Satay Malaysia Airlines sekarang boleh dibeli untuk penghantaran sekitar Lembah Kelang

Syarikat penerbangan Malaysia Airlines kini menawarkan satay lembu dan ayamnya untuk pembelian di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Satay MAS yang dahulunya hanya dihidangkan kepada penumpang kelas Business dan Business Suite, kini boleh ditempah melalui laman e-dagang MAS yang dinamakan Temptations.

Penghantaran satay ini akan diuruskan oleh cabin crew MAS, Michael Carlos yang kini telah membuka syarikatnya sendiri. Semua satay datang dalam bentuk sejuk beku, datang dengan kuah kacang dan dihantar dalam masa 5 hari selepas pembelian.

Pada waktu normal, Malaysia Airlines menghidangkan sebanyak 17,000 cucuk satay setiap hari. Tapi kini dengan terhentinya penerbangan antarabangsa, Malaysia Airlines menggalakkan staf dan krewnya berniaga melalui platform milik Malaysia Airlines.

Barang Lain di Temptations

Selain satay, MAS juga menjual pelbagai barangan dalam kapalterbang, termasuklah amenity kit, pyjama dan selimut yang lazimnya khas untuk penumpang di Business Suite.

Antara produk menarik yang boleh anda beli termasuklah barangan kraf yang dihasilkan crew, tiffin khas Malaysia Airlines dan juga amenity kit yang dihasilkan dengan kerjasama Aspinal of London.

Kecuali satay, kesemua barangan di Temptations adalah untuk jualan di seluruh dunia.