UPDATE : Lapangan terbang telah mula beroperasi semula pagi ini. Untuk penumpang/ ahli keluarga penumpang AirAsia, status flight boleh disemak di sini.
Penutupan lapangan terbang Hong Kong dibuat secara mendadak apabila penunjuk perasaan membanjiri lapangan terbang bandar tersebut untuk membantah apa yang disifatkan sebagai kekerasan polis terhadap mereka.
Menurut laporan, 5000 orang penunjuk perasaan memasuki lapangan terbang itu dengan sepanduk dan nyanyian protes.
Walaupun tunjuk perasaan di dalam kawasan lapangan terbang Hong Kong telah dibuat sejak 3 hari lalu, ini adalah tunjuk perasaan yang paling memberi kesan kepada penumpang keluar masuk melalui hub tersebut.
Tunjuk perasaan yang telah berlangsung selama 2 bulan ini dijangka bakal memberi kesan besar kepada industri pelancongan Hong Kong.
Alternatif kepada Pelancong
Syarikat-syarikat penerbangan telah pun memberi beberapa pilihan kepada penumpang yang terjejas akibat penutupan ini.
Penumpang AirAsia contohnya diberi peluang menukar tarikh penerbangan mereka atau terbang ke laluan lain melalui Macau, Shenzen atau Guangzhou tanpa tambang tambahan.
Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan bayaran balik tiket mereka atau meminta agar tambang mereka dikreditkan ke akaun AirAsia BIG mereka.
Wisma Putra juga telah sebelum ini menasihatkan pelancong Malaysia di Hong Kong untuk mengelak dari berada di kawasan tunjuk perasaan.
Bagi mereka yang berada di Hong Kong, anda boleh menghubungi konsulat Malaysia di bandar tersebut di alamat berikut untuk sebarang bantuan.