Tau Tak Tau? 7 Tempat Menarik Kat Malaysia Ini Berhantu

Cerita ada hantu kat sekolah, rumah tinggal dan bilik hotel, memang biasa.  Tapi sebenarnya ada juga tempat-tempat menarik di Malaysia yang berhantu. 

Ada yang cuma orang tempatan yang tahu. Ada pula tarikan yang orang kerja kat situ pun mengaku. 

Apapun, kalau anda berhajat ke tempat-tempat kat bawah jaga lidah, jaga perangai sebab anda tak tahu apa yang bakal menanti.

Jom kita tengok apa 7 tarikan kat Malaysia yang dikatakan berhantu itu.

Kellie’s Castle, Perak

Kawasan rumah dan kawasan dapur istana Kellie. Gambar : Brian Yap

Bangunan yang berumur lebih 100 tahun ini dulunya rumah milik orang putih.  Ia cukup gah sehinggakan ia bakal menjadi bangunan pertama dalam Malaya yang ada lif. 

Tapi sewaktu pembinaannya, ramai buruhnya mati. Kemuncak tragedi bangunan 14 bilik ini ialah pemiliknya sendiri mati sebelum ia siap.

Antara bilik dalam istana Kellie. Ada bilik yang ada jalan rahsia. Gambar : Brian Yap

Sekarang anda boleh datang ke sini, masuk ke bilik utama, naik ke kawasan bumbung,  dan tengok sendiri kawasan tempat simpanan kain linen milik hartawan Scotland ini. Anda juga akan dapat rasa sejuknya kawasan ini walaupun kawasan luar panas berapi.

Kawasan koridor di sini. Gambar : Chee Hong

Walaupun tak sekerap dulu, hantu pemilik Kellie’s Castle ini dikatakan masih boleh anda nampak termenung kat tingkap bila tiba waktu senja.

Kelibat anak perempuannya,  Helen juga masih dikatakan berlegar-legar dengan gaun malam putihnya di kawasan koridor Kellies Castle. Kadang-kadang orang terdengar suaranya menangis.

Untuk yang nak bergambar kat sini, hati-hati. Sebab kadang-kadang ada juga kes entiti masuk frame. Mungkin depa excited nak bergambar sekali.

Ia tempat cantik untuk memori raja sehari. Gambar : Ijoy Salute Bendang
entiti di kellies castle
Tapi kadang-kadang ini terjadi. Gambar : Ijoy Salute Bendang

Muzium Setem, Melaka

bangunan muzium setem melaka
Muzium ini adalah antara bangunan tertua kat Melaka

Muzium setem Melaka ini  jarang dimasuki pelancong. Dan kalau ada yang tahu sejarah bangunan muzium ini, mungkin bertambah sepi jumlah pelancong ke bekas rumah orang Belanda ini.

Mengikut cerita,  kat tempat ini dulunya ada seorang rahib. Rahib yang sepatutnya tidak berkahwin,  dikatakan mempunyai hubungan terlarang dengan seorang askar Portugis sampai dia mengandung.  Sebagai hukuman, dia ditanam hidup-hidup di taman belakang rumah ini.

Rahib wanita. Sekadar gambar hiasan.

Mungkin sebab rohnya tidak tenteram, ia selalu dilihat di sekitar kawasan rumah ini.

Ia cukup dikenali oleh keluarga pemilik rumah ini sehingga anak-anak tuan rumah menamakan hantu ini sebagai kawan mummy.  Ia selalu dilihat duduk di verandah, dengan wajah menghadap ke laut.

Kisah ini sangat popular kat Melaka waktu itu sehingga ia digelar Hantu No. 7 Fort Road. 

Rumah yang diketahui sebagai antara bangunan Belanda tertua di Melaka ini ditukar menjadi muzium setem hanya pada tahun 2007. 

Sejak itu kisah ini mati begitu saja. Ada kemungkinan bila anda tanyakan pada orang muzium, mereka sendiri pun geleng kepala, dan cakap kami mengarut adakan cerita.

Muzium Perang, Penang

pintu yang dikunci di muzium perang penang
Satu kawasan di Muzium Perang yang ditutup kepada umum. Gambar : Allen Warren

Dalam banyak-banyak tempat menarik kat Malaysia,  ini antara tempat menarik yang pemiliknya sendiri mengaku bahawa kawasannya berhantu.

