39 Kedai Makan Sedap Kat Area Bandar Melaka – Sarapan Sampai Dinner

Nak cari kedai makan sedap dalam area bandar Melaka?

Ini senarai tempat makan best, popular yang ada kat area ini. Senang nak jamu selera dari sarapan sampailah dinner.

Jom tengok tempat makannya.

Sarapan Pagi

Breakfast macam orang tempatan kat tempat makan menarik bandar Melaka bawah ini.

Sayyid Antique & Café

sayyid cafe jonker walk melaka
Kredit : tandokkk

Nak sarapan dalam suasana lama dan dikeliling barang antik? 

Kalau tak ada anak kecil, makan pagi dalam kedai kat area Jonker Walk ini pun cantek.

Menunya kecil. Tempat duduk sedikit saja.

Tapi boleh buat putar masa, sebab menu orang lama. 

Lokasi : 74, Lorong Hang Jebat, 75200 Melaka

Mee Goreng Hassan

mee bodo melaka - tempat sarapan sedap melaka
Kredit : rodzya_95

Warung yang juga dipanggil warung Mee Bodo ini terkenal dengan mee goreng kosong dengan taugeh, sambal dan telur goreng.

Sajiannya simple. Anda kena campur cuka dan kicap manis supaya kena dengan selera.

Parking payah kat sini. Dan kena sanggup beratur menunggu mee.

Lokasi : 390, Jalan Tengkera, Kampung Lapan Tengkera, 75200 Melaka

Restoran Rashid Corner 

rashod corner
Kredit : norhayati_abwahab

Ini kedai Melayu yang ada banyak pilihan makanan untuk sarapan pagi.

Nak roti canai dan murtabak ada kat sini. Kalau tak minat, cuba lontong dan cakoi. Atau kari kambing buat cicah dengan capati.

Nak explore yang berbeza? Cuba pau goreng ataupun tosai rawa.

Ia kat tepi jalan utama. Senang nak jumpa.

Lokasi : Taman Bukit Piatu Mutiara, 75150 Malacca

Nasi Lemak Hijau 

nasi lemak hijau ujong pasir melaka
Kredit : xiaov93

Untuk yang nak makan nasi lemak pagi-pagi cuba datang sini.

Kat sini nasi lemaknya warna hijau. Dan pilihan lauknya meriah. 

Boleh pilih nasi lemak dengan sotong raja, udang crispy, ikan siakap sampailah ayam mozarella.

Cuma kalau datang, berkereta dengan berhemah. Sebab ia kat kawasan kampung. Rumah jirannya pun sebelah menyebelah.

Lokasi : 199-18, Jln Masjid Ujong Pasir, Kampung Ujong Pasir, 75050 Malacca

Nasi Lemak Ujong Pasir 2

nasi lemak ujong pasir melaka
Kredit : ahmadsyahir_asar

Tempat sarapan ini pun popular juga. Dan dengan kedai nasi lemak hijau tak jauh mana.

Pilihan makanan kat sini banyak. Selain signaturenya ( nasi lemak rendang daging) ada soto, kacang pool dan ketupat.

Cuba juga laksa nyonya kalau perut belum sendat.

Lokasi : 54, Jalan Ujong Pasir, 75050 Melaka

Yusman Roti Canai & Katering

yusman roti canai
Kredit : harith.fuad_

Kat sini roti canainya datang dengan kuah berlauk. 

Jangan terkejut pula. Memang kat sini orang makan roti canai dengan jenahak, sotong atau pari untuk sarapan pagi.

Bajet kecil? Tak apa.  Roti canai kosong dan roti bawang masih boleh di order.

Lokasi : 2152, Jalan Pandan, Kampung Pandan Mawar, 75250 Melaka

Warung Caun

warungcaun
Kredit : warungcaun

Warung ini famous dengan lauk pagi yang rare — macam lontong goreng, cekodok cheese dan juga nasi lemak lobster.

Tapi sarapan gaya kampung macam lempeng dan nasi lemak biasa pun ada.

Hujung minggu orang ramai. Bersedia untuk tunggu meja kalau pukul 9 baru nak start enjin kereta.

Lokasi : 13891, Jalan Bukit Katil, Kampung Tengah, 75460 Melaka

Makan Tengahari

Kat bawah ini pula senarai kedai makan tengahari yang best dan popular sekitar area Bandar Hilir Melaka.

Asam Pedas Kota Laksamana

asam pedas kota laksamana melaka - kedai makan tengahari menarik melaka
Kredit : makcik.megan_

Ini mungkin restoran asam pedas paling terkenal dalam kawasan bandar Melaka.

