Pasar Cibaduyut

Anda peminat kasut dan barangan kulit? Jom ke Pasar Cibaduyut, lokasi yang terkenal sejak tahun 1920an sebagai ikon kasut dan barangan kulit di Indonesia.

Pasar Cibaduyut - tempat shopping menarik di Bandung

Dibuka secara rasmi sebagai lokasi pelancongan pada 1989, warga Indonesia berbangga dengan pasar ini kerana ia adalah pasar jualan kasut terbesar di dunia dan kebanyakan produk yang dijual di toko-toko di sini adalah hasil kerja tangan masyarakat setempat.

Terletak dalam jarak 8km atau 30 minit dari pusat bandar Bandung, tidak susah untuk mengenalpasti yang anda telah sampai ke Cibaduyut kerana terdapat sebuah ikon kecil dengan monumen kasut di kawasannya.

Apa Boleh Dibeli Di Sini?

Dengan hampir 700 kedai kasut yang rata-ratanya dimiliki oleh orang Padang, industri kasut Cibaduyut boleh menghasilkan sehingga 3.5 juta kasut buatan tangan setahun — satu angka yang cukup membanggakan penduduk setempat.

Di sini anda boleh memilih bukan sahaja aneka jenis kasut tetapi juga pelbagai jenis barangan kulit — dari tali pinggang dan beg tangan hinggalah ke dompet yang dibuat oleh pakar tempatan. Anda juga boleh menempah kasut dengan ukuran kaki anda sendiri jika anda betul-betul inginkan sesuatu yang sesuai dengan anda.

Jaga-Jaga

Tapi awas, banyak barangan kulit tiruan berjenama antarabangsa di sini. Walaupun materialnya di buat dari kulit, barangan yang anda beli — tidak kiralah dari jenama Nike, Gap atau CAT, kebanyakannya adalah barangan kulit tiruan dengan harga yang cukup murah, kadang-kadang serendah 1/10 dari harga yang barangan asli.

Akhir-akhir ini juga, barangan kulit buatan China juga sudah mula membanjiri pasaran kasut Cibaduyut. Jadi hati-hati, belek puas-puas dan pandai-pandailah menawar sewaktu anda di sini.

Waktu Operasi

9 pg – 6:30 ptg

Kredit : Sebandung