makan malam sedap perak - dalam gamabr ialah miker pizza

Yum! Yum! – 15 Kedai Makan Malam Sedap di Ipoh ( Dari Lauk Melayu ke Cina )

Nak cari tempat makan sedap kat Ipoh untuk makan malam masa cuti nanti? Jangan pening.

Ini kami senaraikan 15 kedai makan best untuk dinner yang ada dalam bandar Ipoh, dan juga kat kawasan tepi-tepi bandar yang ada.

Pilih yang mana suka, ikut bajet dan selera.

Tapi jangan terkejut kalau harga makanan kat Ipoh dan hampir sama macam kat KL sana.

Kedai Makan Melayu Top

Bila malam kedai Melayu yang popular di Ipoh kebanyakannya adalah kedai hipster. Ada yang menghidangkan lauk pauk Melayu tapi kebanyakannya temanya western.

Miker Food

antara tempat makan sedap di ipoh bila malam ialah restoran miker di padang ipoh
Kredit : Farizatoy

PENTING : Kedai ini telah berubah tempat, dari padang Ipoh ke area Kinta Riverfront.

Kedai makan sedap ini ada makanan Melayu, Siam dan juga Western. Ramai datang di sini suka makan Miker pizza  dan juga tomyam dalam kelapanya.

Apa pun, tolong datang sebelum pukul 8 malam.  Tempat duduk terhad, dan orang selalunya ramai. Kalau anda bawa anak-anak kecil, tak ada masalah. Mereka boleh berlari di padang depan kedai sementara anda tunggu makanan.

Lokasi : Dalam Bandar Ipoh
Alamat : Lot 10 Riverwalk Kinta Riverfront, 30000 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Tutup Isnin / Hari Lain: 6 ptg ke atas

Konda Kondi

suasana di konda kondi cafe ipoh yang sibuk - tempat makan western yang sedap
Kredit : Konda Kondi Cafe

Kafe hipster kat tengah bandar Ipoh ini ada lauk western untuk makan petang dan malam.

Bila anda kat sini, boleh cuba nancho’s pedas, lamb chop, spaghetti iti salai dan carbonaranya.

Datang awal. Tempat ini nak masuk selalunya kena beratur dan pukul 9 banyak menu dah habis. Oh! Lagi satu, tinggalkan kereta kat hotel dan naik Grab je sebab parking kat sini memang masalah negara.

Lokasi : Dalam Bandar Ipoh
Alamat : 183, Jalan Sultan Idris Shah, Taman Jubilee, 30000 Ipoh
Waktu Operasi : Tutup Selasa | Hari Minggu : 1 ptg ke atas | Hari Biasa : 5 ptg ke atas

d’Marmalade Cafe

lauk melayu di d'marmalade cafe
Kredit : d Marmalade Cafe

Kalau kafe lain kat atas selalunya sesak dan tak seronok melepak, kafe d’Marmalade ini lebih sesuai kalau anda nak makan sedap santai-santai.

Ada lauk Malaysia macam cucur udang, asam pedas dan mee kari Nyonya dan juga ada lauk Indonesia macam ayam penyet. Makanan pelik yang ada kat sini, laksa goreng. Order satu kalau nak tau.

Lokasi : Dalam Bandar Ipoh
Alamat : Kampung Kastam Greentown, 30450 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Tutup Selasa | Hari Lain: 11 pg ke atas

Restoran Simpang Tiga

ayam penyet di restoran simpang tiga ipoh yag sedap
Kredit : Simpang Tiga

Tak jauh dari dMarmalade kat atas ini ialah Restoran Simpang Tiga.

Lauk dalam restoran ini sesuai untuk anda  yang mencari lauk Padang atau Minang, Indonesia. Tak kisah samada nak Masal Lemak Kikil (Kaki Lembu) atau Ikan Goreng Terbang (Tilapia), yang penting jangan terlepas colek sambal hijaunya. 

Harga makanan kat sini memang tinggi sedikit. Dan kalau malam, lebih baik ambil goreng-goreng sebab takut lauk yang ada lauk lebihan tengahari.

Lokasi : Dalam Bandar Ipoh
Alamat : D-G, Jalan Dato Seri Ahmad Said, Kampung Kastam Greentown, 30450 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : 11 pg ke atas

Nasi Lemak Ayam Kampung

ayam kampung yang siap digoreng sedap di restoran ayam kampung. kat sini makanan yang best ialah nasi lemak ayam kampung nya
Kredit : Sir.heron

NOTA : Tempat makan ini telah ditutup.

Tempat ini dekat saja dengan Nasi Ganja yang orang luar Ipoh kata sedap sangat (tapi orang Ipoh tak layan) itu.

Seperti nama restorannya, lauk yang patut dicuba kat sini ialah nasi lemak ayam kampung, sup belut dan bubur jagungnya. Kalau tak mau bubur jagung, ada dua tiga bubur lain yang boleh anda pilih.