Ia ada asam pedas dengan beberapa jenis ikan, ayam dan daging.

Cuma pedasnya mungkin menyengat. Kalau perut anda jenis yang manja, kena banyak beringat. 

Lokasi : 86, Jalan Laksamana 5, Taman Kota Laksamana, 75200 Melaka

Jit Fan Restaurant

Kredit : jitfanrestaurant

Nak makan nasi ayam style Cina? Datang ke Jit Fan bila di Melaka.

Menu nasi ayam Hainan kat sini simple saja.  Boleh ambil sikit atau order separuh kalau suka ratah dagingnya.

Dan ambil rice ball juga buat pelengkap hidangan anda.

Jangan risau. Kedai ini ada halal Jakimnya.

Lokasi : No. 21 Jalan PNBBU 1 Pusat Niaga Utama, Bukit Baru,75150 Melaka

Asam Pedas Claypot Lima Beradik

asam pedas 5 beradik
Kredit : joy_saleem

Ini kedai yang asam pedasnya pekat dan dihidang panas dalam claypot. Dan anda dilayan orang krew adik beradik dari satu keluarga.

Selain asam pedas, ada tomyam dan ayam penyet untuk yang nak variety.

Kalau takut rindu termimpi-mimpi berasap bibir kat sini, beli paste asam pedas mereka. Balik boleh masak sendiri.

Parking? Tak mudah, Kak Bedah.

Lokasi : 28, Jalan PM5, Plaza Mahkota, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Atlantic Nyonya

atlantik nyonya halal
Kredit : atlanticone

Nak rasa makanan Nyonya kat Melaka yang sedap dan ada halal Jakim?

Jom pi sini.

Kat sini orang suka ambil nasi pandan, ayam pongteh dan nasi goreng nanas.

Tapi lapik perut dulu. Waktu menunggu makanan lazimnya lama.

Bajet untuk makan pun kena tinggi dari biasa.

Nota : Ia ada 2 kedai dalam kawasan yang sama. Dan untuk makan malam pun ia buka. 

Lokasi : 145, Jalan Kubu, Kampung Satu, 75300 Melaka

Hadramawt Palace

Kredit : RHPapalceMelaka

Ini pula restoran Arab.

Sesuailah untuk anda nak makan nasi mandy,  nasi kabsa dan bukan asam pedas Melaka.

Harga sedikit tinggi. Sesuailah dengan gaya restoran dan namanya ini.

Parking kat sini senang. Nak solat pun masjid dekat saja bang.

Lokasi : No.15, Jln Pnbb 2, Pusat Niaga Bukit Baru, Mukim Bukit Baru,75150 Melaka

Restoran Lot 85

Kredit : mr_asry_sharif

Ini kedai Melayu yang popular untuk makan tengahari buat orang tempatan kat kawasan Durian Daun.

Ia ada banyak lauk campur dan juga ulam.

Apa best nak makan? Cuba asam pedas tetel, nasi biryani ayam goreng atau kari kepala ikan.

Lokasi : Jalan Putri Hang Li Poh, Kg Durian Daun Dalam, 75400 Melaka

Asam Pedas Dahliea Ria

Kredit : dahliearia

Kedai ini tak jauh dari asam pedas Kota Laksamana.

Dan ikan asam pedasnya pun dihidang guna claypot. Nak yang murah, pilih ikan kembung atau pari. 

Kalau poket power, ambil ikan merah atau jenahak untuk kongsi berdua.

Lokasi : 108, Jalan Laksamana 6, Taman Kota Laksamana, 75200 Melaka

Wong Solo

wong solo melaka
Kredit : rain_sweetlab_melaka

Untuk yang nak makan lauk Indonesia, kedai makanan ayam penyet Indonesia ini pun ada cawangannya kat Melaka.

Selain ayam penyet, boleh cuba juga ayam bakar, pecel lele (keli) dan empal sapi (lembu).

 Apapun, jangan skip sambal nya. Sebab itu yang buat hidangannya istimewa.

Parking kat sini payah disebabkan lokasi.

Lokasi : 108, Jalan Laksamana 6, Taman Kota Laksamana, 75200 Melaka

Asam Pedas Selera Kampung

kedai makan asam pedas tengahari melaka yang menarik
Kredit : hasni73

Ini satu lagi lokasi makan asam pedas popular kat sini. Tak jauh dari menara Taming Sari.

Ada asam pedas, dan juga lauk masak lemak ( siput sedut, udang galah) yang sudah ready disenduk ke mangkuk.

