13 Kedai Makan Sedap di Klebang Melaka – Sarapan Sampai Dinner

Nak cari tempat makan menarik kat area Klebang sebab lokasi hotel anda di sana?

Tak mengapa. 

Jom tengok kedai-kedai makan best kat Klebang dan sekitarnya.

Sarapan Pagi

Untuk sarapan di area Klebang, ini antara tempat-tempat makan menarik yang boleh anda pilih.

Warong Kopi Manggis Road

warongkopimanggisroad
Kredit : warongkopimanggisroad

Kat Manggis Road, menunya banyak nama fancy – dari air jagung berdenyut dan mee perang damai sampai ke nasi lemak maharaja (ada 4 lauk).

Selain makanan berat ia juga ada lontong dan roti.

Tapi datang awal. Walaupun harga sedikit tinggi, ia antara tempat sarapan popular kat sini.

Sebelum pukul 8 pun sudah ada yang setia menanti.

Lokasi : 71, Jalan Kampung Baru, Taman Gembira, 75200 Melaka

Warung Hajjah Robiah 

warung hajjah robiah
Kredit : royterachi

Nak makan nasi lemak bungkus, roti jala atau kuih pada harga biasa-biasa? Ini tempatnya.

Kat sini ada gerai-gerai yang jual makanan beraneka. Yang old school boleh jumpa lempeng kelapa, cucur, atau ubi kayu cicah sambal bilis.

Kalau nak roti canai, soto atau sate, pun boleh jumpa kalau awal datangnya ke kedainya.

Cuma parking memang masalah negara. 

Lokasi : 3123C, Jalan Limbongan, Kampung Kolam Limbongan, 75250 Melaka

Mee Goreng Hassan

mee bodo melaka - tempat sarapan sedap melaka
Kredit : rodzya_95

Ini kedai makan pagi yang popular kat area Kota Laksamana. 

Sajian istimewa kat sini mee goreng Bodo yang berkali-kali masuk TV, dan viral di mana-mana.

Ia mee goreng yang nampak biasa. Dan anda kena pandai adun sambal dan cuka supaya naik rasanya. Untuk tambah lauk, telur goreng sambal timun jangan lupa order.

Parking, sekali lagi, memang susah mencarinya.

Lokasi : 390, Jalan Tengkera, Kampung Lapan Tengkera, 75200 Melaka

Makan Tengahari

Untuk makan tengahari, walaupun ada kedai-kedai makan area Klebang, tempat makan popular lebih banyak di kawasan yang hampir dengan bandar Melaka.

Asam Pedas Kota Laksamana

asam pedas kota laksamana melaka - kedai makan tengahari menarik melaka
Kredit : makcik.megan_

Ini antara kedai asam pedas paling popular Melaka. Dan letaknya di Kota Laksamana.

Asam pedas claypot kat sini datang bentuk set tanpa minuman.  Pilihlah nak ikan kembung, pari sampailah ke jenahak.

Cuma parking bermasalah kat sini. Lagi-lagi masa musim cuti.

Lokasi : 86, Jalan Laksamana 5, Taman Kota Laksamana

Asam Pedas Dahliea Ria

Kredit : dahliearia

Tak jauh dari kedai kat atas ada restoran asam pedas claypot ini.

Ia pun hampir sama ramai manusia bila waktu tengahari tiba. Dan juga antara tempat makan asam pedas popular sekitar Kota Laksamana.

Kalau dah biasa asam pedas ikan, cuba telur ikan, tetel atau ayam pula. Kalau tak, nasi goreng, soto, nasi ayam dan nasi lemak pun ada.

Parking payah. Sama macam kebanyakan kedai di kawasan Kota Laksamana.

Lokasi : 108, Jalan Laksamana 6, Taman Kota Laksamana

Makan Petang

Untuk lapik perut makan petang, ini kedai, restoran dan cafe bagus atau viral kat Klebang.

Klebang Original Coconut Shake

klebang original coconut shake
Kredit : dada_phoenie

Tak perlu kami nak cerita lagi betapa popularnya tempat ini. 

Kalau kawasan jalanraya di Klebang jem, ada kemungkinan sebab orang nak ke sini.

Nak extra creamy, ambil yang special sebab ada topping aiskrim. Kalau datang awal, nasi lemak dan kuih muih pun ada untuk duduk jamu selera.

Tips : Ia buka seawal 11:30 pg. Dan ada cawangan kat area dataran 1 Malaysia.

Lokasi : Lot 130, Solok Kampung Bahagia, 75200 Klebang Besar

Kopi K

kopi k melaka
Kredit : dielaros

Tempat minum kopi petang ini ada dalam kawasan perumahan Klebang. 