Muzium Perang ini dulu kubu British, dan dikatakan dibina oleh banduan dari India yang menunggu hukuman mati. Apabila siap, semua banduan dikatakan dibunuh untuk memastikan kubu ini kekal rahsia.

Apabila Jepun menyerang Malaya, kubunya ini ditinggalkan. Jepun kemudiannya menukarkan tempat ini menjadi pusat seksaan. Dan dalam kawasan ini ramai tahanan yang mati disiksa, dipancung atau digantung.

kawasan dalam muzium
Antara kawasan yang boleh anda masuk di sini. Gambar: Allen Warren

Pendek kata kawasan ini banyak memakan nyawa, sampai penduduk keliling sini pun memanggilnya dulu sebagai Bukit Hantu.

Kalau mengikut  pihak yang memajukan  muzium ini, sebelum dibuka, muzium ini memang melalui proses menghalau roh.

Tapi itu pun bukan 100% berjaya. Sekarang, kalau setakat anda terdengar bunyi orang bersiul,  berbisik atau ada ternampak kelibat lembaga, memang perkara biasa.  Bayang kelawar besar di atas kepala pun bukan apa-apa.

Kalau berani, boleh merangkak masuk terowong dalam muzium ini. Gambar : Eng Hooi Sim

Muzium perang ini juga tersenarai dalam program I Wouldn’t Go In There oleh National Geographic sebagai antara 10 tempat paling paling seram dalam Asia. 

Senang cerita, kalau datang, jangan bawa budak — melainkan anda rajin nak ulang-alik menghadap ustaz kat Darul-Syifa’.

Paradigm Mall, Johor

Mall ini ini siap ada gelangggang luncur ais. Gambar : Mohd Hafizee

Ramai yang masuk ke mall terbesar kat Johor ini tapi tahu apa-apa fasal sejarah di sebalik mall ini. 

Mall ini dulunya dipanggil Kemayan City. Ia terbengkalai selama 20 tahun sampailah dibuka sebagai Paradigm Mall pada 1998. Semasa terbengkalai,  orang-orang Singapura memanggilnya mall puaka.

kemayan city
Kemayan city mall. Gambar : JbTalks

Ini kisahnya. Ada satu keluarga dari Singapura, balik dari kenduri di Melaka.

Bila mereka lalu kat kawasan Kemayan City,  mereka nampak yang mall ini beroperasi dengan lampu bergemerlapan,  walaupun masa sudah pukul 9 malam.

Mereka masuk dan shopping macam biasa.  Sebelum sampai Singapura, mereka singgah di rumah saudara di Kampung Pasir tak jauh dari situ.

Bila mereka bercerita tentang mall yang hebat yang mereka pergi tadi, saudara mereka pucat muka. Kata saudara-mara mereka, bangunan itu sudah terbengkalai lama. Kain baju yang mereka beli pun juga hilang tiba-tiba.

Ada juga pemandu teksi yang bercerita yang mereka menerima penumpang yang mahu ke Kemayan City. Dan bila sampai, penumpang itu ghaib di kerusi penumpang.

Sekarang mall ini siap boleh buat acara Halloween

Tapi bangunan lama itu pun dah dirobohkan. Dan cerita itu pun tak tahu sahihnya sebab ia disampai dari mulut ke mulut.  Jadi kalau kawan ajak pi Paradigm Mall sekarang, jangan gabra, jangan kalut.

Bukit Cina, Melaka

perigi hang li poh di bukit cina melaka

Kawasan Bukit Cina kat Melaka ni terkenal dengan perigi Hang Li Po. Tarikan ini tak terkenal di kalangan orang Melayu. Tapi kalau pelancong asing dari China datang Ini antara tempat wajib  mereka tuju.

Kalau anda tak pernah jejak kaki kat ini,  anda takkan tahu yang kawasan ini juga banyak kubur lama orang cina. Sesetengah kubur ini sudah ada sejak 1620 an lagi. 

Bukit ini juga kawasan jogging orang tua-tua.  Dan masa tahun 60an dan 70an, kubur kat sini antara tempat favourite kaki nombor ekor untuk menurun dapatkan nombor bertuah mereka dari hantu bukit Cina. 

