Cihampelas Walk @ Jeans Street

Jika anda kaki jeans, jangan lupa singgah ke Jalan Cihampelas yang letaknya kira-kira 5 km dari pusat bandar.

Digelar Jeans Street, kebanyakan kedai dan Factory Outlet di sini menjual jeans dan t-shirt disamping cenderamata seperti gelang dan anting-anting buatan Bandung.

Di jalan sempit yang sesak kerana dikongsi pejalan kaki, penjaja jalanan dan kenderaan ini anda bukan sahaja boleh membeli pelbagai jenis jeans, tetapi juga memotong seluar jeans mengikut kesesuaian anda dari tukang jahit kaki lima atau menempah jeans dari pembuat jeans tempatan.

Jika anda mahu lebih selesa, terdapat sebuah pusat beli belah besar berhawa dingin di kawasan ini yang terkenal dipanggil Cihampelas Walk atau CiWalk. Menggabungkan konsep mall mewah dalam taman hijau, ia boleh menjadi tempat bersantai dan makan-makan yang aman dari kebisingan kenderaan.

Di sini juga terdapat banyak patung besar super hero — dari hero Amerika seperti Spiderman hinggalah ke hero Jepun seperti Ultraman menghiasi deretan kedai. Orang tempatan sering bergurau yang Jalan Cihampelas kurang penyeluk saku berbanding di kawasan lain di Bandung disebabkan terlalu banyaknya super hero yang ada di sini.

Waktu Operasi

Isnin – Ahad : 9 pg – 10 malam

Kredit : Booking.com,  DiamondTransportTravel, Myfgn, FoodnFrame