Jom Terjah! 15 Tempat Makan Pagi Sedap Di Ipoh Untuk Kome Layan

Ada yang kata, Ipoh ini tak ada tempat makan pagi yang sedap. Kalau adapun cuma kedai mamak.

Sebenarnya, Ipoh ada tempat breakfast yang bagus. Cuma ada yang viral, dan ada yang orang Ipoh simpan diam-diam.

Ini kami senaraikan kedai makan kat Ipoh yang best untuk kome datang dan layan masa cuti nanti.

Kami bahagikan kepada 2 — yang dalam kawasan town (untuk yang tidur kat hotel) dan yang kat kawasan perumahan, kalau-kalau anda tidur kat homestay.

Kedai Makan Pagi Sedap di Ipoh (Area Bandar)

Kat dalam pekan Ipoh ada beberapa tempat makan sedap yang disyorkan untuk anda dan keluarga cuba. Kita mula dengan makanan Cina dulu.

Greentown Dimsum

dim sum greentown antara tempat makan sarapan sedap di ipoh
Kredit : Aziemahmaryam

Untuk yang mengidam pagi-pagi makan dimsum, tapi tak mahu keluar jauh dari pekan Ipoh, Greentown Dimsum ini tempatnya.

Kat sini dimsum nya halal. Tapi kalau dah nama dimsum, pagi punya bajet kena siapkan paling kurang dalam RM 15 seorang untuk set dimsum dan air.

Kalau anda datang dengan geng yang tak suka dimsum, boleh juga order mee wantan atau banyak mee Cina lain yang anda tak pernah kenal pun. 

Kat sini, nasi lemak pun ada, tapi apa cerita masuk restoran Dimsum dan order benda itu kan.

Lokasi : 10, Persiaran Greentown 4, Greentown Avenue, 30450 Ipoh
Waktu Operasi : Selasa Tutup | Hari Lain : 8:30 pagi ke atas

Roti Canai Ijam 

ada 30 roti canai sedap kat kedai ini
Kredit : Yunredza

Kedai roti canai ini ada dekat dengan Pasar Lok Kin Ipoh. Jadi kalau anda di sekitar kawasan itu pada hari Ahad, mungkin boleh makan di sini.

Kat sini ada 30 jenis roti canai. Antara menu yang special termasuklah roti canai cheese black pepper.  Tapi kalau anda nak roti canai biasa dan juga roti telur tak ada masalah.

Kalau anda nak rasa roti canai Ijam kat tempat asal, kena gerak ke Pengkalan Ipoh. Tapi itupun sesak dengan orang. Jadi cawangan ini alternatif terbaik yang ada di kawasan bandar.

Lokasi : Kampung Jawa, 31350 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Tutup Selasa | Hari Lain : 7 pg – 3 ptg

Addon White Coffee

jangan pula datang addon white cofee cafe ini dan tak minum kopi putihnya yang sedap

Tempat ini sesuai untuk anda yang mencari brunch gaya kopitiam Cina dan mahu lepak santai tenang-tenang.

Menu yang special kat sini mee tarik dan juga kopi putih. Dan dua menu ini ada banyak variasi, jadi tanya-tanyakan pelayan anda yang mana satu yang dia syorkan.

Kalau tak mahu datang pagi, petang pun best juga. Boleh layan roti kukus dengan kaya, dan minum kopi putih ais. Memang leleh.

Dari waktu ia beroperasi sampai waktu artikel ini ditulis, tempat ini ada halal JAKIM. Jangan risau. Dan oh! Nak makan malam pun okay sebab ia masih buka.

Lokasi : 64, Jalan Raja Ekram, Kampung Jawa, 30450 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : Dari 10 pg – 12 tgh malam

Restoran Kosiswa Riverside Ipoh 

tempat makan ini kat tepi sungai kinta
Kredit : Nabraskaa

Restoran yang ada dekat dengan UTC Ipoh ini ada beberapa lauk makan pagi untuk anda. Kalau anda datang bercuti ke Ipoh dengan mak ayah yang berusia, mereka boleh cuba lontong yang memang selalu tersedia di sini. Boleh rasa macam pagi raya kejap.

Tapi antara menunya yang paling popular dan sedap ialah char kue teow-nya. Mee kicapnya pun boleh layan.

Harga kat sini, walaubagaimanapun tinggi sikit dari kedai makan pagi biasa.

Lokasi : No.21, Jalan Laxamana, 30300 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : 8 pagi – 3 ptg

Nellie’s Deli

cafe hipster ini sesuai untuk brunch dan juga lunch

Ini port kedua untuk makan brunch dalam town Ipoh yang hip. Lokasinya pun kat Plan B.

Oh! Walaupun namanya macam kedai Cina, dan lokasinya kat tengah bandar, ini kedai Melayu. Kedainya dibuka dua beradik, Ardina Nelli Ahmad Hatta dengan Farina Nelli Ahmad Hatta.

