Langkawi bukanlah pulau yang besar. Jadi tempat menarik waktu malam di Langkawi yang boleh anda lawat pun terhad.
Tapi kalau anda masih belum penat pusing pulau waktu siang, ini senarai tempat menarik yang anda boleh lawat waktu malam.
Jom kita tengok apa tempatnya.
Pasar Malam Langkawi

Berbeza dari kebanyakan tempat di Malaysia, Langkawi ada pasar malam pada tiap-tiap malam.
Kalau anda nak pergi ke pasar malam terbesar ianya ada pada hari Rabu dan juga hari Sabtu kat Pekan Kuah.
Tapi kalau hari lain anda mungkin kena ronda pulau sebab lokasinya berbeza — dari di Air Hangat sampailah ke Padang Matsirat.
Pantai Cenang

Pantai Cenang hidup pada waktu malam. Orang ramai di merata tempat dan muzik ada di sepanjang jalan.
Memang kebanyakan yang buka adalah pub dan juga bistro. Tapi anda masih boleh bersiar kat kawasan pantai untuk ambil angin malam. Nak makan, ada kawasan food truck yang buka sampai larut malam untuk anda jamu selera.
Kalau anda ada anak kecil boleh singgah di Telaga Walk. Kat sini ada tunggangan untuk anak kecil yang boleh mereka layan.
Telaga Harbour Park

Kalau anda berada di sekitar Telaga Harbour waktu malam boleh juga singgah di Telaga Harbour Park ini.
Tempat ini ada kafe dan juga restoran (kebanyakannya tidak halal) yang dibuka pada waktu malam bertentangan dengan kawasan berlabuh kapal mewah.
Anda boleh datang ambil angin kat sini, dan berangan jadi kaya. Ataupun layan pemandangan sambil makan roti kat restoran The Loaf kalau perut bergelora.
HIG Langkawi

Gila shopping? Datang waktu malam ke HIG Langkawi.
Shopping mall yang ada corelle, coklat, baju batik, minyak gamat dan macam-macam lagi barang free duty memang dibuka sampai waktu malam.
Cuma jangan datang lewat . Nanti belek pinggan belum sempat, pintu mall sudah nak tutup rapat.
Seashell Restaurant Laman Padi

Dekat dengan Laman Padi ada satu restoran yang dipanggil Seashell Restaurant.
Tempat ini tarikan malam Langkawi yang special sebab anda makan di dalam tempat rehat kayu macam orang banting sawah dulu-dulu.
Ia sebenarnya dibuka untuk makan tengah hari. Tapi kalau anda datang waktu malam anda juga boleh dinner kat sini. Tapi terhad sampai pukul 8 saja.
Bukan apa, makin lewat nanti teruk bersilat dengan nyamuk.
Dataran Helang

Ini satu lagi tempat menarik yang boleh anda pergi waktu malam kat Langkawi — Dataran Helang kat Kuah.
Tak banyak yang dah boleh buat di sini. Lagi-lagi kalau malam nak ambil gambar yang cantik pun bukan senang.
Tapi disebabkan ia dataran di tepi laut, ramai yang lepak waktu malam ambil angin. Untuk yang ada anak kecil boleh juga naik kereta elektrik berbayar yang ada dalam kawasan ini.
Buat masa ini Itu sahaja tempat menarik di Langkawi pada waktu malam yang boleh anda lawat.
Tempat menarik macam taman tema air dan juga akuarium semuanya tutup pada waktu malam.
Senang cerita, sebaik-baiknya anda habiskan masa waktu siang anda untuk ronda pulau habis-habisan. Dan pilih hanya satu atau dua tarikan malam untuk anda lawat semasa cuti kat sini.
[static_content id=”17956″]