Cuma servisnya kena sabar sebab selalunya s-l-o-w. Pelayannya kurang mesra, dan harganya agak keras.  

Lokasi : Dalam Bandar Ipoh
Alamat : 43-45, Jalan Ali Pitchay, Taman Jubilee, 31650 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : 3:30 ptg ke atas

Restaurant Fuziah Nasi Ayam Pasar Bulat

ringkas saja lauk nasi ayam fuziah yang dikatakan sedap dan best di bandar Ipoh
Kredit: Syazsooaidi

Kedai nasi ayam ini sudah bertahan 40 tahun di Ipoh dan dikatakan antara kedai nasi ayam Melayu yang paling sedap kat bandar ini.

Kat sini, ayamnya digoreng dulu jadi kulit luarnya garing. Ikut selera orang. Ada yang suka gila. Ada juga yang kata ini apa cerita?

Apapun, tempat duduk kat sini sangat terhad. Parking pun sama. Alternatifnya ialah google untuk cari cawangan lain mereka sekitar Ipoh.

Lokasi : Dalam Bandar Ipoh
Alamat : No. 78, Jalan Mustapha Al-Bakri, Taman Jubilee, 30300 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : 11:30 pg ke atas

Thumbs Cafe

kedai gaya melayu di thumbs cafe yang ada western food sedap dan dalam suasana rumah kampung
Kredit : Thumbs Cafe

Kafe hipster kat Ipoh ini popular kalau anda nak makanan western sedap malam-malam dalam suasana rumah kampung Melayu lama.

Tapi jangan datang untuk makan malam dengan perut lapar.

Alas dulu sikit. Sebab servicenya selalunya lambat, kerana orang yang ramai datang serentak.

Tapi kalau anda dah kat sini, jangan lupa order makanan popular kat sini — lamb chop dan chicken chopnya. 

Lokasi : Dalam Bandar Ipoh
Alamat : 133, Jalan Sultan Abdul Jalil, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi : Tutup Selasa | Hari Biasa: 6 ptg ke atas

Kedai India & Arab Top

Walaupun bersepah kedai mamak dan nasi arab yang ada kat Ipoh, kat bawah ini antara kedai makan sedap yang kami syorkan kalau anda mengidam biryani atau nasi mandhi. Cuma harga kedai kat bawah ini sesuai dengan reputasinya. Poket wajib tebal dari biasa.

Pakeeza Restaurant & Catering

lauk biryani sedap ada di pakeeza ipoh
Kredit : Pakeeza

Kalau anda nak cari nasi India Utara yang best kat Ipoh, Pakeeza ini tempatnya. 

Pakeeza ini dah lebih 30 tahun bertapak di Ipoh dan memang syarikat yang handle katering untuk majlis rasmi kerajaan Perak. Kalau ada majlis istana Perak, dari sini jugalah datang lauk pauknya.

Kat sini ada macam-macam lauk India. Dari beriyani, kari kepala ikan sampailah ke puri dan naan. Harga tinggi dari restoran biasa, terutama harga air minumnya.

Apapun, nak makan malam kat sini, kena datang sebelum pukul 7 malam. Kalau tak, tempat penuh, boleh tengok orang makan saja yeop. Oh ! Kalau anda duduk hotel sekitar bandar, boleh juga duduk dalam bilik dan tempah guna FoodPanda.

Lokasi: Dalam Bandar
Alamat : 15-17, Jalan Dato Seri Ahmad Said, 30450 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : 11 pg – 10 malam

Briyani King

briyani king ipoh diletak dalam periuk tanah liat
Kredit : Heythereimtisal

Kalau anda mengidam nak merasa beriyani dalam claypot, boleh rasa di Briyani King. Cuma kena drive keluar dari bandar sikit.

Kat sini ada 7 jenis briyani yang anda boleh pilih. Dan kalau masih nak lauk lain, boleh order kari kambing atau ayam masala.

Dan kalau dah alang-alang dah kat sini,  cuba juga teh tarik floatnya.

Lokasi: Pesisir Bandar (30 minit memandu) 
Alamat : No.5, Susunan Stesen 18, Stesen 18, 31650 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : 11 pg – 11 malam

Hadramout Paradise Restaurant

Hadramout Paradise Restaurant, antara kedai arab sedap di ipoh
Kredit : Azadmuhd

Ada orang kata ini kedai makanan Arab dekat Kinta Riverfront ini kedai lauk arab paling best kat Ipoh. Nak tau betul atau labun saja, sila datang cuba.

Kat sini ada makanan Yaman, dan saiz hidangan memang besar.

Jadi jaga-jaga. Jangan order banyak sangat. Pertama sebab harganya, kedua sebab saiz hidangan memang besar. Seronok kalau datang dengan kaki makan, dan seronok lagi kalau dia yang bayarkan.

Parking kat sini senang. Tapi boleh order dengan Food Panda juga kalau nak makan dalam bilik hotel.