Parking payah sebab tengah Bandar Hilir. Dan harga lebih tinggi mungkin disebabkan lokasi.

Lokasi : Plaza Mahkota, Bandar Hilir 75000 Malacca

Nasi Ayam Baba

NasiAyamBaba
Kredit : NasiAyamBaba

Kedai nasi ayam ini masakannya ala Cina. Tapi owner dan krewnya orang Melayu.

Walaupun signature dish kat sini nasi ayam, mee wantan dan yee mee nya pun ramai yang puji.

Kedai ni sudah berteknologi. Order pakai QR code. Makanan dihantar pakai robot troli.

Lokasi : 30, Jalan pegaga, Taman Merdeka, 75350 Melaka

Asam Pedas KING

restoran best melaka - asam pedas KING
Kredit : sisleen_

Asam pedas King by Selera Ibuku ini satu lagi kedai makan tengahari yang menarik dalam area Bandar Hilir Melaka.

Ia ada makanan signature untuk Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Jadi kalau tak mahu asam pedas, ada ikan bakar. Muak dengan ikan patin tempoyak, pilih ikan masak lemak cili api.

Cuma harganya sedikit tinggi. Sesuai datang bila sudah masuk gaji.

Lokasi : 30G, Jalan PM 9 Plaza Mahkota, Bandar Hilir, 75000, Melaka

Asam Pedas Kak Su ( Duyong)

asam pedas kak su duyong
Kredit : myfieza

Tak jauh dari kompleks Hang Tuah ada kedai asam pedas Kak Su.

Ini kedai orang tempatan area situ. 

Ia ada asam pedas, ikan bakar dan juga lauk campur macam biasa.

Tapi harga lebih murah dari kebanyakan kedai asam pedas Melaka. 

Lokasi : Kampung Jambatan Duyong, 75460 Malacca

Makan Petang

Ini pula tempat makan best dan viral sementara anda pusing dan meronda kat Melaka. Makanan yang ada jenis ringan-ringan tapi sedap atau popular.

Cendol Kampung Hulu

Kredit : cendolkampunghulu

Melaka memang famous dengan cendol orang Cina.

Tapi untuk orang Melayu, boleh layan cendol Kampung Hulu.

Ini cendol moden ala hipster yang ada kat Makan Avenue.

Boleh tambah aiskrim, mangga atau durian untuk tambah padu.

Sambil makan, layan view sungai Melaka. Syahdu dan ngam untuk instagram you.

Lokasi : 26, Jalan Kampung Hulu, Kampung Hulu, 75200 Melaka

Cendol Jam Besar

Kredit : redzuansazali

Ada yang kata ini antara kedai cendol paling tua kat Malaysia.

Tempat duduk kat sini terbuka. Dan macam biasa, boleh order cendol pulut atau durian untuk tambah power.

Tempatnya pun senang nak jumpa kalau jalan kaki ronda bandar Melaka.

Lokasi : Bandar Hilir, 75200 Malacca

Kafe Kueh Melaka

Kredit : buffetkuihtradisional

Nak kuih kampung Melayu? Try yang ini dulu. 

Senang kalau mengidam talam cendol, popia sira dan apam rose buat makan petang-petang.

Ia mula buka sekitar tengahari. Jadi boleh tapau awal untuk makan kat hotel petang nanti. 

Lokasi : 39, Jalan Graha Maju, 75300 Melaka

Keria Antarabangsa Haji Jalil Limbongan

keria haji jalil limbongan
Kredit : ohmedia

Kedai kuih keria ini terkenal seluruh Melaka.

Warna kuihnya gelap sebab ia guna gula Melaka dan bukan gula biasa. Kuihnya pun rangup kat luar, lembut kat dalam.  

Tapi bersedia untuk beratur. Lagi-lagi kalau orang depan anda order berpuluh-puluh untuk saudara mara.

Lokasi : 29, Jalan Kristal Merah, 2, Jalan Limbongan, 75200, Malacca

Bubur Kg Hulu

Kredit : buburkampunghulu

Ini pula tempat makan segala bubur – dari bubur pulut hitam dan jagung sampai la ke bubur labu, keledek dan cha cha.

Nak pengat, sago dan ubi kayu? Pun ada.

Sayangnya ia cuma dibuka hari Jumaat dan hujung minggu saja. 

Lokasi : 72, Jalan Panglima 1, Bukit Serindit, 75400 Melaka

Rojak Ali Lido

rojak ali lido melaka
Kredit : foreverfoodie89

Kat Jonker Walk, ada kedai rojak Ali Lido.