Makanan Melayu kat sini yang best ialah mee rebus dan juga nasi lemaknya. Harganya sedikit keras, tapi untuk lepak makan santai-santai, memang boleh.

Kalau terasa nak makan Western, pun ada juga. Ada English Breakfast, Olio Oglio sampailah ke Fish and Chips. Suasananya? Hipster sungguh.

Bila dah kenyang makan kat sini, bolehlah mula jalan dan bergambar kat kawasan Koh Heng atau cari buku di Bookexcess.

Lokasi : 101, Jalan Sultan Yusof, 31650 Ipoh
Waktu Operasi : Tutup Isnin. Hari Lain : 10 pg – 5 ptg

Mee Daud Mat Jasak

mee kicap dan mee kari antara makanan sedap di kedai ini
Kredit : Fadorifadzli

Untuk orang Ipoh, kalau sebut mee kari Melayu, tak ada lain ini dulunya port mee kari yang cukup paling legend.

Tapi sekarang, beliau sudah tiada. Resepi mee karinya diteruskan dan mee kari Daud Mat Jasak ada dijual oleh ahli keluarganya dalam beberapa lokasi di bandar dan juga warung-warung sekitar Ipoh.

Pada kami, rasa mee karinya dah tak sesedap asal. Tapi masih boleh layan lagi.

Kalau anda kat sini, selain mee kari, boleh juga cuba mee kicapnya.  

Lokasi : G2, Jalan Datoh, 31650 Ipoh, Negeri Perak (dan beberapa tempat lain sekitar Ipoh)
Waktu Operasi : Tutup Ahad | Hari Lain : 8pg – 2 ptg & 6ptg – 10 mlm

Restoran M Salim

mamak di  restoran m salim ipoh
Kredit : makansedapipoh

Restoran ini sebenarnya terkenal sebab kari kepala ikan merahnya. Tapi tak bermakna lauk paginya biasa-biasa sahaja.

Kata orang, ini antara kedai mamak yang ada roti canai yang power kat Ipoh.

Tambah-tambah lagi, untuk celup roti canainya, ada kuah kari ayam, kari ikan dan kari kambing yang boleh anda pilih. Kata orang, makan dengan kari kambing nya memang umph. 

 Okay! Mamak, roti canai kari kambing dengan kopi ais satu !!!!

Lokasi : 75, Jalan Tokong, Taman Hoover, 31650 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : Dari 6:30 pg

Kedai Makan Pagi Sedap di Ipoh (Luar Kawasan Bandar)

Kalau anda tak kisah bergerak keluar dari pekan Ipoh dan drive keluar sikit, ada juga kedai-kedai makan best yang boleh anda cuba. Kebanyakan tempat harganya rendah sikit dari yang kat pekan Ipoh, tapi ada juga yang sedap tapi premium.

New Hollywood

kedai sarapan cina di ipoh yang popular -- new hollywood taman canning
Kredit : emmyyy_rose

Kedai makan Cina di Canning yang kerap penuh ini tak perlu diperkenalkan lagi. Memang hot pada orang yang ada di luar Ipoh.

Satu, sebab ini antara tempat kat Ipoh yang Melayu Cina, India makan bawah satu bumbung.

Kedua, kedai Cina ini ada banyak lauk pagi sedap. Dari mee kari, chee cheong fun dan roti telur goyang sampailah ke nasi lemak.

Halal ke? Kedai ini barang mentahnya memang diambil dari supplier Melayu. Kalau mengikut kata orang berdekatan, itu memang arahan tuanku sultan supaya orang Melayu pun boleh makan kat sini.

Sesetengah gerai ada yang tampal sijil Halal Jakim supplier mereka. Tapi cara penyediaan, basuhan dan juga kicap apa semua kami tak pasti.

Kalau was-was, boleh skip. Banyak lagi kedai lain kat Ipoh yang boleh terjah ok?

Lokasi : Taman Canning, 31400 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari : Dari 7 pagi

Allongs, Warong Ipoh Lontong

ini lokasi untuk makan lontong sedap untuk sarapan di ipoh

Walaupun kedai ini namanya Ipoh Lontong, ada juga mee kari, soto dan nasi lemak kat sini. Tapi memang lontongnya yang paling special kat sini.

Macam kebanyakan kedai makan kat Ipoh, kedainya kecil dan sesak. Parking pun susah.

Kalau anda datang pukul 10:30 pagi, ada kemungkinan makanan dah licin, walaupun harganya sedikit premium dari kedai biasa.

Lokasi : 24, 1, Pesara Ipoh, Taman Ipoh, 31400 Ipoh
Waktu Operasi : Tutup Ahad | Hari Lain : 7:40 pg – 1 ptg

Salmah Kopitiam 

salmah kopitiam ada air yang berbuih banyak gitu
Kredit : Aniskamal_

Kopitiam ini ada lauk gabungan Johor dan Kelantan. Ya, bang Mid, memang bukan lauk Perak, tapi tak kisahlah, yang penting sedap.

Tempat ini popular dengan teh tarik ais, kopi ais dan kacang poolnya. Kalau nak cuba, low see fun pun orang suka.