Lokasi: Dalam Bandar  
Alamat : Kinta Riverfront, K1, Jalan Lim Bo Seng, Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Setiap Hari : 11 pg – 11 malam

Hayyan Garden

lauk ayam di hayyan garden ipoh
Kredit : Hayyan Garden

Kalau tekak terasa nak mencari lauk Arab, dan tak kisah drive keluar dari bandar, anda boleh juga cuba ke Hayyan Garden.

Kedai makan ini ada aircon dan memang selesa kalau datang dengan keluarga. Macam biasa, bila kat sini orderlah nasi Khabsah atau Mandy.  

Parking kat sini sepatutnya senang, sebab tak banyak kedai sibuk dikelilingnya.

Lokasi: Pesisir Bandar (30 minit memandu dari bandar) 
Alamat : 2, Jln Meru Bestari A4/1, 31200 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi : Setiap Hari : 11 pg – 11 malam

Kedai Masakan Cina Top

Dah namanya Ipoh, patutnya ada banyak lauk Cina muslim yang ada kan? Tapi sayang seribu sayang, kedai yang viral kat FB banyaknya halalnya samar-samar. Jom tengok yang ada sijil halal, ataupun ownernya Cina Muslim supaya kita semua boleh makan tanpa was-was.

Restoran Pakcik Wong

antara tempat makan malam sedap dan murah di Ipoh - restoran Pakcik Wong
Kredit : Geee_0218

Kalau anda malas nak keluar jauh, dan belum cukup makan sarapan Cina pagi-pagi, ini pula kedai lauk Cina Muslim untuk anda layan malam-malam.

Harga pun mesra pengguna sangat. Boleh order set yang harganya bawah RM10 je. Siap dapat air dengan aiskrim lagi.

Tempat ini ada lauk Western juga. Tapi apa ke cerita order western sedangkan banyak lauk pauk gaya Cina best yang boleh cuba?

Lokasi: Dalam Bandar   
Alamat :  20, Persiaran Greentown 10, Greentown Business Centre, 30450 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : 12 tgh hari – 10 malam

Restoran Hj. Sharin Low Grand

Ikan dan masak lemak di sharin low
Kredit : Doux Sarah

Nak rasa itik gantung? Ha, datang sini. Kalau tak pun boleh cuba Mongolian Chicken ataupun ikan kukusnya.

Ownernya restoran yang ada banyak cawangan kat seluruh Malaysia ini, Cina Muslim, tapi tukang masaknya ramai Melayu. Jadi ada yang kata tak berapa asli sangat rasanya. Apapun anda boleh cuba dan komen nanti.

Tapi datang awal sebab kedai ini kecil je. Takut tak larat tunggu orang habis makan. 

Lokasi: Dalam Bandar
Alamat : 16, Persiaran Greenhill, Kampung Jawa, 30450 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : 11 pagi – 11 malam

Ipoh Hainan Chicken Rice

lauk Cina sedap Ipoh di kedai Hainan Chicken Rice
Kredit : Shahrulnizam2112

Kalau nak rasa makan nasi ayam dalam suasana rumah kayu kopitiam Ipoh, boleh pergi kat sini. 

Staff kat sini semuanya budak Melayu yang muda remaja, dan tempat ini memang ada halal Jakim. Jadi tak payah risau.

Masalah kedai ini satu. Rasanya tak berapa konsisten. Ada hari kami makan, adoyai sedap sangat. Ada hari, biasa-biasa sahaja.

Apapun, boleh datang sini kalau bajet tak tinggi, dan memang nak rasa nasi ayam saja. Prestasi kedai hari itu, ikut nasiblah ye?

Lokasi: Dalam Bandar   
Alamat : 107, Jalan Raja Musa Aziz, Kampung Jawa, 30300 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : 11 pagi – 9 malam

Assam House Restaurant 

Assam House di Medan Gopeng -- antara tempat makan dinner best untuk lauk pauk Nyonya di Ipoh
Kredit : Assam House

Kita tutup list ini dengan kedai masakan Nyonya kat Ipoh ini yang terkenal dengan lauk asam pedas kepala ikannya. 

Tapi kalau anda nak ayam dan lauk lain, masih ada lauk macam ayam pandan, udang asam jawa. Tempat ada aircond, dan nak boleh datang awal untuk makan malam sebab surau pun ada kat sini. 

Harga kat sini memang premium, tapi kalau nak merasa lauk nyonya sedap dan dikatakan terbaik kat Ipoh, ini tempatnya bang.

p/s Tempat ini dekat dengan kawasan food court Silveritage — yang selesa untuk makan malam yang sedap-sedap (tapi dikatakan buka hujung minggu saja).

Lokasi: Pesisir Bandar (15 minit memandu) 
Alamat : 2, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah, Medan Gopeng, Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : 11 pg – 3 ptg & 5:30 ptg – 10 malam

Okey! Kami dah settle senaraikan kedai makan malam sedap di Ipoh. Dan memang kami pilih kebanyakannya dalam area town supaya senang anda nanti.

Yang mana satu yang anda nak cuba rasa-rasanya?