Ini tempat makan untuk layan rojak mamak dan cendol sama macam zaman 50an dulu.

Cuma tempat makan ala kadar keadaannya. Cari parking pun menggugat jiwa.

Lokasi : Kampung Jawa, 75100 Malacca

Perhentian Kuih Kampung

Datang bercuti dengan mak ayah? Jangan lupa singgah kat Perhentian Kuih Kampung.

Selain dalam 40 jenis kuih Melayu (kebanyakannya jenis kuih talam), ia ada juga makanan berat macam tetel, soto dengan nasi ayam sunquick.

Tapi parking memang payah. Dan bersedialah untuk beratur untuk tunggu meja kosong kalau datang waktu hujung minggu.

Lokasi : Ujong Pasir, Melaka

Mee Sup Tengkera

Kredit : nurulhjnordin79

Kedai makan dekat area bandar Melaka ini famous dengan mee sup dan popiah nya. Ada yang panggil kedai ini Mee Gian juga.

Sajiannya simple, dan supnya jernih. Sesuai untuk anak kecil dan yang berusia.

Tapi kena datang awal. Sebab kadang-kadang selepas 2 jam buka pun makanan sudah clear.

Parking? Menguji iman, macam kebanyakan kedai di Melaka.

Lokasi : Lot, 460, Jalan Tengkera, 75200 Malacca

Malaqat Barkat Roti John

malaqat barkat roti john
Kredit : malaqatbarkatrotijohn

Nak makan roti john simple macam zaman 1990an dulu — yang jenis tak ada cheese, tak ada mayo meleleh? Datang sini.

Kat sini ada roti john ikan bilis dan sardin dan sos untuk cicah. Dan tak kurang yang order roti john dengan ayam golek.

Pilihan makanan terhad. Tapi parking selalunya senang.

Lokasi : 60, Jalan Kenanga 1/24,, Taman Kenanga Seksyen 1, Melaka

Makan Malam

Tempat makan malam menarik kat dalam area bandar Melaka ada banyak. Tapi restoran dan kedai kat bawah antara yang paling popular.

Cengkerang Seafood Jumble 

cengkerang seafood jumble
Kredit : cengkerangseafoodjumble

Ini tempat layan shell out. 

Ngam sangat untuk anda yang nak makan makanan laut tapi malas nak drive jauh untuk ikan bakar.

Masakan shellout yang popular kat sini guna sos jenis Jack Meets Rose dan The Butterman. Dua-dua rasanya berbeza.

Cuma kena sabar, sebab jumlah pelanggannya kadang-kadang luar biasa. Bajet pun kena keras sebab makanan laut memang tinggi harganya.

Nota : Kalau bajet beribu, ada Alaskan King Crab dan Canadian Lobster untuk lauk lebih padu.

Lokasi : No 10, Jalan KLJ 1A, Taman Kota Laksamana Jaya, Melaka

Bica & Co Courtyard Cafe

rosa melaka
Kredit : rosamalacca

Bica & Co ini kat dalam hotel Rosa Melaka. Cafenya lawa. Gayanya hipster. Ngam untuk instagram atau honeymoon berdua. 

Makanan kat sini gaya Western. Jadi ada pizza, fish & chips dan juga waffle.

Nak rasa ala Malaysia, boleh order nasi lemak pasta atau rendang pizza.

Harganya sesuai dengan suasana. Dan halal Jakim ada untuk makanan di hotel Rosa Melaka.

Lokasi : 212, Jalan Parameswara, Kampung Bandar Hilir, 75000 Melaka

Mee Besen Original

Kredit : fika_khalid

Ini salah satu tempat makan paling viral kat Melaka.

Ia tak pakai mangkuk untuk hidangan mee, tapi bekas stainless steel sebab saiz hidangan mee nya boleh dipilih dari saiz S sampai ke XL.

Hidangan popular? Talam Western, mee besen dan mee soya.

Sebab ia popular, kena datang awal. Bersedia juga untuk berdiri menunggu meja. 

Lokasi : 17, Jalan PNDD 1, Kampung Durian Daun Dalam, 75200 Melaka

Restoran Selera Hang Tuah

selera hang tuah
Kredit : khai_arba

Untuk yang nak pekena asam pedas malam-malam, Restoran Selera Hang Tuah antara tempat makan kena tuju.

Yang specialnya kat sini, ada asam pedas telur ikan mayong dan asam pedas gearbox.

Kalau isteri tak mahu makan berat bila malam menjelma, bolehlah order cucur ikan bilis, kerang bakar, satay atau lempeng kelapa.

