tempat mesti lawat di kundasang - memorial perang kundasang

Kredit : Lan Rasso

Memorial Perang Kundasang

Kalau datang ke Kundasang, singgah sini supaya kita terasa syukurnya hidup tanpa perang

Generasi kita beruntung sebab hidup pada zaman aman damai. Tapi nenek moyang kita melalui zaman dijajah British dan Jepun — yang walaupun singkat tapi amat kejam.

Memorial Perang Kundasang ini adalah kawasan taman yang dibuat khas untuk memperingati tahanan perang Australia dan British yang mati kebuluran, ditembak dan disiksa semasa perang Dunia ke-2.

Tawanan ini kebanyakannya mati sewaktu perjalanan maut Kundasang-Ranau.

Apa Yang Ada Di Sini

Ada 4 taman di sini. Taman Inggeris, Australia, Borneo dan yang terakhir Taman Renungan.

Anda boleh berjalan di sini sambil anda layan bunga-bunga ros dalam suasana sejuk — sama seperti rasanya berjalan di taman di kota London.

3 taman pertama dibuat sebagai mengingati askar Inggeris, Australia dan juga penduduk Borneo yang membantu askar yang melarikan diri dari tahanan Jepun. Taman terakhir dengan kolam adalah tempat refleksi tentang sejarah kejam zaman perang yang patut dijadikan iktibar.

Jarak Dari Kota Kinabalu

2 jam perjalanan / 90km

Harga Tiket

Harga Tiket Walk-InDewasa (RM)Kanak-Kanak (RM)
Warganegara53
Harga tiket walk-in dikemaskini sehingga : 12 Jan 2024
taman refleksi memorial perang kundasang

Kredit

Kisah Disebalik Memorial Perang Kundasang

Pada Perang Dunia Ke-2, askar British dan Australia yang berjaya ditawan di Singapura, telah dibawa oleh Jepun ke Kundasang.

Mereka ini diarah untuk membuat lapangan terbang tentera Jepun sehinggalah ia siap. Namun begitu, keadaan tawanan ini dikatakan sangat daif, dengan makanan yang tidak mencukupi dan mereka yang sakit atau cedera tidak diberi bantuan sepatutnya. Akibatnya satu demi satu mereka mati sehingga tinggal hanya 1900 orang.

Pada Januari 1945, lapangan terbang ini dibom British. Ini menyebabkan Jepun mengarahkan tawanan perang mereka berjalan kaki ke Ranau pula.

Tawanan perang ini dibahagi pada 3 kumpulan. Dan mereka perlu berjalan merentas hutan tebal tanpa makanan yang cukup dan dalam keadaan melarat. Mereka yang tiada kasut terpaksa merentas hutan dara, sungai dan paya Borneo yang dipenuhi ular, gajah dan harimau tanpa sebarang alas kaki. Tawanan yang lemah akan dibunuh dalam perjalanan.

Kumpulan yang pertama, yang dianggotai oleh 470 tawanan perang yang masih kuat, diarah membawa bekalan dan barangan tentera Jepun. Bila tiba di Ranau 9 hari kemudian, mereka di arah membuat kem tentera. Mereka ini dikumpulkan dalam satu tempat kotor lagi sesak.

Akibat serangan penyakit, 3 bulan selepas hari meninggalkan Sandakan, hanya 6 orang yang hidup.

Kumpulan kedua pula dianggotai oleh tawanan lemah. Dari lebih 500 orang, tidak sampai 200 yang berjaya ke Ranau. Selebihnya mati kelaparan, sakit atau dibunuh oleh pengawal Jepun dalam perjalanan. Oleh kerana tiada makanan yang cukup, tawanan terpaksa memakan siput dan daun pokok hutan. Dan selain ditembak, ada yang dirodok pisau ataupun dipancung oleh Jepun sepanjang perjalanan.

Kumpulan kedua ini berjalan di hutan hampir sebulan sebelum sampai di Ranau.

Kumpulan terakhir sepatutnya adalah kumpulan 250 orang tawanan. Tapi tawanan ini adalah tawanan kumpulan yang paling lemah atau sakit teruk. Jadi hanya 75 orang yang dihantar. Selebihnya kekal di kem dan dibiar melarat. Semua tahanan yang bergerak ke Ranau ini mati dalam perjalanan.

Mereka yang tinggal di kem juga mati — termasuk pengawal Jepun yang dilaporkan terpaksa makan daging manusia untuk terus hidup.

Dari beribu tawanan ini, hanya 6 yang hidup — itupun kerana mereka berjaya melarikan dari tentera Jepun dan disorok oleh penduduk tempatan.

Memorial ini adalah tempat memperingati mereka-mereka yang terkorban, juga mengenang jasa penduduk Borneo yang membantu tentera British dan Australia sepanjang perang.

Nasib Komander Perang Jepun

Komander Perang Jepun yang bertanggungjawab menjaga kesemua kem tawanan perang di Borneo, Lt-Colonel Tatsuji Suga akhirnya menyerah diri pada 1945 setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom.

Beliau sebenarnya bekas pensyarah bahasa Inggeris dan pernah tinggal di Amerika selama lebih 10 tahun. Beliau juga dikatakan lelaki yang cukup sayangkan anak kecil.

Apabila perang bermula, beliau dijadikan komander kem kerana beliau fasih berbahasa Inggeris. Akan tetapi, dengan keadaan tawanan yang dilayan dengan amat buruk, beliau termasuk salah seorang tentera yang bakal dihadapkan ke mahkamah atas jenayah perang.

Suga menyerah diri dalam keadaan patah hati. Tenteranya tewas, negaranya dibom dengan bom atom dan ahli keluarganya dikatakan mati akibat bom itu.

Sebelum sempat dibawa ke pengadilan, beliau menggunakan pisau untuk menikam lehernya sendiri. Bekas minumnnya juga diisi dengan pasir. Pembantunya dikatakan diarah supaya menghentakkan bekas itu ke kepalanya agar tempurung kepalanya pecah.

Trek Perjalanan Maut Sandakan Ranau

Trek ini kini ada yang masih hutan dan ada yang telah diteroka. Dan mencari trek asal 100% masih belum berjaya.

Kalau anda mahu merasa sebahagian dari perjalanan tahanan perang ini, anda boleh menempah di Sandakan Death March. Trip 12 hari jalan kaki ini tidak murah, sekitar RM 10,000.

Tapi kalau anda di sini, anda akan dapati yang ianya diambil oleh bekas ahli keluarga tawanan yang kini sudah berumur 50 an ke atas.

JomJalan Seluruh Sabah

Senarai tarikan best di Sabah
Hotel terbaik pilihan kami
Layan kedai makan sedap kat Kota Kinabalu
Promo hotel, tarikan Sabah
Jomjalan