Jambatan Saloma ataupun Saloma Link sah dibuka hari ini, 5 Februari 2020 pada pukul 2.30 petang.
Dengan adanya jambatan yang ditunggu tunggu lama ini, anda boleh berjalan kaki dari Kampung Baru ke KLCC, atau sebaliknya, selama hanya 15 minit.

Di Kampung Baru, anda boleh naik jambatan ini dari Lorong Raja Muda Musa 3, iaitu 100 meter dari LRT Kampung Baru.
Di bahagian KLCC pula, anda boleh naik di jalan Saloma, iaitu jalan bersebelahan Menara Public Bank.
Selepas projek jambatan bertingkat KLCC – Bukit Bintang dipuji ramai, Saloma Link ini dijangka akan menerima sambutan serupa, bukan sahaja kerana rekabentuknya yang cantik, tapi kerana ia menghubungkan KLCC dengan tempat-tempat makan Melayu di Kampung Baru.

Kalau dulu anda perlu berjalan 30 minit di jalan yang sibuk dan berbahaya untuk ke Kampung Baru dari KLCC, sekarang perjalanan anda bakal lebih cepat dan selamat.
Cantik Untuk Bergambar

Saloma link ini bukan jambatan biasa. Ia memang jambatan pejalan kaki yang dibuat untuk menjadi salah satu ikon baru untuk Kuala Lumpur. Lagipun, dengan gaya sirih junjung, ini antara struktur dengan gaya Melayu yang jarang dibuat pemaju sekarang.



Pada waktu malam, lampu-lampu LED Saloma Link juga akan bertukar warna, sama seperti Bridge of Peace di Tbilisi, Georgia (gambar di atas).
Disebabkan pihak pemaju tahu bahawa Saloma Link ini akan menjadi tempat OOTD, ada dua tempat khas untuk bergambar yang disediakan di sini.
Waktu Operasi & Mobiliti

Buat masa ini, masuk operasi dijangka mengikut waktu operasi tren LRT. Ia dijangka tidak dibuka 24 jam untuk mengurangkan masalah vandalisme.
Jambatan ini juga bersedia untuk mobiliti, dengan ramp untuk penungang basikal disediakan di bahagian sebelah Kampung Baru, manakala ramp untuk semua dibuat di bahagian Jalan Saloma.
Tentang Saloma Link

Jejantas pejalan kaki Saloma Link ini panjangnya 370 m, dengan kos RM 31 juta. Dari seluruh panjang jambatan ini, 69 m dibuat merentasi lebuh raya bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH).
Jambatan ini mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan dan sepatutnya dibuka pada November 2019.
Walaupun satu projek yang kelihatan mudah, Saloma Link ini adalah satu cabaran kejuruteraan. Tiang cerucuknya perlu dipasak berhati-hati kerana ia hampir dengan terowong LRT Kelana Jaya, terowong bekalan air di lebuhraya AKLEH dan juga beberapa terowong bawah tanah lain ke KLCC.
Jambatan berbentuk sirih junjung juga perlu disiapkan tanpa lebuhraya AKLEH ditutup sepenuhnya untuk trafik.
Apapun, syabas kita ucapkan kepada kumpulan Veritas yang menyiapkan projek ini, dan terima kasih kerana menyediakan satu ikon Kuala Lumpur yang mengambilkira warisan orang Melayu di ibukota ini.
Untuk instagrammer semua, tunggu apa lagi cik adek?
Mohd Nor Fauzi Abdul Kayum says:
Lif tidak beroperasi pada pagi Ahad 2/8/2020. Kami yang beriadah terpaksa memikul basikal dan escooter naik tangga yang amat menyeksakan… escooter saya beratnya 33 kilogram!
Ada dibuat ruangan di tepi tangga untuk menyusurkan basikal anda, akan tetapi ia tidak praktikal kerana terlalu licin dan sudut 45 darjah sama seperti tangga adalah mustahil untuk naik tangga sambil tolak basikal atau escooter yang berat.
Pelukis pelan tidak mencuba sendiri apa yang di bangunkan. Longkang kecil untuk tayar basikal juga terlalu rapat dengan tangga. Habis basikal yang mahal-mahal tercalar.
Sayang pengalaman yang sepatutnya baik tapi dicemari dengan hasil binaan yang tidak praktikal.
Iskandar Suhaimi says:
Sayangnya. Jadi ruang ramp Saloma Link akhirnya mengikut macam banyak tempat kt Malaysia, yang ramp dibuat dengan slope yg tak masuk akal ye?