Ingin ke Luar Negara? 3 Tips Passport Pada Orang Baru

Passport anda mungkin masih belum tamat tempoh. Tapi anda mungkin gagal masuk ke negara destinasi jika anda tidak berjaga-jaga.

1. Pastikan Passport Anda Sah 6 Bulan ke Atas




Walaupun ia belum tamat, pastikan tempoh sah passport anda adalah lebih dari 6 bulan. Ini lebih kritikal jika anda tinggal atau belajar di negara luar dan ingin mengembara ke negara lain. Bukan apa, proses untuk menambah tempoh sah anda mungkin lebih panjang dan leceh.

Kebanyakan negara memerlukan tempoh sah selama 3 bulan, tetapi semakin banyak negara yang mula memerlukan lebih dari itu.

Tiada yang lebih mengecewakan dari sampai ke airport negara percutian dan diarahkan pulang semula kerana tempoh sah passport anda tidak mengikut undang-undang negara itu.

2. Bawa Salinan Passport & Jadual Perjalanan




Selain wang, passport anda adalah kertas yang paling berharga di luar negara. Jika hilang, anda ada masalah besar.

Jadi, bawa salinan passport. Gunakan salinan ini untuk perkara tidak rasmi (seperti urusan hotel atau di dalam keretapi) dan hanya keluarkan passport asal untuk kegunaan imigresen atau di sempadan.

Selain salinan ini, simpan juga salinan passport anda di awan (dengan Dropbox) atau hantar salinan itu ke email anda sendiri sebagai langkah berjaga-jaga.

Untuk negara yang sangat tegas seperti Australia, bawa juga jadual perjalanan anda. Ini bakal mempercepatkan urusan anda di airport, terutama sekali jika bahasa Inggeris anda sekadar tahap suam-suam kuku.

3. Pastikan Visa Juga Siap

Walaupun rakyat Malaysia boleh masuk ke lebih 160 negara tanpa visa, masih banyak negara yang memerlukannya.

Ada negara yang perlukan visa sebelum anda masuk (seperti Australia), dan ada juga yang mengeluarkan visa apabila anda tiba, tetapi dengan bayaran tertentu (seperti Nepal).

Sebagai langkah berjaga-jaga, rujuk keperluan visa anda di sini.

3 tips di atas memang kelihatan mudah. Tapi jika ini kali pertama anda ke luar negara, benda terakhir yang anda mahu ialah masalah besar dengan dokumentasi dan birokrasi.

Jadi sebelum anda sediakan wang untuk anda bercuti, pastikan anda juga sudah sediakan passport anda untuk dibawa bersama.


Kredit Gambar: Have dog, will travel

  1. Ya. Saya setuju. Sebab renew passport pun dalam RM200. Tapi kalau tersadai, jauh lagi mahal.

  2. Biar habis duit renew passport dari habis duit beli tiket kapal terbang dan tersadai kat airport je.. hu hu.

Comments are closed.

Jomjalan