restoran pertamanya di Malaysia tidak lama lagi.

Restoran ini hampir siap untuk dirasmikan di Sunway Resort. Restoran mewah yang bakal dibuka untuk tetamu sepanjang hari ini menelan belanja RM 250 juta dan boleh menampung 150 tetamu pada satu masa.

Gordon yang mempunyai 6 bintang Michelin sewaktu artikel ini kami tulis, adalah antara chef celebrity paling terkenal di dunia setelah menjadi hos di beberapa rancangan TV seperti Hell’s Kitchen, Kitchen Nightmares dan Masterchef USA.

meja makan gordon ramsay restaurant sunway lagoon

Anak kelahiran Scotland yang terkenal dengan sikap keras, mulut laser kepada orang dewasa tetapi lembut kepada kanak-kanak ini ada lebih 30 restoran di seluruh dunia. Pendapatan beliau pada tahun 2019 dianggarkan oleh Forbes sekitar RM 900 juta.

Restoran beliau di Sunway Resort ini akan menghidangkan Beef Wellington Gordon Ramsay yang sangat terkenal.

Tapi anda tak boleh mengharapkan nak merasanya selepas puas mandi manda di Sunway Lagoon.

Restoran ini bakal dikenali sebagai restoran Bar & Grill. Jadi arak akan dihidangkan seperti mana-mana restoran Ramsay seluruh dunia. Selain itu, peluang daging dan bahan yang bakal digunakan di sini halal amat tipis.

Senang cerita, kita boleh berbangga chef Ramsay memilih Malaysia untuk restorannya. Tapi teruja jauh sekali sebab tak boleh makan pun kita.

Restoran ini sepatutnya telah dibuka pada bulan Jun 2021. Tetapi ditunda pembukaannya disebabkan PKP dan PKPD di Selangor dan Malaysia.

Seperti mana-mana pemilik restoran, Ramsay juga mengalami kerugian besar akibat pandemik Covid-19. Kerugian beliau sewaktu wabak ini dianggar sekitar RM 320 juta ringgit, dan itu hanya untuk restoran-restoran di London sahaja.