17 November 2020 — Kedai buku EsLite dari Taiwan dilaporkan bakal dibuka di Starhill, Bukit Bintang pada 2022.
Kedai buku yang pernah dinobatkan sebagai kedai buku terbaik di Asia pada 2014 oleh Time, dan kedai buku paling cool di dunia pada 2019 oleh CNN, akan mengambil seluruh ruang tingkat 1 Starhill.

Dengan keluasan melebihi 70,000 kaki persegi, ia bakal menjadi kedai buku terbesar di Malaysia, menewaskan kedai buku Bookexcess Sunway Big Box di Johor yang berkeluasan 32,000 kaki persegi.

Menurut mereka yang terlibat dalam pembangunan ubahsuai Starhill untuk kedai ini, apabila siap, akan ada satu eskalator khas dari kawasan atrium terus ke kedai buku ini.
Di luar kedai pula bakal dibangunkan kawasan santai dan cafe untuk menarik lebih ramai pelanggan masuk ke Eslite.

Kedai ini berkemungkinan dibuka 24 jam sehari, dan memuatkan buku berbahasa Melayu, Cina dan Inggeris di samping cenderamata, barangan kraf dan mempunyai persembahan kreatif dan muzik di kawasan dalamnya.
Dengan adanya Eslite nanti, Kuala Lumpur bakal menjadi destinasi kedai buku yang menyeronokkan untuk ulat-ulat buku dunia.
Setelah adanya kedai buku Jepun, Kinokuniya di KLCC dan kedai buku murah 24 jam Bookexcess di Cyberjaya, kedatangan kedai buku Taiwan ini memang ditunggu-tunggu oleh ramai peminat buku seluruh Malaysia.
Akhirnya Bukit Bintang bakal jadi kawasan elit yang terkenal buan saja sebab shopping dan busking, tapi juga untuk tambah otak geliga buat yang cari buku baru untuk reading.
[static_content id=”18001″]