Tentang Tarikan Ini :
Penting : Bukit Puteri ditutup sementara dari 2019 untuk kerja ubahsuai dan selenggaraan. Kami tidak pasti bila ia dibuka semula.
Selain merasa angin bukit, di sini anda juga boleh mengimbau kembali sejarah negeri Terengganu.
Antara tinggalan sejarah yang ada di Bukit Puteri adalah Genta Besar (Loceng), Rumah Api, Meriam, kubu, tiang bendera serta kubur-kubur lama.
Sejarah Bukit Puteri
Bukit Puteri dipercayai sudah wujud sejak abad ke-16 dan menjadi tempat yang strategik dijadikan kubu untuk bertahan daripada serangan musuh. Bukit ini juga menjadi saksi kepada perang saudara Terengganu sekitar tahun 1831-1876.
Kawasan ini dahulunya juga dikatakan tempat tinggal kerajaan puteri bunian. Penduduk setempat pada waktu itu sering meminjam peralatan seperti sudu, pisau dan pinggang mangkuk untuk majlis jamuan.
Akan tetapi puteri bunian tersebut bertindak meninggalkan Bukit Puteri setelah kecewa dengan sikap pihak yang meminjam barang namun tidak mahu memulangkan semula barangan yang dipinjam.
Antara Yang Menarik di Bukit Puteri
1. Genta Besar – Ada sebuah loceng besar yang diperbuat daripada tembaga kuning seberat 175 kg di sini. Pada zaman dahulu, genta akan diketuk untuk memberitahu orang ramai berita mustahak yang berlaku di dalam negeri — seperti serangan musuh, kebakaran, awal bulan Ramadhan serta hari raya.
2. Meriam – Di atas bukit dahulunya juga diletakkan beberapa pucuk meriam. Meriam-meriam ini dihadapkan ke arah laut dan darat untuk menpertahankan kawasan tersebut. Selain meriam buatan Sepanyol dan Portugis dan ada juga meriam buatan orang Melayu.
Meriam yang menjadi tarikan dan masih ada sehingga hari ini adalah Meriam Beranak atau Meriam Seri Buih. Dinamakan sedemikian kerana kedua-dua meriam ini terletak berdekatan dan mempunyai ukuran saiz yang berbeza.
3. Rumah Api – Dibina dengan ketinggian 10 meter serta dikenali sebagai “Tanda Kuala Negeri”. Rumah api ini dibina dengan tujuan memberi panduan kepada pelaut dan nelayan yang ingin memasuki pelabuhan Kuala Terengganu.
4. Tiang Bendera – Terdapat satu tiang bendera di puncak Bukit Puteri. Tinggi tiang bendera ini adalah 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter. Bendera diraja ketika majlis rasmi akan dikibarkan pada tiang ini.
5. Kuburan lama – diatas bukit ini juga bersemadinya kubur Syed Yasin bin Akil serta ahli keluarganya yang berasal daripada Sumatera. Beliau yang berkahwin dengan puteri Sultan Zainal I serta dilantik menjadi seorang pembesar negeri Terengganu pada ketika itu.
Info Pengunjung
Untuk naik ke Bukit Puteri, masuk melalui pintu masuk di Bazaar Warisan yang terletak berhadapan dengan Pasar Payang.
Harga Tiket
Dewasa : RM 1
Kanak-kanak : RM 0.50