Tempat duduk tak banyak. Datang seawal yang boleh.

Lokasi : 92, Jalan Raja Musa Mahadi, Taman Hillview, 31350 Ipoh
Waktu Operasi : Tutup Isnin. Hari Lain : 8 pg – 2:30pm

Restoran Capati Medan Gopeng

capati yang ada di sini
Kredit : Rahmanarj69

Kalau anda dah puas dengan roti canai, dan nak merasa capati India pula, boleh gerak ke restoran di Medan Gopeng ini.

Kedai ini terkenal dengan capatinya yang dikatakan lembut gebu. 

Dan macam kat mana-mana kedai mamak, selain capati ada juga tosei dan naan cheese untuk anda cuba.

Cuma tahap kebersihan kedai ini memang boleh perbaiki lagi.

Lokasi : No. 41-43, Medan Gopeng 1, Off, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah, 31350 Ipoh
Waktu Operasi : Setiap Hari :  Dari 7 pg

Cafe Suhaimi  Manjoi

roti benggali dengan kuah kari di suhaimi cafe. jangan lupa juga minum kopinya
Kredit : fazrienadnan

Kalau anda nak rasa kopi hipster kat gugusan Manjoi, tak ada cafe lain yang boleh kalahkan Suhaimi Cafe ini.

Cafenya kecil sahaja. Dan dibuka hanya untuk makan pagi. Jadi bersedialah untuk beratur berjemaah kat pintu kedai sementara menunggu meja kosong.

Kat sini, istimewanya ialah kopi-kopinya yang ada. Sedap dan pekat kaw-kaw. Jadi perut kena kuat. 

Selain kopinya, kat sini juga ada roti Benggali bakar dan kacang pool yang boleh anda cuba.

Update 2 Oktober 2020 : Suhaimi Cafe ada buka cawangan baru di Silibin.

Lokasi : 57, Laluan Jelapang Selatan, Taman Kledang Permai, 30020 Ipoh 
Waktu Operasi : Tutup Selasa | Hari Lain : 7:45 pg – 12 tgh hari

Warong Sungai Tapah 

orang sentiasa penuh di warung sungai tapah
Kredit : Warung Sungai Tapah

Tak jauh dari Cafe Suhaimi ini ada Warong Sungai Tapah.

Kedai ini selalunya penuh setiap pagi, tapi kebanyakan yang datang kat sini orang-orang sekitar. Minta ampun orang Ipoh, sebab kami dah bongkar ini, port ini mungkin kena serang dengan orang luar juga nanti.

Menunya breakfastnya ada banyak. Ada roti bakar dan mee. Tapi makanan yang selalu popular kat sini ialah nasi lemak kukus berlauknya dan juga mee kari.

Datang awal, dan banyak bersabar.  

Lokasi : Jalan Cempaka, Kg Manjoi Tambahan, 30020 Ipoh
Waktu Operasi :  Tutup Selasa | Hari Lain : 7:30 pg – 1 tgh hari.

Mee Kari Kak Yah (Jelapang)

antara makanan yang ada di  mee kari kak yah
Kredit : tinakhairani

Bannernya tulis mee kari paling sedap kat Ipoh. Kami tak rasa ia paling sedap, tapi masih boleh datang kalau anda nak rasa mee kari dalam suasana tempatan.

Kat sini ada sate, kueteow dan mee kicap. Roti bakar pun ada. Jadi muda atau tua sepatutnya ada lauk untuk jamu selesa. 

Tapi kat sini, parking memang satu masalah. Tempat duduk dan kebersihan pun gitu juga.

Kalau boleh jangan datang kalau hujung minggu. Kawasan ini sesak sebab ada pasar tani di seberang jalan.

Lokasi : Jalan Jelapang Selatan 1, Kampung Tengku Husin Hujong, 30020 Ipoh
Waktu Operasi : Tutup Isnin | Hari Lain : Dari 7 pagi

Sajian GJee

Kalau homestay anda ada kat kawasan Meru (yang dulunya ada MAPS), tempat breakfast sedap kat sini antaranya ialah Sajian GJee.

Nak makan pagi yang sudah siap masak macam mee, mihun dan nasi lemak boleh. Nak order pun boleh. Lauk Melayu ada, English Breakfast pun ada.

Ada yang kata masakan kat sini bebas MSG. Kami tak pasti betul tak.

Yang kami tahu, makanannya sedap. Cuma harganya tinggi dari kedai biasa. 

Lokasi : 3, Jalan Meru Bistari A2, 30020 Ipoh
Waktu Operasi : Tutup Jumaat | Hari Lain : 7 pg – 5 ptg

Ada banyak lagi port makan sedap kat Ipoh. Tapi cukup 15 kedai untuk sarapan ini ye?

Kami simpan sikit port-port rahsia orang Ipoh. Kalau semua dah sesak nanti, orang Ipoh nak makan tenang-tenang kat mana bang oi?

Jomjalan