Lokasi : Jalan Bukit Katil – Duyong, Kampung Duyong, 75460 Melaka

Cafe Le Que

le que cafe melaka
Kredit : aishahsky

Le Que yang dekat Jonker Walk ni cafe milik orang Melayu.

Tempat ini famous dengan steak yang pelbagai — dari Black Angus Sirloin sampailah daging lembu premium jenis Wagyu.

Harganya agak tinggi. Tapi sesuai dengan presentation yang seakan fine dining dengan lauk berkualiti.

Untuk cuci mulut cuba juga waffle nya nanti.

Lokasi : 110, Jalan Kubu, Kampung Tiga, 75300 Melaka

Pak Putra

Kredit : alimamaguesthousemelaka

Kedai Pakistan yang tak jauh dari Jonker Walk ini buka mulai petang saja.

Tapi ia antara kedai makan malam lauk mamak yang popular dalam bandar Melaka.

Yang wajib cuba kat sini, double cheese naan dengan ayam tandoori.

Lokasi : 56 & 58, Jalan 4, Taman Kota Laksamana, 75200 Melaka

EY Cafe Mee Rebus Sentosa

Kredit : nurul.haziera

Kat area Kampung Morten, ada cafe kecil yang jual mee rebus dan nasi lemak.

Ngam untuk makan malam sambil layan suasana kampung Melayu. Best sebab boleh layan angin sungai dan lampu-lampu.

Tapi ia kat tepi rumah. Parking memang payah.

Nota : Anda boleh parking kat seberang sungai, dan jalan kaki lalu jambatan ke sini.

Lokasi : Jalan Kampung Morten, Kampung Morten, 75300 Melaka

Sate R & K

Kredit : surayaqx

Kat JB ada sate Wak Radol dan kat Kajang ada sate Haji Samuri.

Kat Melaka pula ada sate R & K ini.

Harga satenya standard biasa, dan ada sate ayam sampai daging yang juicy selalunya.

Kalau nak makanan berat, nasi goreng, mee dan tom yam tersedia.

Lokasi : 63, Jln BPM 1, Taman Bukit Piatu Mutiara, 75400 Melaka

Bruh Kitchen

Kredit : bruhkitchen

Ini satu lagi kedai makan hipster Melayu yang menarik untuk makan malam.

Selain spaghetti dan fettuccine, yang buat ramai datang ialah lamb ribs dengan beef brisket nya. Daging dan ayam kat sini dimasak gaya BBQ Texas.

Sebelum balik, cuba juga sepotong mango cheese cake.

Lokasi : 2, Jalan Puteri Hang Li Poh, Kg Durian Daun Dalam, 75400 Malacca

TWS

Kredit : tws.my

Untuk anda yang hotelnya kat Melaka Raya, boleh cuba TWS.

Ini tempat jamu selera dalam suasana moden dan selesa.

Yang popular kat sini Sirloin Steak dan Aglio Olio. Tapi kalau nak nasi, lauk black pepper chicken chop ada.

Harga sedikit tinggi. Tapi sesuai dengan saiz hidangannya.

Jangan risau, Walaupun ownernya dari Belanda, sijil halal Jakim tersedia.

Lokasi : 48 Jalan 13, Taman Melaka Raya, 75000 Melaka

Bara Bara Api Steamboat & Grill

Kredit : barabaraapisteamboatgrill

Kami tutup senarai ini dengan tempat yang boleh anda makan dan minum sebanyak yang mahu.

Ia restoran steamboat. Pilihan lauknya beratus. Pilihlah seafood, daging dan steamboat sampailah ke tempura, takoyaki dan satay celup.

 Nak minum, jus buah ada. Nak cuci mulut, aiskrim tersedia.

Untuk base sup nya ada beberapa pilihan. Boleh pilih dari laksa nyonya, tom yam atau sup herba.

Memang ngam makan dengan member atau keluarga.

Lokasi : 31, Jalan Kristal 1, Tmn Limbongan Indah, 75200 Melaka

Okay, lengkap sudah senarai tempat makan yang menarik, viral dan popular sekitar area Bandar Hilir Melaka untuk anda cuba.

Ada banyak pilihan untuk berjenis selera.

So, nak cari asam pedas atau bersedia untuk teroka kedai hipster?

JomJalan Seluruh Melaka

Senarai tempat tarikan best di Melaka
Hotel terbaik Melaka pilihan kami
Layan kedai makan sedap Melaka
Promo hotel, tarikan Melaka
Jomjalan