Kawasan jirat ini mesra pengguna. Gambar : Jnzl

Mereka yang berjogging kat sini dulu dikatakan selalu terserempak dengan seorang perempuan muda Cina yang cantik jelita. Dia berpakaian bangsawan dulu kala, dan selalu tersenyum pada orang yang melihatnya. Cuma dia tak kacau sesiapa.

Kata orang ini hantu Hang Li Poh.  Kata orang, dia mati dan dikebumikan kat situ. Entah betul entah tipu, Hang Li Po saja yang tahu.

Rumah Agnes Keith, Sabah

rumah agnes keith sandakan
Rumah Agnes Keith yang dibuat di atas bukit di Sandakan. Gambar : Jeremy Higgs

Rumah Agnes Keith yang pernah dihuni penulis terkenal Amerika ini tak jauh dari bandar Sandakan.

Rumah ini penting sebab gelaran Negeri di Bawah Bayu itu datangnya dari Agnes. Bukunya pun ada tajuk yang sama.  Ia juga adalah contoh rumah kolonial tahun 1940 an yang masih cantik, dengan barangan antik yang dipelihara baik.

tangga ke tingkat atas rumah agnes keith
Gambar: Tian Yake

Tapi sebenarnya, rumah ini berhantu.  Sewaktu beliau tinggal di sini sendiri beliau pernah bercerita : 

Katanya, dia memang tidak percayakan hantu. Tapi setiap hari beliau akan nampak kelibat seorang perempuan,  yang keluar dari kawasan rumahnya, mengendong seorang bayi, sambil melambai tangan kepada seseorang di dalam rumah  itu. Wanita ini boleh berjalan ke depan, walaupun mukanya sentiasa menoleh ke belakang. 

Selepas Agnes,  orang lain yang tinggal di sini  pun pernah mengalami pengalaman misteri. Salah seorang dari mereka menceritakan bahawa pernah sekali bilik di hujung rumah ini berbunyi pada waktu malam,  dan dia mendengar bunyi tapak kaki bergerak ke arah biliknya. 

Pintu biliknya terbuka dan tiba-tiba muncul seorang perempuan berpakaian pinafore,  dengan kepala berbalut kain putih yang penuh darah. Beliau tidak ingat apa-apa selepas itu kerana beliau pitam.

Untuk mereka yang pernah tinggal di sini, kalau setakat ada kelibat wanita duduk menunggu di tangga, memang perkara besha-besha. 

Muzium Negeri, Pulau Pinang

Cantik siang, tapi misteri bila malam. Gambar : FB Muzium Negeri

Hospital lama selalunya berpenunggu. Ini juga mungkin penyebab Muzium (Sementara )Negeri Pulau Pinang ini termasuk dalam senarai tempat menarik dalam Malaysia yang berhantu.

Masa ia dibuka pada tahun 1915 ia sebenarnya hospital bersalin. Jadi kat sini, bukan sahaja ada bilik untuk melahirkan bayi tetapi juga ada bilik mayat. Tapi bahagian ini sekarang bangunan terbiar.

Antara kawasan pameran di bangunan lama ini. Gambar : FB Muzium Negeri

Dalam temuramah dengan suratkhabar The Star, staf muzium ini mengaku yang CCTV muzium ini ada merakam perkara yang pelik-pelik. Contohnya pintu terbuka atau tertutup sendiri, kerusi berubah tempat, dan staf yang terdengar bunyi orang mengeluh di kawasan bangunan yang dulunya bilik mayat.

Kawasan koridor di Muzium Negeri Penang. Gambar : FB Muzium Negeri

Disebabkan inilah, guard kat sini dikatakan tak akan meronda bila jam sudah 12 malam ke atas.

Kalau anda sukakan benda sebegini, muzium ini ada program bermalam kat 57 Jalan Mcalister. Anda boleh masuk, tidur, dan melawat sendiri kawasan muzium malam-malam.

Amacam? Ada berani? Atau memang sumpah bagi RM 3 juta pun tak mahu pergi?

Lakonan semula suasana hospital dalam trip muzium Penang. Gambar : FB Muzium Negeri

Okay, anda pergi ke mana-mana dan kena pengalaman yang naikkan bulu roma? Kalau ya, jom share sama-sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>