Muzium Tinggalan Perang - tempat menarik lagi bersejarah di ho chi minh vietnam

Muzium Tinggalan Perang

Apa gunanya ke Ho Chi Minh jika tidak belajar mengenai sejarah derita bangsanya?

Di muzium yang penuh kontroversi ini, anda bakal melihat tinggalan perang dan kekejaman tentera penceroboh Amerika ke atas warga Vietnam. Dianggap oleh Barat sebagai berat sebelah kerana hanya memaparkan kekejaman tentera penceroboh, muzium berbaur anti-Amerika ini juga mempunyai 3 balang fetus bayi yang cacat, kesan senjata kimia Agent Orange milik Amerika.

Dengan lebih 20,000 dokumen, photo, dan bahan pameran yang merakam kesengsaraan yang terpaksa dilalui oleh warganya semasa perang Vietnam, anda mungkin perlu membawa tisu bagi mengesat air mata yang jatuh berderai bila melihat gambar-gambar yang ada di sini.

Jika anda mahu melihat bukan sahaja peluru, kereta kebal atau helikopter tetapi melihat apa yang sanggup dibuat oleh manusia terhadap manusia lain atas nama demokrasi, ini tempat yang anda wajib tuju di Ho Chi Minh.

Tips Pengunjung

1. Jika anda ada anak kecil, ia mungkin kurang sesuai untuk mereka. Tetapi untuk anak remaja yang selalu berseronok bermain permainan perang, muzium ini baik bagi membuka realiti yang perang bukan seperti yang mereka sangkakan.

2. Jangan lupa melihat replika penjara yang digelar “Kandang Harimau” untuk tahanan politik

3. Muzium ini kerap penuh pada waktu petang kerana pelawat yg membeli tour Chu Chi selalunya mengakhiri lawatan mereka di sini. Jadi datang awal jika tidak mahu bersesak.

Waktu Operasi

Setiap Hari: 7:30 pg – 5 ptg
Kaunter tiket ditutup sewaktu tengahari : 12 tgh – 1:30 ptg

Harga Tiket

VND [currency base=”VND”]15000[/currency]

Kanak-kanak bawah 6 tahun masuk percuma

Kredit : Chris Porter, Jean Pierre Dalbera, Adam Jones

Jomjalan