Bukit St. Paul

Jom ambil angin kat tarikan bersejarah kat Bukit St Paul ini. Tapi lutut kena kuat.

tangga untuk ke bukit st paul dan gereja st paul

Kredit :Dennis Sylvester Hurd

Kat atas pintu masuk kota A Famosa ada Bukit St. Paul, tempat di mana ada gereja St. Paul.

Kalau anda datang dari pintu masuk kota A Famosa dan naik tangga sampai lah ke atas bukit, anda tak akan perasan yang anda sebenarnya masuk ke sebuah gereja. Sebab gaya batu dan binaan nya hampir sama macam di bawah.

kawasan dalam gereja st paul melaka

Kredit : Dennis Hurd

Tapi anda sebenarnya sudah sampai ke dalam sebuah runtuhan gereja. Ini gereja yang paling tua dalam negara ini. Dan dibuat Portugis.

Kalau mengikut sejarah, bukit ini juga dulunya tempat istana asal kerajaan Melaka, semasa zaman kerajaan Sultan Mansur Syah (yang berkahwin dengan Puteri Hang Li Poh dari China).

Tapi disebabkan Melaka tak mahu menghancurkan tempat ini atas sebab sejarah, replika istana Sultan ini sekarang dibuat di tepi bukit St. Paul ( Muzium Istana Kesultanan Melaka)

Apa Ada Kat Bukit St. Paul

Kalau anda nak tengok pemandangan kota Melaka dari tempat tinggi, secara percuma, ini antara tempatnya. Dari atas bukit, angin memang sejuk. Dan kawasan ini juga agak redup.

Kalau nak datang ambil gambar cantik, boleh datang waktu senja.

Ada juga kadang-kadang pelukis kat kawasan ini. Mana tau anda nak beli lukisan.

Kat sini, anda juga boleh masuk gereja lama tak ada bumbung ini. Kat dinding gereja ada batu nesan Belanda dan Portugis.

Apa Cerita Ni? Kejap Belanda Kejap Portugis?

Ya, bukit ini asalnya tempat asal istana raja Melaka.

Tapi bila Melaka dijajah Portugis, mereka buat ganti istana dengan gereja ini, 10 tahun selepas menjajah.

Gereja kat atas bukit ini penting. Sebabnya ia markas di mana mubaligh Kristian, Francis Xavier menyebarkan Kristian bukan sahaja ke seluruh Asia Tenggara, tapi terus ke Jepun dan China.

Tapi, Portugis akhirnya kalah perang kepada Belanda pada 1641. Bila Belanda masuk ke sini, mereka jadikan ini gereja mereka, sementara mereka siapkan gereja baru di Stadthuys.

Dan masa British pula masuk Melaka, bukit ini tempat mereka letak bendera Union Jack. Dan ia tak digunakan sebagai gereja, tapi jadi gudang simpan peluru. Waktu inilah gereja ini mula terbiar.

Batu Nesan Tepi Dinding

Yang ada kat tepi dinding tu bukan batu bersurat ya? Itu batu nisan orang dulu-dulu.

Orang Belanda dan Portugis ini, bila ada orang-orang penting yang mati sewaktu itu, mereka kebumikan di tepi kawasan gereja. Kalau anda tengok, memang ini kelazimannya waktu itu (sepertimana anda akan jumpa kubur tokoh agama atau sultan-sultan di masjid lama).

Batu nisan yang disandarkan ke dinding itu bukan di situ asalnya. Batu-batu ini sebenarnya dijumpai di merata kawasan bukit. Cuma ia dikumpulkan satu tempat macam sekarang untuk senang anda tengok.

Cuma ada satu lubang yang ditutup dengan jaring besi dalam gereja ini. Ini pun bukan telaga atau perigi. Janganlah abang Dolah ikut orang, campak duit syiling ke dalam itu (kalau nak campak duit, boleh campak ke akaun bank kami).

Itu kubur sementara Francis Xavier. Sekarang cuma tinggal kubur tanpa mayat. Sebab badan mayat telah dihantar ke Goa India.

Patung Tak Ada Tangan?

Kat sini, anda akan nampak satu patung lelaki putih yang hilang pergelangan tangan kanannya. Janganlah buruk sangka kat orang Melaka. Tak ada siapa pun yang pi kerat tangan patung itu.

Untuk makluman, itulah patung Francis Xavier. Patung ini dah lama ada. Dibuat sejak 1951 lagi.

Semasa Xavier meninggal dunia di China pada 1553, dia dibawa balik ke Melaka buat sementara, dan kemudian badannya dihantar ke Goa India.

Macam kebanyakan orang yang dianggap orang keramat, badannya dipelihara dan tidak dikebumikan/ dibakar. Mayatnya dipelihara di Tomb of St. Francis Xavier, kat Goa India.

Menurut cerita, tangan St Francis Xavier ini dah diputuskan dari badannya pada 1614. Sebabnya tangan ini diminta oleh Vatican City sebagai peninggalan seorang orang keramat. Jadi mayat di Goa memang tiada tangan.

Dikatakan sehari selepas patung ini didirikan, dahan pokok Casuarina jatuh kena tepat pada tangan kanannya. Itu sebab patung ini tak ada tangan . Entah suratan atau mungkin kebetulan?

Apapun, tangan hilang bukan sebab dipatahkan orang.

Mengapa Bukit St Paul ini Penting?

Banyak sebab. Untuk orang Melayu, inilah kawasan asal istana Melaka.

Untuk orang Kristian, ini bukan sahaja gereja paling tua dalam Malaysia. Tapi bukit inilah yang dijadikan markas asal penyebaran agama Kristian di seluruh Asia Tenggara.

Dan untuk kaki instagram, inilah tempat mereka OOTD bagitahu fans yang depa dah sampai Melaka. Dan bergambar dengan batu nisan sambil gelak ketawa, adohaiii.

Harga Tiket

Percuma

Waktu Operasi

24 jam

Peta

My location
Get Directions

Hotel Pilihan Berdekatan Bukit St. Paul

Kategori HotelBandingkan Harga
Terbaik
Hotel MotyBookingAgoda
Hotel EstadiaBookingAgoda
Hotel HattenBookingAgoda
Untuk Keluarga
The Straits Hotel and SuitesBooking Agoda
Doubletree HiltonBooking Agoda
Hotel Equatorial Agoda
Untuk Bajet
Hotel ArissaBookingAgoda

Apa Lagi Yg Best Kat Melaka?

Tempat menarik kat Melaka

Layan kedai makan sedap Melaka

Hotel terbaik pilihan kami

Promo hotel, tarikan Melaka