Bangunan ini dahulunya adalah pusat pentadbiran British di sini.
Dikatakan direka oleh A.C Norman (arkitek British yang juga mereka Masjid Jamek), bangunan besar ini telah dibina oleh British pada tahun 1897 untuk memberi gambaran kehebatan kuasa British kepada pelombong-pelombong timah.
Bangunan berkonsep Moor ini telah menyaksikan banyak peristiwa bersejarah – yang paling utama adalah penurunan bendera Union Jack yang menandakan kemerdekaan negara ini daripada British pada tahun 1957.

Kredit : @justinetine
Pada hari ini, jalan dan dataran hijau yang besar di hadapan bangunan (Dataran Merdeka) biasanya digunakan untuk perarakan hari kemerdekaan, Citrawarna dan lain-lain acara patriotik dan konsert (selain dari menjadi trek kegemaran untuk lumba haram pada waktu malam).
Hari biasa, orang datang nak bergambar selalunya.
Diguna Untuk Menunjukkan Kuasa British
Bangunan ini dibina pada waktu kebanyakan binaan di Kuala Lumpur hanya beratapkan nipah.
Dengan menggunakan struktur mengagumkan, polis serta askar upahan, British yang jumlahnya sedikit berjaya menguasai bandar ini dan membendung kekuasaan kongsi gelap Cina dan pahlawan-pahlawan Melayu dari istana.
Selain bangunan bertaraf mega sebegini (pada waktu itu), British juga menembak meriam 2 kali sehari dari Bukit Aman pada waktu-waktu tertentu untuk menakut-nakutkan penduduk.
Dataran Merdeka
Sebelum ia menjadi tempat bersejarah dan dinamakan Dataran Merdeka (pada 1989), padang di depan bangunan ini sebenarnya tempat pegawai British bermain kriket.
Bermain kriket di padang ini dikira satu pencapaian besar kerana kawasan padang ini adalah satu penghormatan besar bagi sesiapa pun. Padang ini pernah menyaksikan nama-nama besar kriket dunia bermain di Malaya. Ia juga pernah menjadi saksi kepada kemenangan pasukan Malaya ke atas Australia satu ketika dulu.
Taman Kolonial di Belakang Bangunan Sultan Abdul Samad
Ramai yang bergambar di tengah panas sebab mahukan gambar dengan latar belakang bangunan ini.
Tapi sedikit sahaja yang mahu ke arah belakang bangunan ini dan menghadap kawasan River of Life KL.
Di belakang bangunan ini ada satu taman ringkas ala kolonial yang cukup bersih untuk anda berehat dan bergambar.
Kawasan ini juga jauh lebih redup dari kawasan depan bangunan.
Gereja Anglican dan Air Pancut
Ada lagi 2 kawasan bersejarah di sini yang jarang dilawat. Satunya ialah bangunan putih Anglican Church di sini — yang digunakan bukan sahaja sebagai tempat pegawai British beribadat tetapi juga tempat mereka bersosial.
Bangunan ini dibina dengan gaya Gothic yang cukup kontrastik dibandingkan dengan bangunan Sultan Abdul Samad.
Dan kalau anda berjalan di sekitar padang, anda akan dapat menemui kolam air pancut Cop’s Fountain. Dibina pada 1897, air pancut ini dibina sempena mengingati salah seorang ketua polis askar British waktu itu.
Tarikan Berdekatan
- Muzium Tekstil Negara terletak bersebelahan sahaja dengan bangunan ini.
- River of Life KL ada di belakang bangunan ini.
- Mereka yang berminat dengan sejarah kota Kuala Lumpur boleh melawat KL City Gallery di seberang jalan.
- Suka buku? Perpustakaan KL yang cukup selesa ada di belakang KL City Gallery.
- Central market dan Masjid jamek ada dalam jarak 12 minit berjalan dari sini.