Tentang Tarikan Ini :
Terletak 30 km (90 minit) dari pusat bandar Bandung, gunung berapi yang masih hidup tetapi kurang aktif ini merupakan antara tarikan alam paling popular di kota ini.
Kali terakhir meletus kecil pada 2013, gunung setinggi 2000 meter ini adalah satu-satunya gunung berapi di Indonesia yang mana anda boleh hampir sehingga ke kawah gunung berapi samada dengan berjalan kaki atau berkenderaan.
Jika anda bersendirian, anda akan dipelawa untuk mengambil khidmat salah seorang dari 75 pemandu pelancong terlatih yang dilantik oleh badan pelancongan di sini. Jika ini kali pertama kedatangan anda ke sini, anda dinasihati agar menggunakan khidmat mereka atau datang menggunakan pakej ke Tangkuban Perahu.
Di kawasan pelancongan penting ini, anda bukan sahaja boleh bergambar dan melihat fenomena alam yang mengkagumkan ini tetapi juga membeli barangan kraf yang diperbuat dari kayu dan sulfur.
Tetapi bawa wang mencukupi dan makanan seadanya. Walaupun terdapat surau dan balai polis, tiada ATM di sini. Harga makanan di kawasan kawah juga agak tinggi kerana ia perlu diangkut ke atas.
Kawah Ratu
Kawah ini adalah kawah besar yang berada di puncah Tangkuban Perahu. Di sini juga anda mungkin mendengar bunyi seolah-olah seorang tua sedang mengeluh — hasil dari satu bunyi wap sulfur yang dilepaskan dari perut bumi.
Di sini anda boleh berjalan sehingga ke kawah kedua yang dipanggil kawah Upas dan kawah Domas yang dikelilingi pohon teduh dan pemandangan yang cukup indah. Namun begitu anda perlu sihat kerana jarak ke kawah Upas sekitar 20 minit dan ke Domas sekitar 2 jam 30 minit.
Cuaca di sekitar Tangkuban Perahu boleh turun sehingga 7 darjah Celcius pada waktu pagi walaupun kebiasaannya hanya sekitar 23 darjah pada waktu tengahari. Jadi pakai baju tebal jika anda rancang untuk tiba awal.
Lagenda Tangkuban Perahu
Seperti mana-mana fenomena alam yang menarik, Tangkuban Perahu juga mempunyai mitos atau cerita lagendanya sendiri.
Menurut kisahnya, ada seorang puteri raja bernama Dayang Sumbi yang amat manja yang suka menenun kain, pada satu masa berasa sangat letih kerana pintalan benangnya asyik jatuh ke lantai. Sehinggalah sampai satu ketika, beliau yang berang apabila ia masih jatuh kesekian kalinya, telah bersumpah yang siapa yang pertama mengembalikan semula benang yang jatuh akan dikahwininya.
Malangnya pintalan benang itu digigit dan dihantar ke tapak tangan Dayang Sumbi oleh seekor anjing sakti bernama Tumang. Mau tidak mahu, si puteri terpaksa menikah dengan si anjing sakti.
Perkongsian hidup ini akhirnya menghasilkan seorang anak lelaki bernama Sangkuriang. Sejak kecil, si anak kerap ditemani anjing sakti ini yang dikenalinya sebagai teman setia. Tidak pula diketahuinya yang si anjing yang setia itu adalah ayahnya.
Pada satu hari, Dayang Sumbi menyuruh si anak berburu rusa untuk satu majlis keramaian. Setelah puas berburu, Sangkuriang gagal mendapatkan rusa seperti yang diminta. Tetapi oleh kerana tidak mahu mengecewakan ibunya Sangkuriang membunuh anjing setianya dan menyerahkan daging itu kepada ibunya, kononnya itulah daging rusa yang diburunya.
Hanya selepas selesai majlis, barulah Dayang Sunda tahu yang anaknya telah membunuh Tumang. Kerana amat marah, beliau memukul anaknya sehingga luka di keningnya dan menghalaunya dari istana.
Dikatakan, si anak mengembara dan membesar di luar istana sehingga umurnya muda belia.
Pada satu ketika, Sangkuriang jauh cinta pada seorang wanita cantik. Tidak diketahuinya yang wanita itu adalah ibunya yang selama ini kekal muda dan tidak lagi mengenalinya. Mereka akhirnya memutuskan untuk berkahwin, sehinggalah pada satu hari, apabila Dayang Sunda membelai rambut si kekasih, si puteri ternampak bekas parut kerana pukulannya.
Oleh sebab itu, Dayang Sunda cuba menggagalkan perkahwinan mereka sambil merahsiakan keadaan sebenar dari Sangkuriang. Dia berhelah dengan meminta syarat perkahwinan yang mustahil — iaitu Sangkuriang perlu membuat sebuah tasik yang boleh menutup seluruh bukit dan membuat sebuah perahu untuk mereka menyusuri tasik itu. Ia juga perlu disiapkan sebelum fajar.
Sangkuriang menggunakan kuasa saktinya beserta bantuan dari alam jin untuk membantunya. Apabila hampir fajar, Sangkuriang hampir selesai dan hanya perlu menebang pokok untuk menyiapkan perahunya.
Dayang Sunda yang kaget akhirnya meminta bantuan dewi-dewi kayangan untuk mempercepatkan fajar dari biasa. Matahari menjengah lebih cepat dan menggagalkan usaha Sangkuriang.
Berang kerana merasa tertipu, Sangkuriang menendang perahunya ke dalam hutan sehingga ia jatuh dalam keadaan terlangkup. Perahu yang tertangkup ini kemudiannya menjadi Tangkuban Perahu. Tidak jauh dari situ terdapat satu bukit yang bernama Bukit Tunggul — iaitu hasil dari pohon yang diguna membuat perahu itu. Sangkuriang dan Dayang Sunda dikatakan menghilangkan diri di dalam air tasik yang dibuat Sangkuriang dan tiada khabar berita sehingga kini.
Harga Tiket/ Pemandu
Harga Pemandu :Rp[currency base= “IDR”]250000[/currency] (tidak wajib)
Tiket : Rp[currency base=”IDR”]300000[/currency]
Parking Kenderaan: dari Rp[currency base= “IDR”]5000[/currency]
Waktu Operasi
Setiap Hari: 7 pg – 5 ptg
Kredit : Chen Wu, Johan Wieland