Tentang Tarikan Ini :
Sebab letaknya cuma 10 batu nautika (19 km) daripada Kuala Besut, pulau ini adalah antara pulau peranginan yang paling kerap dikunjungi pelancong di Terengganu.
Tarikan di Pulau Perhentian Besar
Kebanyakan aktiviti di sini ialah aktiviti laut — dari snorkeling dan berkayak sampailah kepada scuba diving.
Tidak seperti di Pulau Perhentian Kecil, di Pulau Perhentian Besar cuma ada 2 pantai yang menjadi tumpuan.
Pantainya ialah Teluk Dalam dan Turtle Creek Bay.
1. Scuba Diving – Di Pulau Perhentian anda boleh menyelam bersama penyu dan ikan yu. Antara tempat menyelam yang popular ialah Tokong Burung, Batu Nisan dan The Sugar Wreck.
2. Kalau anda tidak mahir menyelam (Scuba Diving), anda masih boleh celup kepala di tempat yang lebih cangkat. Anda boleh layan snorkeling di Teluk Pauh, Shark Point dan Tanjung Besi. Anda juga boleh berenang bersama penyu di Turtle Point.
Kos untuk trip snorkeling biasanya sekitar RM50 seorang.
Ada beberapa operator di sini dan harga mereka mungkin berbeza.
Beza Perhentian Kecil vs Perhentian Besar
Perhentian Besar ini lebih sesuai untuk keluarga sebab suasana malamnya lebih tenang.
Perhentian Kecil penuh dengan backpackers dan pengunjung asing.
Jadi aktiviti malam di sana memang tidak sesuai untuk anak-anak.
Kalau anda menginap atau mengambil pakej di Pulau Perhentian Besar, anda masih boleh juga pergi melawat Pulau Perhentian Kecil.
Sewa sahaja bot laju.
Cara ke Pulau Perhentian
Untuk ke Pulau Perhentian, ambil bot di Jeti Kuala Besut.
Kalau anda dari Kuala Lumpur dan datang dengan kapal terbang, turunlah di lapangan terbang Kota Bharu, Kelantan.
Lapangan terbang ini lebih dekat dengan Jeti Kuala Besut berbanding dari lapangan terbang Kuala Terengganu.
Waktu Pulau Perhentian ditutup
Pulau perhentian ditutup dari bulan Oktober ke Mac setiap tahun.
Pada waktu ini, musim monsoon melanda pulau.
Jadi semua chalet dan aktiviti dihentikan.
Kami nasihatkan anda supaya jangan ke sini pada waktu di atas.
Sebabnya, walaupun anda dapat menempah bilik, anda mungkin lapar kerana makanan mungkin sukar didapati.
Waktu Terbaik ke Sini
Waktu terbaik ke sini ialah dari April ke September.
Pada waktu ini, sumber elektrik ada 24 jam, walaupun ada kalanya ada blackout. Kedai dan restoran kecil dibuka dan aktiviti laut pun lebih selamat.
Nota Untuk Pengunjung
- Nak jenguk pulau ini tanpa bermalam? Ya, boleh saja. Cuma pastikan anda masuk ke sini awal dan pulang sebelum bot terakhir berlepas.
- Bawa duit secukupnya. Siap sedia dengan beg kalis air, sunscreen dan pakaian/selipar yang “mesra-laut” sebelum naik bot ke sini lagi.
- Anda akan ditinggalkan oleh bot di pesisir pantai. Bukan di pasir, tapi di gigi air. Dari sini anda perlu ke pantai dengan meredah air laut setinggi betis.
- Harga makan/minum di kawasan pulau lebih tinggi dari di pesisir. Jangan pengsan bila tengok harga minuman segelas dalam RM3 – RM5 atau lebih.
Harga Tiket
RM5 (dibayar untuk tiket taman marin, di jeti Kuala Besut)
Harga Tambang Bot Pergi Balik ke Pulau Perhentian
Dewasa : RM 70
Kanak-Kanak : RM 40
Pulau ini tiada jeti. Anda perlu bayar RM5 kepada bot kecil yang akan menyambung perjalanan anda dari pesisir laut ke pulau. Bot kecil inilah akan membawa anda ke pantai.
Jadual Bot Laju
Kuala Besut ke Pulau Perhentian : 9.00 pg hingga 4.30 ptg
Dari Pulau Perhentian ke Kuala Besut : 8.00 pg, 12.00 tghari dan 4.00 ptg