Pasar Binh Tay- tempat shopping menarik di ho chi minh vietnam

Pasar Binh Tay

Mahu memborong kain? Singgalah ke pasar borong Vietnam yang dikenali sebagai pasar Binh Tay ini.

Pasar khusus untuk para pemborong ini tidak sesuai untuk pelancong, anak kecil atau mereka yang bencikan lorong kecil. Tetapi jika anda seorang peniaga yang datang untuk mencari fabrik untuk diniagakan di Malaysia, ini memang tempat sesuai untuk anda.

Peniaga borong di sini kebanyakannya tidak akan melayan sebarang tawar menawar atau pembelian peribadi secara kecil. Bukan apa, sasaran mereka bukan pelancong, tetapi peniaga pukal. Dan harga barangan mereka pun jauh lebih murah dari Pasar Ben Tanh.

Pasar borong pakaian dan pelbagai kelengkapan ini sempit dan panas. Manusia, kain dan motor berkongsi lorong yang sama dan anda kerap kali terpaksa melangkah longgokan baju dan kain untuk bergerak.

Tetapi jika anda tidak kisah dengan semua ini, anda pasti pulang dengan senyuman lebar selepas seharian meredah manusia dan barangan di sini.

Tips Pengunjung

1. Tidak seperti di Ben Tanh, kebanyakan peniaga di sini tidak mengendahkan anda. Mereka kerap sibuk dengan stok mereka atau tidur kerana kepanasan.

2. Sukar mencari tempat makan di sini. Sebaik-baiknya datang dengan perut penuh.

Sedikit Sejarah

Pasar ini dulunya dibina semula oleh seorang imigran Cina yang dikatakan mengumpul botol lama, bulu itik dan pelbagai barangan lain bagi mendapatkan wang untuk membina pasar ini.

Harga Tiket

Masuk percuma

Waktu Operasi

Setiap hari : 6:30pg – 7mlm

Kredit : Gavin White, Bernard Oh

Jomjalan