Nak tahu tempat makan malam Port Dickson yang menarik dan popular?
Kami ada senarainya.
Ini port-port makan yang patut ada dalam list anda.
Tempat Makan Menarik Port DIckson
Dusun Pak Din

Ini tempat makan malam kat PD yang special sebab anda macam makan dalam dusun.
Kat ini lauknya jenis Western.
Ngam kalau anda mengidam spaghetti, pizza, chicken chop dan juga burger.
Tapi kalau yang tekak Melayu, nasi ayam dan nasi lemak masih ada.
Bagi anda yang bawa anak kecil, ada playground mini.
Ada juga sangkar kecil untuk mereka tengok burung sementara tunggu makanan disaji.
Lokasi : 2578, Jalan Mawar 18, Taman Port Dickson Utama, 71000 Port Dickson
Medan Ikan Bakar Majlis Perbandaran PD

Ini pun antara port makan malam popular kalau nak cari ikan bakar dan makanan Siam kat PD.
Ia kat tepi laut.
Jadi boleh layan suasana senja sementara anda jamu selera.
Parking luas dan tiada isu.
Dan antara banyak-banyak gerai dalam itu, gerai no. 3 (Koperasi Nelayan) yang ramai orang tuju.
Lokasi : Jalan Seremban, Batu 1, 71000 Port Dickson
Tino’s Pizza

Kalau nak rasa pizza ala Austria, boleh pergi kedai pizza kecil ini.
Walaupun pemiliknya mat saleh, beliau muslim dan fasih berbahasa Melayu.
Kat sini pizzanya gaya German – jadi ia ada rasa berbeza dari Pizza Hut atau Domino’s.
Dan boleh juga cuba strudel dan gelato untuk lengkapkan sajian malam anda.
Harga lebih tinggi dari biasa.
Tapi apa salahnya berbelanja kalau nak rasa secebis Austria masa cuti anda.
Lokasi : 3, No 9, Bazar MARA, Batu 3, 4, Jalan Pantai, 71050 Port Dickson
Mient Burger

Mient Burger ini satu lagi port lepak malam-malam kat PD untuk layan western food yang sedap.
Ada burger arnab, udang sampailah burger ikan yang patties nya tebal-tebal belaka.
Air A&W float atau longan fizz nya pun boleh cuba untuk makan malam yang sempurna.
Kalau anda kuat makan, boleh cuma burger-lumang platter.
Menu ini, datang lapar, balik tersandar.
Nota : Lauk western lain dan nasi goreng pun ada juga.
Lokasi : 258, Kilometer 1, Jalan Pantai, 71000 Port Dickson
Sri Pantai Ria Seafood

Nak makan malam seafood gaya Cina?
Kedai ini antara lokasi kat PD yang popular.
Anda boleh jumpa lauk macam ketam masak telur masin dan juga ayam Mongolia dalam menunya.
Bagus lagi ia dekat dengan PD Waterfont.
Lepas perut kenyang boleh ambil angin, berehat atau jamu mata.
Tapi sebab kedai makan ini popular, waktu menunggu mungkin lama.
Nota : Ia ada halal Jakim
Lokasi : 26, Persiaran Waterfront PD Waterfont, 71000 Port Dickson
King’s Char Kuey Teow

Tak jauh dari Pantai Cahaya ada port dinner yang viral dengan char kuey teow berlauknya.
Boleh pilih char kuey teow kambing, sotong buncit dan ayam grill sampailah ke char kuey teow ketam dan udang galah.
Kalau anda nak lauk Western pun ada tersedia.
Tapi sebab selalu viral, restoran ini sentiasa sesak dengan pelanggan.
Sediakan tasbih untuk istighfar sementara tunggu hidangan.
Lokasi : 402, 4, Jalan Pantai, Kampung Si Rusa, 71050 Port Dickson
Port Lanun PD

Ini lagi satu port makan ala-ala hipster kat Teluk Kemang yang popular.
Ia ada gerai-gerai kontena kecil dengan lauk macam mee sizzling, western food, char kuey teow sampailah ke ikan bakar.
Apapun, lauk signature kat sini adalah makanan seafood dan bakar-bakar dari warung salai.
Parking ada tapi terhad.
Datang awal supaya boleh jamu selera dan tak sekadar melihat-lihat.
Lokasi : 5, Lorong Baru Kemang 1, Taman Baru Kemang, 71050 Port Dickson
Bagan Pinang Satay House

