Terowong Chu Chi - tempat menarik lagi bersejarah di ho chi minh

Terowong Chu Chi

2 jam perjalanan dari Ho Chi Minh, terowong sepanjang 200 km ini (sejauh Ipoh ke KL) adalah tempat yang cukup bersejarah di Asia Tenggara.

Terowong ini dahulunya merupakan tempat tentera Viet Cong melarikan diri dari askar penceroboh Amerika. Ia juga bertindak sebagai rangkaian komunikasi, laluan makanan, senjata dan tempat kediaman askar Vietnam semasa perang.

Di sini, anda bukan sahaja boleh masuk sendiri ke terowong bawah tanah yang diguna oleh tentera Viet Kong sewaktu perang mengalahkan Amerika, tetapi juga boleh menembak menggunakan senjata buatan Amerika dan Russia.

Tidak seperti di zaman perang, terowong ini kini dipasang lampu dan diperbesarkan untuk memudahkan anda memasukinya. Anda juga boleh melihat (atau merasai sendiri) makanan ringkas yang dimakan oleh tentera Viet Cong melihat dan jerangkap samar yang dipasang untuk membunuh musuh mereka.

Suasana Terowong di Zaman Perang

Dikatakan askar-askar Vietnam berkongsi terowong yang gelap dan panas ini dengan ular, semut, lipan, nyamuk dan kala jengking.

Tentera-tentera ini hanya akan keluar sewaktu serangan atau pada waktu malam. Apabila serangan besar-besaran dibuat oleh penceroboh, mereka terpaksa tinggal berhari-hari di dalam terowong. Dikatakan hampir separuh dari askar yang mendiami terowong ini menghidap malaria dan jangkitan usus.

Ular berbisa dan kala jengking yang ditangkap mereka akan dimasukkan ke dalam kotak jerangkap samar yang akan dijatuhkan ke atas kepala tentera musuh.

Sejarah terowong Chu Chi

Dibina sekitar 1940an, terowong tentera yang mengambil masa kira-kira 25 tahun untuk disiapkan ini merupakan tempat tinggal tentera tempatan bagi menentang tentera penceroboh Amerika.

Askar Amerika dan Australia telah cuba mencari terowong ini dengan kerahan tenaga puluhan ribu askar, dan menghancurkan sawah-sawah padi, meratakan hutan dara, membakar kampung dan menyembur racun mematikan daun sebelum membakar hutan bagi menarik keluar askar Vietnam yang bersembunyi.

Apabila anjing digunakan untuk mencari terowong ini, askar Vietnam menggunakan sabun yang juga diguna oleh askar Amerika bagi mengelirukan haiwan tersebut. Askar khas yang digelar tikus-terowong yang dilatih untuk masuk ke dalam terowong juga gagal dalam misi mereka.

Tidak berjaya menarik keluar musuh mereka, akhirnya kawasan sekitar Chu Chi digazet sebagai kawasan bebas untuk sebarang tindakan tentera. Tembakan rambang dibenarkan, artileri ditembak ke kawasan ini tanpa mengira masa dan kapal terbang dan helikopter yang dalam perjalanan pulang dan melalui kawasan ini diarah menjatuhkan lebihan bom mereka.

Dikatakan 45,000 warga Vietnam, lelaki dan wanita telah mati dalam usaha mempertahankan terowong ini.

Tahukah Anda?

Menariknya, pada awal pencerobohan mereka, tentera Amerika telah membina sebuah kem tentera yang besar di Chu Chi.

Kem ini dibuat tanpa mengetahui bahawa di bawah tanah kem mereka terdapatnya terowong Chu Chi yang didiami ribuan tentera Vietnam. Pada setiap malam tentera Amerika pelik apabila kem mereka kerap diserang hendap oleh musuh yang hilang sekelip mata.

Di sesetengah kawasan terowong terdapat hospital, perkampungan sehinggalah dewan musik dan teater untuk tentera mereka (yang kebanyakannya adalah penduduk kampung). Di sini jugalah perkahwinan dan kelahiran anak disambut.

Terowong ini dikatakan antara faktor terbesar mengapa tentera Vietnam berjaya mengalahkan tentera Amerika yang lebih lengkap peralatan perangnya sehingga ia keluar dari kawasan ini pada 1972.

Tips Pengunjung

1. Pakai seluar dan baju t-shirt semasa ke sini. Anda bakal merangkak masuk ke terowong yang sempit.

2. Jika ada bajet, jangan lepaskan peluang menembak menggunakan AK-47 atau M-16.

3. Ada 2 kawasan terowong yang dibuka untuk orang awam — Ben Duoc dan Ben Dinh. Bergantung kepada pemandu pelancong anda, anda mungkin dibawa ke Ben Douc yang lebih jauh tetapi lebih asli dan kurang pelancong atau Ben Dinh yang agak sesak tetapi mempunyai terowong yang diperbesarkan.

Harga Tiket

Tiket masuk : [currency base=”VND”]90000[/currency]
Harga peluru: [currency base=”VND”]35000[/currency] sebutir. Anda perlu beli sekurang-kurangnya 10 butir. Lapang sasar ini terletak di luar kawasan terowong.

Harga Pakej: Sekitar USD [currency base=”USD”]50[/currency]

Waktu Operasi

Setiap Hari : 9pg – 5 ptg

Kredit: Emad Ghazipura, TC Davis

Jomjalan