November 22 2020 — Status kewangan Zoo Negara Malaysia kini mencapai tahap kritikal dengan dana zoo tersebut hanya mampu menanggung perbelanjaannya selama 3 bulan sahaja lagi.
Zoo yang pernah diletak sebagai antara zoo contoh di Asia Tenggara satu masa dahulu, kini gagal mencari dana untuk menanggung perbelanjaan sebanyak RM 1 juta sebulan.
Memetik zoologist Zoo Negara, Mat Naim Ramli, zoo tersebut hanya mengutip sebanyak RM 150,000 pada bulan Oktober. Ini jauh kurang dari jumlah yang diperuntukkan untuk makanan haiwan di sini, iaitu sekitar RM 350,000 sebulan.

Zoo ini telah mengalami masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan diburukkan lagi dengan wabak Covid-19.
Kerajaan pernah memberi dana kecemasan kepada zoo negara sebanyak RM 1.3 juta pada bulan April. Akan tetapi ia hanya cukup menampung kos zoo ini untuk sebulan sahaja, dengan separuh dari wang itu, RM 689,000 digunakan untuk membayar kos insurans bagi panda di Zoo Negara.
3 Tarikan Paling Top Kat KL
Kerajaan Perlu Ambil Alih
Dua bekas veterinar zoo berkenaan, Dr S Vellayan yang pernah bekerja di zoo ini selama 27 tahun dan Dr Reza Singam berkata, adalah lebih baik Zoo Negara yang diuruskan oleh NGO ini diambil alih kerajaan.
Ini sama seperti di Singapura yang mana dana berdaulat Singapura iaitu Temasek Holdings mengambil alih zoo negara tersebut sehingga ia diletakkan sebagai zoo ke-5 terbaik di dunia.

Menurut mereka, zoo ini perlu diterajui oleh mereka yang mempunyai minat dengan haiwan, atau berlatarbelakangkan zoologi.
Menurut mereka lagi, zoo ini sekarang 60 tahun dibelakang zoo Singapura yang satu ketika dahulu menagih simpati zoo negara Malaysia.
Tiket Mahal Kerana Panda?

Harga tiket Zoo Negara telah meningkat beransur-ansur sejak pembinaan konservatori khas bagi menyambut kedatangan panda dari China.
Kecuali di Mexico, semua panda di luar China sebenarnya dihantar sebagai sewaan.
Untuk menyimpan panda, Zoo Negara perlu membayar sewa kepada China sekitar RM 4 juta setahun. Ini belum termasuk kos insuran haiwan itu.
Apabila panda betina melahirkan anak, Zoo Negara juga perlu membayar RM 2.4 juta kepada China untuk anaknya. Setelah berumur 2 tahun, ia wajib dipulangkan kepada negara tembok besar semula.
Untuk kos selenggara, sepasang panda Zoo Negara memerlukan makanan dan selenggaraan bernilai RM 2.25 juta setahun, atau RM 6,250 sehari. Kos elektrik pula RM 10 – 20 ribu ringgit sebulan kerana ia memerlukan penghawa dingin 24 jam.
Walaupun ia satu perbelanjaan besar, perjanjian sewaan panda yang dibuat pada zaman Dato Seri Naji Razak adalah untuk 10 tahun. Ini bermakna, panda-panda ini hanya boleh dipulangkan cuma seawal 2024.
Dengan kos besar, tadbir urus yang dikatakan bermasalah, kekurangan pengunjung disebabkan wabak penyakit, dan kewangan negara yang juga sakit, nasib Zoo Negara berada di hujung tanduk.
Dengan kes Covid yang semakin teruk, tidak mustahil rakyat Malaysia terpaksa memberi ucapan selamat tinggal kepada zoo ini tidak lama lagi.