Tanah Lot - lokasi wajib tuju di bali indonesia

Tanah Lot

Terletak kira-kira 20 km dari Denpasar, kawasan kuil Hindu Tanah Lot di Bali ini adalah ikon kebanggaan Bali.

Oleh kerana kawasan tepi laut berbatu ini mempunyai pemandangan mengasyikkan pada waktu senja, kawasan istimewa ini kerap sesak dengan pengunjung dari seluruh dunia.

Merupakan kuil Hindu terpenting di pulau ini, pelancong tidak diberi hak melawat ke dalamnya. Namun begitu anda dan pengunjung lain boleh berjalan di kawasan batuan menuju ke kaki kuil ini pada waktu air surut.

Anda juga boleh menonton tarian tradisi yang dipanggil Kecak di kawasan berhampiran dan duduk melihat pemandangan indah senja sebelum pulang ke hotel.

Lagenda Tanah Lot

Bermaksud “Tanah di Laut”, Tanah Lot ini dikatakan dibina oleh Nirarta, sami besar Majapahit sebagai penghargaan kepada Tuhan Laut yang dipanggil Baruna.

Setelah ajarannya ditolak penduduk dan pemimpin tempatan, beliau diusir dari sini. Namun begitu, beliau enggan keluar. Sebaliknya Nirarta menggerakkan tanah tempat bertapanya menuju ke laut sehingga menghasilkan batuan seperti sekarang.

Untuk mengawal tempat bertapa ini, beliau menggunakan selendangnya yang ditukar menjadi ular besar yang dikatakan menjadi pelindung dan mendiami tapak kuil.

Apa Yang Boleh Anda Buat Di Sini ?

    1. Ada terlalu banyak gerai menjual cenderamata Bali di sini. Jadi ia antara tempat mencari buah tangan istimewa untuk dibawa pulang.
    2. Sediakan kamera untuk mengambil gambar pemandangan tepi laut yang mengujakan.
    3. Datang awal untuk menonton tarian yang dipanggil Kecak. Diadakan sekitar 6:30 petang.
    4. Sewaktu air surut, berjalan ke air pancut Tirta Pabersihan yang merupakan sumber air bersih kuil-kuil berdekatan.
  1. Minum air kelapa muda sambil duduk berehat melihat matahari terbenam.

Mitos/Tahyul Tanah Lot?

  1. Menariknya, pasangan bercinta tidak digalakkan ke sini. Ada kepercayaan tempatan yang mengatakan pasangan yang datang ke sini tidak akan kekal lama.
  2. Wanita haid tidak digalakkan ke sini sewaktu acara keagamaan kerana dalam keadaan tidak suci. Warga tempatan percaya bahawa dahulu ada jambatan yang menghubungkan kuil dan tanah besar. Namun begitu ia runtuh sebelum wanita itu sempat menjejakkan kakinya ke atas jambatan.
  3. Di seberang Tanah Lot ada gua dimana ular yang menjaga kuil dikatakan kerap kelihatan. Ada yang mendakwa ular besar ini wujud dan akan kembali ke kaki kuil tanah Lot pada waktu malam.
  4. Ada yang menyangka Kecak satu upacara sembahan lama Bali. Sebenarnya tarian Kecak yang ada sekarang adalah hasil dari idea pelukis dan ahli musik German bernama Walter Spies

Harga Tiket

Dewasa : Rupiah [currency base=IDR]10000[/currency]
Kanak-kanak: Rupiah [currency base=IDR]7500[/currency]

Tiket Tempat Letak Kereta

Bas : Rupiah [currency base=IDR]10000[/currency]
Kereta: Rupiah [currency base=IDR]5000[/currency]
Motorsikal: Rupiah [currency base=IDR]2000[/currency]

Waktu Operasi

Setiap Hari: 7pg – 7mlm

Kredit : ACK, Chang R, Adnan Yahya

Jomjalan