Ini pula antara tempat sate terbaik di PD – cuma kena rajin jalan-jalan cari makan sebab ia bukan kat tepi jalan besar.
Menu terhad.
Tapi ia terkenal dengan keenakan sate dan kuahnya yang pekat.
Untuk tambah hidangan, ada nasi lemak dan beberapa jenis mee macam mee kari, sup dan laksa.
Cumanya datanglah awal sebab sate kat sini cepat licin lazimnya.
Lokasi : Batu 3, Bagan Pinang, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan
Warung Bobok

Warung yang satu ini tak jauh dari PD Cottage Home (yang viral sebab homestay nya yang lawa).
Dan ramai yang datang sebab ia popular dengan lauk kambing dalam menu nya.
Antara menu yang laris kat sini nasi goreng kambing, sup kambing, sizzling dan juga kambing cili apinya.
Dan ada juga goreng-gorengan dan makanan berkuah macam mee bandung, mee udang dan mee kari.
Ini tempat makan yang kecil sahaja.
Janganlah anda plan serang dengan rombongan satu bas pula.
Lokasi : Lot 2317, Jalan Kg Sawah Sunggala, Si Rusa, 71050 Port Dickson
Lantak Kafe

Kat Lantak Kafe, ada beberapa gerai bawah satu bumbung untuk dinner anda.
Boleh pilih nak makan western, sizzling, asam pedas sampailah shellout.
Sementara tunggu lauk sampai anda boleh layan live band.
Bukan apa. Ia selalu penuh dengan pelanggan.
Jadi live performance boleh buat anda ralit sementara tunggu makanan.
Lokasi : 3 Lot 968 Batu, 3, Jalan Pantai, 71000 Port Dickson
Embok Village

Restoran popular kat PD yang satu ini pula terletak betul-betul kat tepi laut.
Ia luas dan selesa untuk keluarga.
Dan ngam juga untuk yang datang berdua dan nak layan suasana malam dan senja.
Kat sini, menu popularnya ialah seafood dan steamboat arang.
Jadi kebanyakan meja akan ada steamboat, ikan bakar dan tomyam.
Sebab ia juga port sambut harijadi dan anniversary, lebih baik tempah meja sebelum ke sini.
Walaupun parkingnya besar, takut meja fully book pula nanti.
Lokasi : Batu 2 1/2 Pantai Bagan Pinang, 71900 Port Dickson, Negeri Sembilan
Seri Mesra Ikan Bakar & Seafood

Ini satu lagi kedai makan malam kat PD yang popular dengan seafood dan steamboat.
Kat sini ada banyak pilihan seafood – ikan, sotong sampai udang.
Kat sini, pengunjung biasanya makan ikan bakar dimakan dengan nasi putih dan ulam-ulam.
Tak kurang juga yang gandingkan lauk bakar dengan set tomyam.
Lokasi : Jalan Pantai Teluk Kemang Square, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
Mimi Seafood

Untuk makan kat PD tapi rasa macam kat Bangkok, datang sini.
Kedainya ala kampung.
Boleh pilih nak meja duduk atau jenis meja bersila.
Kat sini popular dengan masakan seafood, Thai dan goreng-goreng.
Jadi bolehlah order siakap stim atau tiga rasa, sotong goreng tepung tomyam dan butter prawn nya.
Surau tersedia. Parking pun ada kat tepinya.
Lokasi : Kampung Baharu, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
Restoran Aden

Kita tutup dengan kedai untuk anda yang mengidam nasi arab masa cuti kat Port Dickson.
Sila datang kat Aden — tempat makan malam lauk Yemen popular kat sini.
Yang selalu orang order, lauk kambing dan roti mulawah yang lazat.
Ia tak jauh dari PD Waterfront, jadi boleh ambil angin laut untuk rehat-rehat.
Harga? Macam kedai Arab biasa, poket perlu sihat walafiat.
Lokasi : No 61 Jalan Mahajaya, 71000 Port Dickson
Cukup kat sini dulu senarai tempat-tempat makan malam di Port Dickson yang boleh anda jengah masa cuti.
Kami cover dari ikan bakar sampai pizza dan nasi arab restoran Yemeni.
Jangan lupa pula postkan ke FB dan share dengan family.
Senanglah nanti nak cari makan best kat area PD.