😎Cari Tempat Camping dan Team Building di Kelantan? Cuba Dabong!

Pernah terfikir tak zaman sekarang ini masih lagi wujud tempat yang sangat cantik dan tak ramai orang?

Kredit: Fadzly

Oleh: Najihah Jamaludin (Universiti Malaysia Kelantan)

Okay saya ulang. Cantik dan tak ramai orang.

Memang ideal sangat kalau nak cari ilham atau belajar bercamping untuk orang baru.

Tempatnya, kat Dabong.

Huh! Dabong? Kat Mana Dabong Ni?

[mappress mapid=”339″]

Dabong ini di Kelantan, bang.

Letaknya jauh dalam kawasan bukit. Jauh juga dari hingar bingar pasar.

Kalau dari segi jarak, dari Kota Bharu ke Dabong mengambil masa tiga jam dengan bas.

Tapi walaupun Dabong ini dalam kawasan pendalaman, semua jenis kenderaan — kereta, motosikal dan bas boleh lalu kawasan ini.

Cuma semua kena lebih hati-hati sebab jalan Dabong macam ular kena palu.

Apa Bestnya Dabong?

Dabong best sebab semuanya aman damai. Bila jejak saja kaki ke bumi Dabong ini, yang kami nampak cuma kehijauan yang indah, yang tersergam di depan mata.

Jadi kalau abang akak memang penggemar dan pecinta alam semula jadi, tapi tak cukup bajet nak merasa hutan Sabah atau Sarawak, boleh rehatkan badan kat Dabong.

Duit jimat, badan tak penat.

First Time Berkhemah Dalam Kawasan Madrasah

Kat Dabong, kami berkhemah di kawasan Madrasah Tarbiah Al- Aulad.

Dengan latar belakang Gunung Setong, Gunung Balung Ayam, dan kawasan sungai yang cetek, tempat ini memang memukau.

Duduk sekejap, kawan dah cuit ajak terjun sungai.

air terjun dabong

Sudahlah panoramanya hijau, ada pula pondok agama yang pelajarnya diajarkan ilmu mengenal Allah dan alam ciptaan-NYA dengan percuma.

Belum apa-apa tempat ini sudah mempesona.

Walaupun trip ini dibuat dalam keterpaksaan sebab diarahkan universiti, dan tempatnya pun memang terasing, sempat hati kami ini menangis.

Syukur sangat sebab dapat merasa dan menghayati indahnya alam ciptaan ilahi, yang susah nak dicari lagi di Semenanjung ini.

Mungkin berkat zikir anak-anak tahfiz di sini, atau bunyi air yang mengalir, buat tempat ini terasa aman kat hati.

Team Building & Berkhemah Kat Dabong

Kredit: Fadzly

Dabong sebenarnya belum diterokai sepenuhnya oleh orang luar.

Walaupun begitu, segenap umur boleh datang ke sini, sebab Dabong ada kawasan berkelah yang airnya cetek kalau bukan musim hujan. Boleh rehat dengan anak main air.

Tapi, kami syorkan, bila nak datang, buatlah plan untuk berkhemah. Sebab bila malam, syahdu nak tidur sebab anda tidur dengan deru air terjun.

Pendek kata, deru air dan siul burung memang bakal jadi peneman setia anda semasa di kaki gunung ini.

Kalau anda sukakan aktiviti lasak, ada banyak aktiviti yang boleh dibuat. Pilih saja, dari hiking, tree climbing, zipline, nighwalk sampailah ke water tubing, semuanya ada.

Uniknya kawasan bukit yang tersembunyi ini pasti tidak ditemukan di tempat lain. Tempatnya pun bersih. Sampaikan tiada seekor nyamuk pun kami jumpa sepanjang berada di sini. Subhanallah …

Boleh Juga Layan Masuk Gua

gua keris dabong

Kalau sudah ke sini, singgah juga di Gua Keris. Gua ini letaknya sebelah dengan Gua Ikan dan Gua Pagar.

Nama gua pun happening kan?

Kami dapat info, gua-gua ini dulunya kawasan orang bertapa. Dan sebab ada bentuk-bentuk yang macam binatang dalam gua ini, ada juga yang datang buat pemujaan.

Tak ada kerja la tu kan?

gua keris 2

Batu kapur dalam gua ini pun special. Sebab bercahaya dan bersinar walaupun kawasan gua ini tak disuluh cahaya lampu.

Kata orang, batu kapur ini jadi begini bila titis air gua dan garam mineral bercampur sekali. Itu yang pelik semacam. Aneh sungguh. Memang misteri nusantara.

Jangan Risau. Setakat Toilet Bukan Masalah Kat Dabong

Tak semua tapak khemah ada tempat yang selesa. Banyak yang dibuat ala kadar dan ala tentera, dan bertukar pakaian pun kena pandai-pandai.

Tapi tak di Dabong.

Nak solat, walaupun ada orang yang layan solat atas batu sungai, sebenarnya boleh saja ke surau. Surau di sini sudahlah besar, buat pun guna batu sungai. Ha! Kan unik tu.

surau al aulad dabong

Kredit: Aidid

Kalau lepas mandi, ada tempat menyalin pakaian. Tak perlu susah malu-malu meregang kain batik di ampaian. Cuma semasa trip kami ke sini, tempat menyalin yang besar ini sedang diselenggara.

Tandas? Pun jangan berebut. Sebab ada 3 kawasan tandas. Ada dua kawasan dengan 7 buah tandas untuk kegunaan hari-hari dan dua buah untuk digunakan semasa kecemasan.

Tandas kecemasan ini pun mesra alam sebab air yang digunakan datang terus dari air sungai Dabong.

Khemah & Chalet Tepi Sungai

perkhemahan dabong

Kalau anda dah plan datang untuk berkhemah dan bermalam, kemudahan khemah memang ada tersedia. Saiznya anda pilih.

Tapi kalau anda nak lebih selesa, di sini ada 2 buah chalet. Setiap satu boleh muat 10 orang.

Harga? Percuma. Pihak Madrasah tak minta bayaran pun. Ya! Tak tipu.

Cuma kami sarankan sedekahlah sedikit wang saguhati. Bukan apa, pelaburan akhirat juga tu kan?

Apa Aktiviti Lain Boleh Dibuat di Dabong?

aktiviti dabong

Semasa kami di sana, antara aktiviti yang kami buat ialah zipline, hiking, tree climbing, night walk dan aktiviti secara berkumpulan.

Bila dah di hutan, kena lah tahu selok belok hutan kan? Jadi kami juga diajar cara untuk survive kalau tersesat di dalam hutan dengan cara menyalakan unggun api menggunakan kayu atau ranting yang sedia ada.

Best? Memang lah best!

Pendek kata, kalau anda nak rasa dunia tanpa internet, telefon dan TV, datang ke Dabong.

Moga dapat detox teknologi. Atau buat cinta pada alam, berputik di hati.

NOTA: Trip ini adalah antara kerja lapangan oleh pelajar Universiti Malaysia Kelantan, Fakulti Hospitaliti Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) di bawah subjek Pengurusan Senggang dan Rekreasi dan subjek Eco-pelancongan.

dabong field trip

  1. Sow Ai yin says:

    Boleh saya tahu cara nak tempah kawasan perkhemahan di sana?ada no telefon utk dihubungi? Kawasan sana sunyi tak?

Comments are closed.

Jomjalan