Selain ada mango cheese cake dari kedai Kula Cakes (yang famous kat Kuantan), ia juga ada nasi lemak bamboo untuk yang terlepas makan tengahari.

Nak minum petang gaya orang dulu? Order kopi dengan ubi kayu.

Tempatnya hipster. Tapi datang waktu redup sebab kawasan Melaka memang berbahang panasnya.

Lokasi : Lot 18423 Jalan Muhibbah 5 Taman Muhibbah, Klebang, 75200 Klebang Besar, Melaka

Avocado Melaka

avocado melaka
Kredit : izzat_syahmi_

Untuk yang cuba air Avocado blended masa cuti boleh ke sini.

Kat sini buah avocado dijadikan air dan dicampur gula Melaka dengan beberapa pilihan topping — dari coklat kepada strawberry.

Masa beratur boleh jadi 1 jam lamanya. Dan parking pun hampir tak ada. 

Senang cerita, anda memang kena gigih kalau nak mencubanya. 

Lokasi : Jalan Limbongan, Limbongan, 75200 Klebang, Melaka

Keria Hj Daud

kuih keria hj daud melaka
Kredit : joshjuing

Warung kuih kat Klebang ini pula tempat layan kuih keria tanpa perlu beratur lama. 

Dan kuih keria nya pun ramai yang suka.

Selain keria, ada samosa, tart dan taufu-fa. Memang cukup untuk lepak petang-petang kudap sambil layan angin kat dataran 1Malaysia.

Lokasi : Jalan Klebang Besar/Klebang Kecil, Taman Orkid, 75200 Melaka

Keria Antarabangsa Haji Jalil Limbongan

keria haji jalil limbongan
Kredit : ohmedia

Satu lagi kedai kuih keria yang popular di Melaka ialah Keria Antarabangsa. Tapi kena bergerak keluar sedikit dari Klebang untuk merasainya.

Dan macam kuih keria kedai lain di negeri ini, ia berwarna gelap sebab gula yang dibuat menyalut keria ini ialah gula Melaka.

Kalau sudah sampai ke sini, kena sabar menanti. 

Lagi-lagi waktu cuti sekolah. Beratur menunggu memang buat orang lelah.

Lokasi : No 29, Jalan Kristal Merah, 2, Jalan Limbongan, 75200, Malacca

Mee Sup Tengkera

Kredit : nurulhjnordin79

Ini pula kedai makan dekat area bandar Melaka yang famous dengan mee sup kuih jernihnya.

Sajian mee sup kat sini kontroversi. Sebab ada yang jatuh cinta dengan ringkas sajiannya, dan ada juga yang kata – simple sangat dan bukan taste saya.

Apapun, kalau belum cuba, kena datang dan rasa dulu dengan keluarga.

Lokasi : Lot 460, Jalan Tengkera, 75200 Malacca

Makan Malam

Kat bawah ialah lokasi untuk makan malam Klebang yang popular di kalangan orang tempatan dan luar.

Melantak Steak Hub

Kredit : twopointsix_kitchen

Untuk layan western food kat Klebang, boleh lah ke Melantak Steak Hub.

Kedai ini buka dari tengahari sebenarnya. Dan selain talam western, burger dan pizza ada juga nasi, mee claypot dan spaghetti. 

Ia pun sudah berteknologi. Makan dihantar pakai robot troli.

Lokasi : 208, Jalan Klebang Besar/Klebang Kecil, Taman Orkid, 75200 Melaka

Bara Bara Api Steamboat & Grill

Kredit : barabaraapisteamboatgrill

Kita tutup senarai ini dengan tempat steamboat ini. Khas untuk anda yang nak makan puas-puas kat Melaka.

Macam biasa, tempat steamboat begini, bayar sekali, makan sampai puas hati. Dan pilihan steamboat yang ada pun banyak – dari daging, ayam dan udang kepada fishball dan base soupnya pun bukan setakat tomyam tapi ada juga laksa nyonya.

Untuk pencuci mulut, jamu pula takoyaki, aiskrim atau sushi.

Sebab popular, kalau hari biasa boleh walk-in. Tapi kalau hari cuti, lebih baik reserve dulu tempat anda.

Lokasi : Jalan Limbongan, 31, Jalan Kristal 1, Taman Limbongan Indah, 75200 Melaka

Okay, lengkap sudah senarai kedai-kedai makan menarik dan popular sekitar area Klebang Melaka.

Ada yang di Klebang dan ada yang kena memandu sedikit ke Kota Laksamana.

So, dah ada tempat makan anda nak cuba?

JomJalan Seluruh Melaka

Senarai tempat tarikan best di Melaka
Hotel terbaik Melaka pilihan kami
Layan kedai makan sedap Melaka
Promo hotel, tarikan Melaka

Jomjalan